Tak Pernah Tahu Sejarah Game Contra? Sila Baca Ini

game contra

Kredit foto: chismesmundo.com

Kami percaya bahawa anda, para pembaca di portal Mensive ini pernah memiliki konsol Micro Genius semasa kecil dahulu. Antara game yang popular dan yang anda pernah main sudah tentunya Contra, betul tak?

Game Contra ini sangat seronok dimainkan secara berdua. Ini kerana, dengan adanya dua pemain, maka permainan akan menjadi lebih mudah kerana dapat membantu antara satu sama lain.

Namun begitu, di sebalik keseronokan anda bermain game Contra ini, adakah anda tahu tentang sejarah kewujudan game ini? Kami percaya ramai yang belum tahu tentang latar belakang game ini. Sebab itulah kami berminat untuk berkongsi serba sedikit tentang sejarah game Contra ini.

game contra

Kredit foto: nepascene.com

Game Contra adalah game jenis ‘run and shooting’. Pemain hanya perlu terus-terusan menembak tanpa perlu bimbang akan kehabisan peluru selain daripada perlu mengelak daripada terkena serangan musuh.

Sebelum game ini mula popular melalui konsol game, game ini telah dilancarkan melalui arked game pada tahun 1987. Apa yang menariknya, game ini dilancarkan beberapa tahun selepas umum mengetahui tentang ‘Iran-Contra affair’.

‘Iran-Contra affair’ adalah satu tindakan rahsia kerajaan Amerika Syarikat di mana Amerika yang pada ketika itu dipimpin oleh Presiden Ronald Reagan telah menjual senjata api kepada Iran dan duit keuntungan jualan senjata api ini telah digunakan sebagai dana untuk membantu pasukan pemberontak Nicaragua yang dikenali sebagai Contra.

game contra

Dengan bantuan daripada pihak Amerika Syarikat ini, pasukan pemberontak Contra dari Nicaragua ini dapat melakukan perang gerila terhadap musuhnya iaitu pihak kerajaan Sandinista.

Adakah peristiwa ini mempunyai kaitan dengan penamaan game ini dengan nama Contra? Setakat ini, belum ada lagi pihak yang mengiyakan ataupun menafikan pernyataan ini. Walaubagaimanapun, di dalam game ni ada sound track yang bernama Sandinista, sama seperti nama pihak kerajaan yang ditentang oleh pihak pemberontak Contra dari Nicaragua. Kebetulan? Mungkin.

Selepas popular menerusi arked, game Contra ini mula memasuki dunia konsol pada tahun 1988 dan buat pertama kalinya ia dimainkan bukan melalui konsol Micro Genius, tetapi melalui konsol NES (Nintendo Entertainment System) yang dikeluarkan oleh Nintendo.

game contra

Kredit foto: playbuzz.com

Di Eropah, game Contra ini telah ditukar nama menjadi Probotector. Watak manusia yang ada dalam game ini telah ditukar menjadi robot sepenuhnya. Penukaran ini terjadi kerana undang-undang di Jerman telah menetapkan untuk tidak membenarkan sebarang game memaparkan manusia membunuh manusia yang lain.

Jika melihat kepada cover game ini, anda akan dapati bahawa ia seakan-akan sama dengan dua watak filem yang cukup popular pada ketika itu. Watak pertama ialah Dutch dalam filem ‘Predator’ yang dilakonkan oleh pelakon Arnold Schawrzenegger. Watak kedua pula ialah Rambo dalam filem ‘Rambo’ yang dilakonkan oleh pelakon Sylvester Stallone.

game contra

Kredit foto: newretrowave.com

Contra juga telah dinobatkan sebagai game yang paling susah untuk dimainkan. Laman web IGN (In Game Name) telah meletakkan Contra di tempat kedua di antara 10 game yang paling susah untuk dimainkan.

Dek kerana populariti game Contra yang semakin meningkat pada ketika itu, pengeluar game ini iaitu Konami telah mengeluarkan beberapa siri game Contra. Antara contoh siri Contra yang telah dikeluarkan adalah seperti Contra: Operation C, Contra III: Alien Wars, Contra Force, Contra Hard Corps dan Super Contra.

Contra juga telah membuat kemunculan dalam era konsol game yang lebih canggih seperti PS3 dan juga Xbox 360 di mana grafiknya lebih lawa dan menarik. Namun begitu, untuk konsol moden ini, ia tidak menggunakan nama Contra, tetapi nama yang digunakan untuk game ini ialah Hard Corps: Uprising. Walaupun berbeza nama, tetapi gameplay game ini tetap sama seperti Contra.

game contra

Kredit foto: ign.com

Itulah dia serba sedikit tentang sejarah game Contra ini. Andainya dulu anda hanya seronok bermain game ini sahaja, kini anda dapat ketahui serba sedikit tentang latar belakang game ini yang pernah mewarnai kehidupan anda semasa kecil dahulu.

Andainya anda mahu tinggalkan pendapat atau cadangan tentang artikel ini jangan malu-malu untuk tinggalkan komen di bawah ya. Kami berminat untuk mengetahui apa yang ada dalam fikiran anda. Apa yang anda katakan, kadangkala menjadi satu ilmu baru untuk kami. Jangan lupa komen ya.

Baca lagi: 5 Perkara Yang Sering Dilakukan Ketika Bermain Micro Genius

Join us_New

1 Comment

  1. Kaklong

    September 15, 2016 at 11:20 PM

    Favourite game saya ni..
    Tak sangka ada kisah di sebaliknya..
    Tapi memang susah nak main, asyik2 game over.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *