Sesat di hutan? Kami kongsikan panduan bagaimana mahu terus bertahan dan mencari jalan keluar

Sesat di hutan memang sesuatu yang tidak ingin kita tempuhi. Itu menjadi satu igauan buruk buat sesiapa pun, baik yang berpengalaman apa lagi yang tidak. Sebab itu, amat penting untuk kita tahu dan bersedia dengan perkara-perkara asas di hutan apabila mahu menjejakkan kaki ke dalam hutan. Setiap hutan berbeza bacaannya, berbeza tingkahlakunya. Jadi, tidak boleh kita anggap semua hutan itu sama sambutannya.

Malang memang tidak berbau. Sesat di hutan tetap boleh terjadi pada bila-bila masa, dan kepada sesiapapun.

Terdapat banyak panduan yang boleh kita perolehi, dan di sini kami kongsikan tujuh (7) panduan yang boleh digunakan. Ini tidaklah menjamin kita boleh terus keluar dengan selamat, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh jadikan panduan ini sebagai sebahagian langkah untuk meneruskan hidup.

 

BERHENTI dan BERFIKIR

Survival - Stop

Sumber gambar; http://sunia.com.au/

Gunakan kata STOP sebagai panduan;

SStop (Berhenti/Bertenang)
TThink (Fikir)
OObserve (Perhati dan Faham)
PPlan (Rancang)

Sudah tentu, apabila kita sedar bahawa diri sudah sesat di dalam hutan reaksi segera yang datang ialah cemas dan panik. Ini normal, tetapi kita perlu bertindak dengan lebih rasional. Jadi langkah pertama, tenangkan diri dari kegusaran. Kemudian fikirkan langkah yang bersesuaian dengan memahami situasi semasa terlebih dahulu. Apabila sudah waras dan faham, mak bolehlah merangka rancangan untuk menyelamatkan diri, yakni;

1. Cari sumber air minuman.
2. Cari atau bina tempat berlindung sebelum malam
3. Cari/Sediakan senjata yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri
4. Tunggu jika ada bantuan datang
5. Cari sumber makanan
6. Berjalan pada satu arah pada waktu siang

 

Mencari sumber AIR

Survival - Dew

Sumber gambar; http://www.thiswallpaper.com/

Hutan selalunya mempunyai sumber bekalan air yang pelbagai. Tetapi perlu berhati-hati kerana takut air yang dijumpai sudah tercemar. Antar sumber air yang boleh diperolehi;

Air Hujan
Daun-daun di hutan selalunya lebih lebar dan boleh dijadikan bekas untuk menampung air. Atau gunakan pakaian yang ada untuk menyerap air, kemudian simpan ke dalam bekas air (jika ada).

Sungai
Sungai memang membekalkan air banyak, tetapi sebaiknya air sungai ini dimasak terlebih dahulu untuk mematikan bakteria yang ada. Kita tidak mahu masalah sesat bertambah dengan penyakit yang sengaja diundang.

Air Akar Tumpang/Batang Pokok Lembab
Selalunya akar/pokok begini ada air yang tersimpan. Tetas dan tunggu air mengalir.

Dari rekahan/lopak pokok, batu atau tanah
Air yang bertakung dalam hutan juga sering dijadikan sebagai sumber haiwan lain atau serangga

 

Mencari MAKANAN

Survival - Bird Nest

Sumber gambar; http://www.crafthubs.com/

Hutan selalunya tidak putus dengan sumber makanan. Yang menjadi isu ialah bagaimana mahu mencari dan mendapatkannya. Bukan semua ada kemahiran mecari makanan sendiri. Berikut ada beberapa cara kami kongsikan;

Membuat perangkap
Seboleh mungkin, jangan memburu apatah lagi jika tidak tahu. Ianya hanya membuang masa dan tenaga. Ketahui cara perangkap yang asas.

Telur Burung/Ayam Hutan
Pasti ada sarang burung yang boleh dicapai dan jika bernasib baik, ada telur di dalamnya. Telur dapat membekalkan tenaga yang pantas selepas keletihan di hutan.

Memancing/Menangkap ikan
Seperti yang selalu dipaparkan dalam filem survival, ikan ditangkap menggunakan kayu yang diruncingkan seperti tombak. Sebenarnya ada juga cara menangkap ikan dengan menggunakan pakaian yang ada di badan. Bear Grylls ada berkongsi kemahiran ini dalam salah satu siri rancangan Man Vs Wildnya.

Tumbuh-tumbuhan
Walaupun mudah diperolehi, tetapi tidak semua tumbuhan atau buah yang boleh dimakan. Silap makan, boleh keracunan dan membawa mudarat. Petua orang tua, kalau mencari buah hutan lihat di lantai pokok. Jika ada sisa buah yang dimakan oleh haiwan lain (selalunya monyet), maka buah itu selamat untuk dimakan.

 

Bina/Cari Tempat Berlindung

Survival - Gua

Sumber gambar; http://wallup.net/

Sudah tentu tempat berlindung menjadi sangat penting, terutamanya pada waktu malam. Waktu-waktu tertentu seperti hujan, ataupun mahu melepaskan lelah kepenatan memerlukan tempat yang sesuai.

Gua boleh juga dijadikan tempat berlindung, tetapi perlu berhati-hati kerana gua juga kadang-kadang sudah ada “tuan rumah”nya.

 

BERJALAN dan BEREHAT

Survival - Travel

Sumber gambar; http://www.mysanantonio.com/

Berjalan mencari jalan keluar pada waktu siang, bukan malam.

Bawa bersama batang kayu yang boleh dijadikan tongkat (dan senjata) ketika berjalan. Batang kayu ini sangat berguna pada waktu-waktu terdesak. Sudah tentu, berjalan pada waktu siang lebih mudah berbanding waktu malam yang gelap. Di dalam hutan, waktu petang pun sudah menjadi gelap.

Berjalan menghala ke satu arah; pastikan ada satu titik fokus yang boleh dijadikan panduan arah perjalanan. Dan pastikan ada satu titik lokasi lain yang mahu ditinggalkan. Misalnya, mahu menjauhi gunung dan menghala ke hilir sungai.

Sekiranya ada tapak kaki laluan haiwan hutan, itu juga boleh membantu. Selalunya jejak kaki mereka akan menuju ke arah sumber makanan dan air. Sebaliknya, jika tapak kaki itu melingkar di sekitar anda sahaja, berhati-hatilah!

 

Haiwan Pemangsa

Survival - Predator

Sumber gambar; http://www.allaboutwildlife.com/

Undang-undang rimba sememangnya ganas. Banyak pemangsa yang berkeliaran, jadi perlu berhati-hati. Elakkan membuat perkara yang menarik perhatian, seperti membuat bising. Sentiasa sediakan batang kayu disisi sebagai senjata dan perlindungan diri.

Ular dan haiwan berbisa yang lain juga, jangan dipandang mudah.

Nyamuk sangat berleluasa dan mudah membawa penyakit seperti malaria dan denggi. Untuk mengelakkan serangan nyamuk yang merbahaya ini, antara petua yang dikongsi adalah dengan melumurkan bahagian badan yang terdedah dengan lumpur.

 

Berusaha Untuk Diselamatkan

Sekiranya kita adalah mangsa kapal terbang terhempas yang terselamat, kekal sahaja di kawasan kejadian. Pertolongan pasti akan datang. Sebaliknya jika anda ragu-ragu (berdasarkan kedudukan lokasi kejadian yang jauh dan terlindung), bolehlah menggunakan panduan yang digunakan di atas.

 

Siap siaga!

Dewasa ini, kita terlalu bergantung kepada teknologi untuk kehidupan seharian. Sehingga sudah hampir hilang asas pengetahuan dalam ilmu ketahanan hidup. Sesekali, keluar dari zon selesa kita dan pergi “cabar” diri dengan aktiviti lasak yang lebih membina kemahiran dan pengalaman. Jika ragu-ragu, dapatkan panduan daripada mereka yang berpengalaman.

 

_____
Rujukan; Survive Nature, Gunung-ganang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *