Tips Mengambil Gambar Kucing Kesayangan Dengan Lebih Menarik

Kucing adalah makluk yang paling comel. Setuju? Tentulah. Comel, gebu, manja dan menghiburkan. Dan kecomelan haiwan berbulu ini banyak sekali dipotretkan dalam gambar. Google sahaja kata kunci “cats”, pelbagai aksi mereka yang dirakamkan memang mencuit hati.

Bila membelek-belek gambar yang menawan itu, timbul juga rasa mahu mengambil gambar Cemong, Tompok, Belang, Putih dan anak-anaknya di rumah. Betul? Tetapi niat hanya tinggal niat, sampai ke sudah tidak ada sekeping gambar pun dirakam. Selalunya alasan yang diberi, tak pandai.

Kami tahu anda mahu, tapi malu.

Maka hari ini, kami kongsikan beberapa tips yang memungkinkan gambar Si Tompok boleh menjadi screen saver komputer anda.

Kamera

Tidak kira jenis apa pun, asalkan kameranya berfungi dengan baik. Baik kamera telefon, kamera kompak ataupun DSLR. Semakin baik kualiti kamera, lebih baik hasil yang diperolehi. Sebenarnya ini masih boleh dipertikaikan, kerana kualiti kamera perlu seiring dengan kemahiran mengambil gambar. Itu kita bincang lain hari, yang penting sekarang kita perlu ada kamera.

Sabar

Ya Tuhan. Mengambil gambar kucing memang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Perlu diingat, kucing sifatnya lincah dan aktif. Kadang-kadang dalam satu sesi, daripada 100 keping gambar yang dirakam, mungkin sekitar 10 keping yang benar-benar menarik. Banyakkan bersabar. Banyakkan bermain politik dengan mereka.

 

Upah

Ya. Beri mereka “upah” supaya mereka “gembira” dan kita pun dapat merakam gambar mereka dengan senang hati. Paling mudah, berikan saja mereka kotak kasut, atau apa jenis kotak sekali pun. Kucing sangat suka bermain dengan kotak dan ini tergunapakai untuk semua kucing di dunia. Apabila mereka khayal dengan mainan ini, jangan berlengah lagi untuk merakamkan aksi. Oh hati-hati juga, ya. Bila dikatakan semua kucing suka main kotak, semua itu termasuklah “kucing belang” hitam oren di dalam hutan. Jadi, jangan tinggalkan kotak di luar rumah, takut-takut ada Pak Belang tersesat berkenan pula singgah untuk bermain.

 

Ambil Gambar Di Laman (Luar Rumah)

Gambar Kucing Panjat Pokok

Sumber gambar: http://paper4pc.com

Kucing kerjanya makan, tidur dan tentunya bermain. Jadi, bila berpeluang untuk bermain di luar mereka menjadi sangat aktif. Kalau ada laman di tepi rumah, lepaskan mereka di situ dan saksikan telatah mereka yang sangat menghiburkan. Oh! Ini sesuai untuk kucing yang masih keanak-anakan. Waktu peringkat umur begini, aksi mereka lebih menarik untuk dirakam. Menyorok di balik pasu bunga, ataupun memanjat pokok hiasan laman. Suasana laman yang berwarna-warni akan mewujudkan latarbelakang gambar yang lebih ceria.

 

Waktu Keemasan

Gambar Kucing Waktu Petang

Sumber gambar: http://paper4pc.com

Waktu keemasan (golden hour) ini di mana matahari memancar cantik, sama ada waktu pagi atau pun petang. Ketika ini mood kita dan kucing, lebih segar dan bersemangat. Suasana waktu pagi dengan sinar matahari dan embun pada rumput sangat tenang, manakala waktu petang warna jingga lebih menyerlah menjadi latar belakang. Sesekali beri kelainan kepada gambar yang ada. Jadi lebih kreatif.

 

Fokus Jarak Dekat

Cuba lihat contoh-contoh gambar yang banyak ada di internet. Anggota badan kucing yang paling banyak difokus ialah bahagian mata. Dari mata turun ke hati, gitu! Tapi memang tak dinafikan, mata kucing memang sangat menggoda. Lagi-lagi kalau si kaki empat ini membulatkan mata seperti Pussy In Boots. Geram! Tapi tak semestinya gambar mata sahaja. Ekor, tapak kaki, telinga dan hidung juga boleh menjadi subjek gambar. Kalau rajin, cuba ambil gambar Encik Miau sedang menguap. Luas betul!

Sudah faham semuanya? Itu enam tips pertama yang boleh kami kongsikan buat masa ini. Rasanya mudah difahami dan mudah dibuat juga. Jangan tangguh lagi. Ambil kamera dan petik pemicunya sekarang. Jangan nanti Cemong sudah pandai merayau mencari bini dan tak balik berhari-hari, masa itulah baru tersedar gambar Cemong langsung tidak ada untuk dibuat kenangan. Menangislah di sudut almari teresak-esak memanggil Cemong. Sudah terlambat!

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *