Tips Berguna Untuk Dijadikan Panduan Mendaki Gunung

Mendaki gunung semakin menjadi kegemaran ramai akhir-akhir ini. Di media sosial seperti Facebook, sudah wujud group yang berkongsi pengalaman ahlinya dalam hal-hal mendaki gunung (atau pun bukit). Ada juga yang menganjurkan aktiviti berkumpulan dan membuka penyertaan kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Kita pun dengan rasa penuh teruja, cepat-cepatlah mendaftar. Sudah terbayang-bayang pemandangan yang memukau di puncak Bukit Tabur, sudah terasa sejuk air terjun yang mengalir dari puncak Gunung Lopo. Terbayang-bayang pelbagai gaya swafoto untuk dikongsikan nanti.

Tapi, nanti dulu. Jangan terlalu teruja sampai terlupa dengan “pantang-larang” dan “syarat-syarat” mahu mendaki.

Kami di Mensive, berkongsi dengan anda beberapa tips yang boleh dirujuk sebagai panduan.

 

Sebelum

  1. Buat tinjauan dan cari maklumat daripada orang-orang yang berpengalaman. Setiap tujuan pendakian, pengalamannya berbeza. Mendaki Bukit Tabur tak akan sama ceritanya seperti mendaki Gunung Angsi. Ini penting untuk persediaan fizikal dan mental.
  2. Maklumkan ahi keluarga dan rakan-rakan terdekat berkaitan rancangan mendaki anda. Biar mereka tahu ke mana kita mendaki, dengan siapa, dan bila kita dijangka pulang. Tinggalkan juga nombor telefon sahabat mendaki sebagai langkah berjaga-jaga.
  3. Sebaiknya sediakan alat bantuan kecemasan (yang lengkap) bersama-sama. Aktiviti lasak sebegini agak mudah untuk mendapat kecederaan.
  4. Semak ramalan cuaca untuk hari mendaki. Kelengkapan sewajarnya mungkin perlu dibawa seperti lampu suluh dan baju hujan. Jika cuaca dijangka buruk (seperti kilat atau ribut), mungkin perlu ditunda ke lain hari.
  5. Berpada-pada membawa barang di dalam beg mendaki. Bawa yang hanya diperlukan sahaja. Beg yang berat akan membebankan, malah akan menyukarkan pendakian. Air minum jangan tertinggal pula. Itu wajib.
  6. Pakaian yang bersesuaian. Jangan pakai baju cotton. Begitu juga dengan seluar. Oh! Selipar Tat Sing tidak diizinkan sama sekali. Keluarkan sedikit modal untuk membeli kasut atau sandal mendaki.

 

Mensive Pomade

 

Semasa

Semasa Mendaki Gunung

Sumber gambar: http://www.smore4u.com/

  1. Bawa bersama alat komunikasi (seperti telefon) dan juga kompas atau GPS. Tapi, jagalah bateri. Jangan asyik sibuk berswafoto, tak sampai puncak bateri telefon sudah habis digunakan.
  2. Daftarkan nama dan ahli kumpulan di pejabat renjer. Biasanya sedikit bayaran dikenakan. Janganlah terlalu berkira kerana wang ini pasti digunakan untuk pembangunan kemudahan pendakian.
  3. Pastikan barang-barang elektronik ataupun dokumen penting disimpan dalam plastik kalis air. Sekiranya hujan atau terjatuh di dalam sungai, barang-barang ini masih terselamat.
  4. Berkumpulan. Jangan berani-berani mendaki seorang diri. Walau hebat dan berpengalaman sekalipun, sekurang-kurangnya biarlah berdua. Sekiranya terjadi apa-apa, senang untuk salah seorang mendapatkan pertolongan. Oh ya! Kalau hanya berdua dan kedua-duanya “newbie”, jangan mencari pasal. Seeloknya salah seorang mesti berpengalaman.
  5. Ikut laluan yang sedia ada. Selalunya laluan mendaki akan ditanda dan laluannya lebih terang kesan laluan yang kerap.
  6. Kenalpasti kemampuan ahli kumpulan yang turut mendaki. Biarkan orang yang paling lambat menetapkan kelajuan pendakian. Ini untuk mengelakkan ada ahli kumpulan tertinggal jauh di belakang sekiranya mereka yang cergas mendahului perjalanan.
  7. Minum air dengan kerap untuk mengelakkan dehidrasi, Bawa air secukupnya. Memang akan terasa berat pada permulaan pendakian, tetapi akan semakin ringan pada penghujung hari.
  8. Bawa makanan yang memberi tenaga segera seperti energy bar, pisang dan yang seumpamanya. Nasi kerabu? Boleh juga, terpulang. Sediakan juga sedikit makanan lebih, untuk waktu-waktu kecemasan.
  9. Jaga tingkah-laku. Hormat menghormati sesama pendaki, sama ada ahli kumpulan sendiri ataupun pendaki lain. Aktiviti sebegini seharusnya menjadi medan untuk bersosial dan mengeratkan hubungan.
  10. Jangan mencemarkan hutan. Tolong jaga kebersihan hutan kita. Agak menyedihkan melihat melihat perilaku mereka yang suka membuang sampah di dalam hutan dan melakukan kerosakan seperti menconteng batu, mematahkan pokok dan pelbagai lagi. Ingatlah! Alam ini kita pinjam daripada anak cucu kita, pastikan kita serahkan kepada mereka dalam keadaan yang baik.
  11. Bergambarlah untuk kenang-kenangan. Rakaman video juga menarik.

 

Selepas

Selepas Mendaki Gunung

Sumber gambar: http://fusia.ca

  1. Bawa turun semua sampah-sarap milik kita. Lebih elok juga kalau membuat sedikit kerja amal, kutip sampah-sampah yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab di sepanjang laluan.
  2. Laporkan kepada renjer sekiranya terdapat kerosakan laluan seperti pokok tumbang yang boleh membahayakan pendaki lain.
  3. Dokumenkan pengalaman perjalanan dan catatlah di mana-mana sebagai kenangan. Boleh buat dalam bentuk diari, blog, klip video ataupun photobook. Menarik untuk dijadikan kenangan pada masa akan datang, ataupun rujukan oleh pendaki-pendaki lain.
  4. Rancang pendakian yang seterusnya. 🙂

 

Ini hanyalah sebahagian dari panduan am yang boleh digunapakai. Sesetengah tempat, mungkin ada panduan yang lebih spesifik. Jadi sangat penting membuat rancangan dan persediaan sebelum memulakan pendakian.

Ayuh! Daki gunung bukan sesukar mana. Selepas ada langkah pertama, langkah seterusnya akan menjadi lebih mudah!

____
Rujukan : http://www.hikingdude.com/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.