Tamiya: Kisah Kemunculan Kereta Mini 4WD Paling Popular

tamiya

Kredit foto: tamiya.com

Permainan kereta mini 4WD jenama Tamiya sudah mula popular di Malaysia dalam tahun 1994. Pada ketika itu, fenomena Tamiya semakin menjadi-jadi apabila kartun Dash Yonkuro mula ditayangkan di kaca televisyen di Malaysia.

Permainan kereta mini 4WD ini bukan sahaja diminati oleh golongan kanak-kanak, malah ia turut diminati oleh golongan dewasa. Permainan ini masih lagi dimainkan sehingga kini dan terdapat beberapa pertandingan perlumbaan dianjurkan untuk setiap peminat permainan ini menunjukkan kehebatan masing-masing.

Apa yang menarik tentang kereta mini 4WD Tamiya ini ialah, anda boleh mengubahsuainya seperti mengubahsuai kereta sebenar. Ubahsuai ini bukan sahaja untuk menampakkan ia lebih menarik dan bergaya. Antara yang penting ialah untuk memberikannya kelajuan semasa berlumba.

tamiya

Kredit foto: sj33.cn

Namun begitu, adakah anda tahu tentang sejarah kereta mini 4WD Tamiya ini? Mungkin ramai yang belum tahu tentang sejarah kelahiran kereta mini ini. Oleh itu, kami di Mensive telah mengambil inisiatif untuk menceritakan kepada anda sedikit sebanyak tentang sejarah kereta mini 4WD ini.

Syarikat Tamiya ini telah dibangunkan oleh seorang warga Jepun bernama Yoshio Tamiya pada tahun 1946. Pada ketika itu Tamiya menjalankan perniagaan kilang kayu balak. Tamiya mula memasuki bidang permainan pada tahun 1948 dengan memperkenalkan model kapal kayu pertama mereka. Sejak dari itu, Tamiya hanya fokus kepada pengeluaran kit model permainan sahaja.

Tamiya mula menghasilkan permainan kereta mini 4WD mereka pada tahun 1986. Kereta mini pertama keluaran Tamiya bernama Hotshot Junior yang dibina dengan ukuran skala 1:32. Kemudian, pada tahun 1987, kereta mini skala 1:32 ini membuat kejutan apabila berjaya dijual sebanyak 10 juta unit.

tamiya

Kredit foto: fjb.kaskus.co.id

Memandangkan semakin ramai orang yang sudah memiliki permainan kereta mini, maka Tamiya telah menganjurkan pertandingan perlumbaan kereta mini pertama di Jepun pada tahun 1988. Pertandingan ini telah berlangsung di 16 lokasi berbeza di seluruh Jepun.

Pada tahun 1989, Tamiya mula mengorak langkah yang besar dengan membuka cawangan luar dari Jepun. Selepas berjaya menjual sebanyak 23 juta unit kereta mini 4WD ini, Jepun membuka cawangannya di California, Amerika Syarikat.

Kemudian Tamiya membuka pula cawangannya di Neuss, Jerman. Pembukaan cawangan-cawangan ini telah membantu Tamiya menjual 44 juta kereta mini 4WD.

tamiya

plus.kapanlagi.com

Pada tahun 1990, Tamiya telah menambah lagi kilangnya demi menampung permintaan peminat model-model keluarannya. Dalam tahun ini juga, model kereta mini 4WD berjaya dijual sebanyak 50 juta unit.

Permainan kereta mini 4WD ini mula popular di Malaysia dalam tahun 1994. Ditambah pula dengan kewujudan kartun dari Jepun yang memaparkan kereta mini 4WD keluaran Tamiya. Kartun tersebut bernama Dash Yonkuro.

Sejak dari itu, peminat-peminat permainan kereta mini 4WD semakin bertambah di Malaysia dek kerana pengaruh kartun Dash Yonkuro ini. Antara kereta mini 4WD yang popular pada tahun ini ialah Emperor, Shooting Star, Canon Ball, Burning Sun dan juga Dancing Doll. Ini adalah antara kereta yang digunakan oleh watak-watak dalam kartun ini.

tamiya

Kredit foto: 1080.plus

Sehingga kini, Tamiya masih mengorak langkah yang hebat sebagai pengeluar kereta mini 4WD yang cukup popular di dunia. Di Malaysia, kereta mini 4WD ini menjadi fenomena antara tahun 1994 sehingga 1998.

Namun begitu, permainan kereta mini 4WD ini masih lagi dimainkan walaupun kurang mendapat liputan. Kebanyakan yang bermain ini adalah kanak-kanak yang membesar dalam tahun 1990 hingga 1998. Dek kerana minat yang mendalam dalam permainan ini, mereka masih bermain secara serius hingga kini.

Itulah dia sedikit sebanyak info yang kami boleh perolehi tentang kemunculan awal kereta mini 4WD keluaran Tamiya ini. Kami berharap dapat membantu anda mengetahui secara asas sejarah kewujudan kereta mini ini.

Andainya anda ada info-info yang kami tidak dapat sebutkan, jangan malu-malu untuk tinggalkan makluman anda di dalam ruangan komen di bawah ye.

Baca lagi: 5 Permainan Kanak-kanak Tahun 1990-an

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.