Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Kredit : PBAKL

Pesta buku terbesar di Malaysia bakal tiba. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017 akan diadakan pada 28 April sehingga 7 Mei selama 10 hari. Pesta buku kali ini mensasarkan 2.5 pengunjung yang akan hadir.

Bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pesta buku ini adalah inisiatif anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dengan kolaborasi Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pesta buku yang telah memasuki tahun ke-36 ini menyediakan 11 buah ruangan pameran. Kira-kira 905 buah reruai pameran akan menempatkan 250 pempamer yang terdiri daripada syarikat tempatan dan juga syarikat dari luar negara.

Untuk menyambut baik pesta buku ini, penganjur dengan kerjasama beberapa pihak yang lain ada menganjurkan beberapa acara pembukaan untuk PBAKL 2017.

Acara tersebut termasuklah penganjuran ‘Baca World’, ‘Asean e-Reading Conference (AEC) dan Perhimpunan Penulis-Penulis Asean, yang akan menghimpunkan lebih 1,000 penulis dari rantau Asia Tenggara.

PBAKL 2017 ini diharap dapat menjadikan Malaysia sebagai pusat ilmu di rantau Asia Tenggara. Pesta buku kali ini dijangka lebih besar kerana menggunakan keseluruhan dewan utama PWTC termasuk Dewan Tun Razak 2.

Umum mengetahui bahawa PBAKL sebelum ini diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). Pemindahan tempat pada tahun ini disebabkan permintaan para pempamer agar ia dapat menampung dua kandungan baharu PBAKL iaitu Baca World 2017 dan Asean E-Book Conference (AEC). Baca World 2017 ialah sebuah pameran kandungan digital.

Jika di MAEPS Serdang, beberapa isu ditimbulkan termasuklah isu pengangkutan awam, kekurangan pengunjung di segmen yang tertentu dan kesan langsung yang diterima para penerbit. Untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang kembali, para penganjur bercadang untuk mengubah lokasi pesta buku pada tahun ini.

Pun begitu, pameran buku berskala besar akan tetap dianjurkan di MAEPS pada tarikh yang berbeza kerana lokasi tersebut juga turut menarik pengunjung yang tersendiri. Ini merupakan permintaan para pembaca itu sendiri.

PBAKL ke-35 yang berlangsung di MAEPS telah mencatat kehadiran hampir 2.2 juta pengunjung dari selatan, utara dan pantai timur, tanpa memerlukan mereka untuk memasuki ibu kota. Kerana itulah pesta yang serupa juga tetap akan diadakan di sana.

Berbalik kepada acara yang berlangsung sepanjang PBAKL 2017, salah satu acara tersebut termasuklah Perhimpunan 1000 Penulis yang bakal diadakan pada 6 Mei 2017, juga di PWTC.

Jadi, siapakah yang patut menghadiri Perhimpunan 1000 Penulis ini?

Sesiapa sahaja amatlah digalakkan termasuklah jika anda seorang penulis, karyawan, baru menjinakkan diri untuk berkarya.

Apa sahaja bentuk karya termasuklah fiksyen atau bukan fiksyen, puisi, novel, buku teks sekolah, buku cerita, skrip drama, lirik lagu mahupun hanya lakaran atas kertas, kesemua yang bersangkut paut dengan ini boleh menghadiri perhimpunan ini.

Sama ada buku bercetak, karya digutal, karya atas talian, skrip pementasan, lukisan pameran, lagu yang didendangkan malah apa sahaja bentuk karya anda, semuanya dikira sebagai sebuah karya dan anda layak untuk menghadiri perhimpunan ini. Tiada sebarang syarat yang ketat dikenakan.

 

Definisi karyawan itu tidak terbatas.

Kredit : Facebook

Perhimpunan 1000 Penulis ini bakal menampilkan penulis-penulis di seantero Asia Tenggara termasuklah karyawan dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Malaysia sendiri. Ada beberapa bentuk forum yang bakal dihidangkan kepada pengunjung yang berdaftar. Selain itu juga disajikan satu sesi penulis bertemu dengan pembaca.
Pada masa inilah anda boleh meluangkan masa dan ambil peluang untuk bertanya tentang tips-tips dan nasihat jika anda ingin menceburkan diri dalam bidang penulisan.
Pendaftaran perhimpunan ini masih dibuka. Anda boleh lawati website mereka untuk maklumat lanjut.
Jangan lupa hadiri PBAKL 2017! Bangsa membaca, bangsa berjaya.

 

Baca lagi : Ferrata Paling Tinggi Di Dunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *