Utm Cipta Alat Untuk Mengesan Strok Haba

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Nagoya Institute of Technology (NIT) telah berusaha membangunkan prototaip yang dikenali sebagai Surrogate Human Sensor (SHS) bagi mengesan jika terdapat gelombang haba sebagai persediaan awal memantau fenomena strok haba.

Pengarah Kelestarian Kampus UTM, Prof Madya Ir Mohd Fadhil Md Din berkata, sistem itu mampu untuk mengukur kesan strok haba seawal 12 jam dengan mengambil kira empat faktor berlainan termasuk suhu, kelembapan, kelajuan dan pengamatan solar sebagai elemen cerapan.

Gambar hiasan: Science Care

Katanya, sistem itu yang dibangunkan dengan kos hanya sebanyak RM300 oleh empat penyelidik sejak 2010 telah diuji keberkesanannya bagi membantu dalam memantau kesan strok haba di kampus UTM pada Februari lalu dan ia terbukti mampu untuk mengesan strok haba lebih awal.

“Prototaip ini bukan sahaja boleh mengukur tahap gelombang haba malah ia juga mampu untuk menghasilkan formula mengikut lima indeks tahap keselesaan manusia terhadap kesan haba iaitu selesa, baik, tidak selesa, teruk dan sangat teruk.

Gambar hiasan: Metro

“Sistem ini juga dikatakan mampu untuk mengukur dalam tempoh 12 jam sebelum proses strok haba ni bermula dan orang ramai perlu untuk mengambil langkah berjaga-jaga sebaik sahaja apabila indeks bacaan berada pada tahap teruk,” katanya.

Mohd Fadhil berkata, alat pengukur suhu yang biasa kita gunakan pada ketika ini masih tidak dapat untuk mengukur kesan strok haba dengan tepat kerana hanya menunjukkan perubahan suhu persekitaran secara kasar.

Gambar hiasan: Metro

“UTM merancang untuk membina prototaip mudah alih yang lebih mesra pengguna untuk mengkomersialkan sistem ini mulai pada tahun depan agar dapat digunakan secara meluas untuk membantu masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, negara ini diramal akan mengalami peningkatan suhu sehingga melebihi 40°C berikutan dari kesan pencemaran gas rumah hijau yang disebabkan peningkatan karbon dioksida dalam tempoh 10 tahun akan datang khususnya di kawasan bandar.

“Hasil kajian kita kini menunjukkan Malaysia hanya akan mengalami peningkatan suhu 1.2°C pada setiap tahun dan ini boleh menyebabkan manusia terdedah kepada penyakit berkaitan haba dengan lebih kerap,” katanya.

Baca lagi: Gigitan Kucing Lebih Berbahaya Dibandingkan Anjing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *