Tujuh Gunung Tertinggi di Semenanjung Malaysia Yang Dikenali Sebagai G7

Tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia dikenali sebagai G7. Tetapi Gunung Kinabalu yang tertinggi di Asia Tenggara itu sama sekali tidak termasuk dalam kumpulan G7. Tentulah, ini hanya untuk di Semenanjung Malaysia. Dan apa pula yang dimaksudkan dengan G7 itu?

G bermaksud gunung.

7 pula mewakili ketinggian yang melebihi 7000 kaki.

Di bawah adalah senarai tujuh gunung yang menduduki carta G7 ini.

# GUNUNG KETINGGIAN
(Kaki / meter)
G1 Gunung Tahan, Pahang 7175 / 2187
G2 Gunung Korbu, Perak 7162 / 2183
G3 Gunung Yong Belar, Perak 7156 / 2181
G4 Gunung Gayong, Perak 7129 / 2173
G5 Gunung Chamah, Kelantan 7123 / 2171
G6 Gunung Yong Yap, Kelantan 7113 / 2167
G7 Gunung Ulu Sepat, Kelantan 7090 / 2161

 

Melihat kepada ketinggian gunung-gunung ini, ianya masih terlalu jauh berbeza berbanding dengan gunung-gunung yang popular di dunia (seperti Everest, K2). Namun ketinggian yang “tidak tinggi di mata dunia” ini tidak boleh dipandang sebelah mata. Berdasarkan perkongsian oleh mereka yang pernah mendaki G7 (atau sebahagian), setiap gunung memberi cabarannya yang tersendiri.

 

Gunung Tahan, Pahang

Gunung Tahan

Sumber gambar; http://icheong2.blogspot.my/

Gunung ini terletak di dalam negeri Pahang, dan satu-satunya gunung G7 yang terletak di luar Banjaran Titiwangsa. “Tahan” merujuk kepada ketahanan fizikal dan mental yang diperlukan untuk menawan puncak gunung ini. Terlalu banyak dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi, ditambah dengan faktor kedudukan gunung ini yang terletak di dalam kawasan Taman Negara Pahang. Hutannya sudah berusia beribu tahun dan sudah pasti bukan mudah untuk diredah. Untuk mencapai kaki gunung sahaja perlu merentas sungai yang jauh dan tidak ada jalan masuk untuk kenderaan beroda. Terdapat tiga laluan (pergi balik) yang boleh digunakan untuk mendaki; (1) Kuala Tahan – Kuala Tahan (10 hari), (2) Kuala Tahan – Merapoh atau Merapoh – Kuala Tahan (5 hari), (3) Merapoh – Merapoh (3-4 hari).

 

Gunung Korbu, Perak

Gunung Korbu

Sumber gambar; https://www.flickr.com

Gunung Korbu mempunyai puncak yang tertinggi antara semua gunung di sepanjang Banjaran Titiwangsa. Hutan yang tebal memberi cabaran besar kepada pendaki untuk sampai ke puncak. Apatah lagi, ada sesetengah kawasan bagai wujud perkampungan lintah dah pacat. Sukar untuk mengelakkan serangan penghisap darah tegar ini. Hampir mustahil untuk mengelak kerana “mereka” berada di mana-mana.

Satu peristiwa menyedihkan pernah berlaku di puncak gunung ini pada tahun 1999, di mana dua orang remaja meninggal dunia dalam tidur akibat terhidu gas beracun. Gas itu didakwa berpunca dari kebocoran lampu tidur yang mereka gunakan. Jenazah kedua-duanya diturunkan menggunakan helikopter Nuri milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM). Sumber; Utusan Malaysia.

 

Gunung Yong Belar, Perak

Gunung Yong Belar

Sumber gambar; http://icheong2.blogspot.my/

Yong Belar merupakan satu daripada tiga gunung yang membentuk laluan trans Titiwangsa, satu laluan terkenal bagi pendaki di Banjaran Titiwangsa. Untuk mencapai puncak Yong Belar, laluannya bermula dari Gunung Korbu, Gunung Gayong dan kemudiannya Yong Belar. Dari sini pendaki boleh tembus keluar ke Blue Valley di Cameron Highlands. Yang menariknya, di Yong Belar terdapat satu batu tanda yang menunjukkan sempadan tiga negeri; Pahang, Perak dan Kelantan.

 

Gunung Gayong, Perak

 

Gunung Gayong

Sumber gambar; http://icheong2.blogspot.my

Difahamkan, di sinilah tempat kelahiran seni silat tradisional orang Melayu, yakni silat gayong. Kononnya ada seorang pendekar Melayu zaman silam ke puncak gunung ini untuk bertapa. Silat Gayong lahir apabila pendekar ini harus bersemuka dengan dugaan yang datang daripada binatang-binatang yang mendiami gunung ini. Permukaan puncak gunung ini yang hampir rata dan juga luas sesuai untuk aktiviti berpencak, seakan mengiakan lagenda ini.

Gunung Gayong ini gunung berapit, iaitu diapit antara dua gunung; Korbu dan Yong Belar. Jadi untuk ke sini harus melalui salah satu gunung terdahulu. Selalunya pendaki tegar akan mengambil “pakej tiga serangkai”, menawan ketiga-tiga gunung sekali harung.

 

Gunung Chamah, Kelantan

Terletak jauh di tengah hutan Royal Belum, Gunung Chamah dinobatkan sebagai gunung yang paling sukar didaki antara gunung G7 yang lain. Dikelilingi oleh hutan dara yang tebal dan hampir tidak terusik, sudah tentu halangannya lebih basar. Untuk menempuh hutan sebelum ke kaki gunung sudah memerlukan berhari-hari, dan sesat sangat mudah berlaku. Sebaiknya bawa sekali pengiring yang berpengalaman untuk mengelakkan sesuatu yang buruk berlaku.

Chamah juga mesra dengan haiwan liar. Bertembung dengan tapak kaki harimau itu perkara biasa. Gajah juga bebas berkeliaran. Pendek kata, yang jarang dilihat di zoo juga ada.

Untuk mendaki Chamah, tenaga dan ketahanan mental dan fizikal yang kuat adalah wajib. Sekurang-kurangnya 10 hari diperlukan sebelum berjaya mencecah kaki dan berswafoto di puncak Chamah.

Mensive Pomade

 

Gunung Yong Yap, Kelantan

Gunung Yong Yap

Sumber gambar; http://icheong2.blogspot.my/

Bentuk puncak Yong Yap benar-benar seperti piramid. Jelas bentuk segitiganya, seperti lukisan gunung semasa kita dalam kelas Pendidikan Seni dahulu. Untuk ke permulaan trek, kita perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda bermula dariperkampungan orang asli, Kampung Lasah. Selepas dua jam, pendakian bermula. Terdapat banyak laluan yang cerun dan memanjang. Jadi, stamina harus kuat untuk mendaki dan juga membawa barang-barang di dalam bag.

Terdapat beberapa kes serangan Harimau Malaya berlaku di sini. Antaranya seorang pekerja syarikat pembalakan (yang berseorangan) dan seorang orang asli. Jadi, pastikan berjalan dalam kumpulan untuk kebaikan diri.

 

Gunung Ulu Sepat, Kelantan

Gunung Ulu Sepat

Sumber gambar; http://icheong2.blogspot.my/

Gunung Ulu Sepat juga terletak di hutan Royal Belum, berjiran dengan Gunung Chamah. Kebiasaannya pendaki akan mendaki kedua-dua gunung ini (Trans Chamah-Ulu Sepat) dalam satu sesi. Laluan pendakian ini antara yang paling sukar antara semua laluan pendakian yang ada di Malaysia. Untuk sampai ke tapak permulaan pendakian pun sudah menyeksakan.

 

Segunung Impian

Apabila membaca pengalaman pendaki-pendaki yang pernah sampai ke puncak gunung G7 ini, kami terasa begitu kerdil. Mendaki Bukit Broga pun, sudah mencungap-cungap. Tapi, kita mesti ada titike permulaan. Mana tahu hari ini mencungap di Broga, setahun lagi kita berswafoto di puncak Kinabalu!

Siapa tahu?

 

 

_______
Rujukan; Beyond The Clouds

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *