Tatacara Menggunakan Eskalator Dengan Betul

Insiden kemalangan seorang wanita di sebuah kompleks membeli-belah terkenal yang tular di media sosial menunjukkan gambar mangsa terduduk di tepi eskalator dengan luka di betis, sambil ditenangkan rakan-rakannya. Mangsa yang cedera tercucuk besi eskalator telah dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Pihak pengurusan kompleks membeli-belah terkenal di Kuala Lumpur itu telah mengenal pasti punca kemalangan ini terjadi.

Setelah diteliti, puncanya datang dari penyalahgunaan eskalator, termasuk penggunaan kereta sorong bayi, yang akhirnya mengakibatkan kemalangan ini berlaku.

Kredit : Harian Metro

Untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang kembali, saya kongsikan tatacara dan etika yang betul ketika anda mahu menggunakan eskalator. Berikut adalah tatacaranya :

  • Pandang ke hadapan dan berdiri di tengah-tengah muka tangga.

Anda dikehendaki sentiasa memandang ke hadapan, peka dan elakkan dari meninjau ke tempat yang lain. Berdiri di tengah muka tangga iaitu dalam kawasan tangga eskalator dengan sempadan yang diwarnakan kuning. Kaki anda hendaklah berada di kawasan ini untuk mengelakkan sebarang kemalangan berlaku.

  • Elakkan berdiri di tepi muka tangga bagi mengelakkan kaki tersepit.

Tepi muka tangga adalah kawasan sempadan yang telah diwarnakan kuning. Elakkan untuk memijak atau berdiri di kawasan kuning ini. Sebaliknya, anda perlu berdiri di ruang di antara kawasan yang ditandakan kuning. Itu kawasan yang lebih selamat.

 

  • Tangan sentiasa pegang pada handrail

Untuk mencapai keseimbangan ketika menggunakan eskalator, ada disediakan handrail sebagai pemegang. Gunakan handrail ini sebaik yang mungkin. Elakkan dari bersandar di tepi handrail. Ini juga bakal mengundang kecelakaan.

  • Elakkan daripada meletak beg tangan atau bungkusan di atas handrail.

Handrail ini diletakkan dengan tujuan sebagai pemegang. Jadi, jangan sesekali anda meletakkan beg tangan atau apa-apa bungkusan di atas handrail. Ini akan menyebabkan anda hilang keseimbangan dan kemalangan mungkin berlaku.

  • Berdiri statik, tidak berlari atau tergesa-gesa di kawasan eskalator atau semasa menggunakan eskalator.

Eskalator diciptakan dengan kelajuan yang memadai. Untuk tergesa-gesa, ada disediakan tangga yang biasa ataupun lif sebagai alternatif yang lain. Pokok pangkalnya, anda perlu bersabar setiap kali menggunakan eskalator. Lagi-lagi jika eskalator itu ditempatkan di kompleks membeli-belah yang terkenal. Tentunya ramai yang akan menggunakan eskalator.

Bersabar ketika menggunakan eskalator dan tidak tergesa-gesa. Dan jika anda terpaksa untuk mengejar masa, anda boleh menaiki eskalator ini dengan berhati-hati. Dari satu tangga, ke satu tangga, langkah anda hendaklah diatur dengan penuh cermat.

Kredit : Slide Share

 

  • Pastikan tali kasut tidak longgar dan kasut yang dipakai bersesuaian ketika menaiki eskalator.

Tali kasut hendaklah diikat dengan kemas sebelum menggunakan eskalator. Kain dan seluar yang diguna pakai juga hendaklah tidak terlalu labuh. Kasut yang digunakan juga perlu bersesuaian. Tali kasut yang longgar dan kain yang terlalu labuh boleh menyebabkan kejadian tersekat pada eskalator seterusnya mengakibatkan kemalangan.

  • Sentiasa memegang tangan anak-anak di eskalator dan tidak membenarkan anak-anak untuk duduk atau bermain di muka tangga eksalator.

Anak-anak sinonim dengan sifatnya yang gemar bermain sana-sini. Untuk menggunakan eskalator, ibu bapa atau orang yang lebih dewasa perlu memantau anak-anak. Sentiasa pegang tangan anak-anak di eskalator dan bersikap tegas dengan mereka dengan melarang mereka bermain di eskalator atau di kawasan yang berdekatan dengan eskalator.

  • Ketahui di mana butang kecemasan shutoff yang berwarna merah jika anda perlu untuk menghentikan eskalator.

Ini adalah langkah terakhir jika ada sebarang kemalangan yang berlaku. Kebiasaannya butang kecemasan shutoff yang berwarna merah ini ada diletakkan di hujung eskalator, sama ada hujung tempat menaiki eskalator atau hujung tempat turun dari eskalator. Peka dengan kedudukan butang kecemasan ini untuk menghentikan pergerakan eskalator apabila perlu.

Sungguh malang itu tidak berbau namun mencegah sentiasa lebih baik dari mengubati. Praktiskan tatacara yang betul ketika menggunakan eskalator dan kemalangan akan dapat dielakkan.

Semoga artikel ini bermanfaat.

Baca lagi : Petani Itali Kuasai 100 Bahasa Berbeza

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *