Pendek Tapi Boleh Buat Dunk? Inilah 5 Pemain Pendek Dalam NBA Yang Boleh Buat Dunk

Baiklah, untuk kali ini, kami nak bercerita tentang perihal NBA pula. Dalam beberapa artikel yang lepas, kami ada ceritakan tentang pemain-pemain NBA yang merupakan dunkers terhebat dalam sejarah NBA. Tetapi, untuk kali ini, kami ingin kongsikan dengan anda 5 pemain pendek dalam sejarah NBA yang boleh membuat aksi dunk.

Untuk makluman anda, tinggi jaring bola keranjang NBA dengan gelanggannya ialah 10 kaki atau bersamaan dengan 3.05 meter. Jadi, kebiasaannya, hanya pemain yang mempunyai ketinggian 1.9 meter ke atas sahaja yang boleh membuat dunk.

Tetapi, dalam senarai yang kami buat ini, pemain-pemainnya semua mempunyai ketinggian kurang daripada 1.9 meter. Walaupun rendah, mereka masih boleh membuat dunk malah ada antaranya sudah memenangi pertandingan slam dunk NBA.

Tanpa membuang masa, jom kita sama-sama lihat senarai yang sudah disediakan ini.

pendek

Kredit foto: Getty Images

#5. Robert Pack (1.88 meter)

Pemain ini kini sudah berusia 47 tahun dan telah memulakan kariernya dalam NBA pada tahun 1991 di mana kelab pertama yang diwakilinya ialah Portland Trail Blazers. Kini, beliau menjadi pembantu jurulatih untuk pasukan New Orleans Pelicans.

Antara aksi dunk Robert Pack yang turut dikenali sebagai ‘The Pacman’ ini ialah semasa pasukannya, Denver Nuggets bertembung dengan Seattle Sonics. Robert Pack telah membawa bola dari kawasannya sendiri, melepasi beberapa pemain Sonics, dan kemudian melompat dan merempuh pemain lagenda NBA iaitu Shawn Kemp untuk membuat dunk.

Baca lagi: Inilah Dia 5 Dunkers Terhebat Dalam Sejarah NBA Yang Anda Patut Tahu

Kredit foto: NBA.com

#4. Kevin Johnson (1.85 meter)

Antara aksi dunk Kevin Johnson ataupun lebih dikenali sebagai K.J yang paling diingati ialah semasa game keempat Western Conference Semifinals pada tahun 1994. Pada ketika ini K.J mewakili Pheonix Suns dan sedang menentang pasukan Houston Rockets.

K.J telah membuat satu aksi dunk melepasi antara pemain tertinggi dan terbesar dalam sejarah NBA iaitu Hakeem Olajuwon. Pada ketinggian 1.85 meter sahaja, K.J berjaya merempuh dan melompat mengatasi Olajuwon yang mempunyai ketinggian 2.13 meter untuk membuat dunk.

Aksi ini sememangnya diingati oleh mana-mana peminat NBA.

Kredit foto: Complex

#3. Dee Brown (1.85 meter)

Sepanjang kariernya, Dee Brown pernah mewakili tiga pasukan berbeza iaitu Boston Celtics, Toronto Raptors dan yang terakhir ialah Orlando Magic. Brown telah menamatkan kariernya sebagai pemain NBA pada tahun 2002 tetapi masih meneruskan perjuangannya dalam sukan bola keranjang sebagai jurulatih.

Mengikut rekod, Brown adalah antara 3 pemain terpendek dalam sejarah NBA yang pernah memenangi pertandingan slam dunk. Kejayaan ini diperolehi pada tahun 1991 dimana gaya ‘no look slam dunk’ yang dilakukannya berjaya membantunya memenangi pertandingan slam dunk.

Kredit foto: Pinterest

#2. Nate Robinson (1.75 meter)

Nate Robinson ataupun ‘Little Nate’ adalah satu-satunya pemain terpendek dalam sejarah NBA yang pernah memenangi pertandingan slam dunk sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 2006, 2009 dan 2010.

Namun begitu, aksi dunk Robinson dalam pertandingan slam dunk pada tahun 2009 adalah yang paling diingati. Aksi dunk yang dilakukan oleh Robinson turut mendapat nama gelaran iaitu ‘The KryptoNate’. Aksi ini kelihatan begitu hebat kerana Robinson telah melompat di atas Dwight Howard yang berketinggian 2.11 meter untuk membuat dunk.

Kredit foto: Pinterest

#1. Spud Webb (1.7 meter)

Inilah dia pemain paling pendek dalam sejarah NBA tetapi mampu untuk membuat aksi dunk malah turut memenangi pertandingan slam dunk pada tahun 1986. Dalam pertandingan ini, Webb berjaya mengalahkan juara bertahan yang juga rakan sepasukannya iaitu Dominique Wilkins.

Pada waktu pertandingan itu, Webb telah menampilkan aksi-aksi dunk yang menarik dan antaranya ialah ‘360 Helicopter dunk’ dan juga ‘180-degree reverse double-pump dunk’. Webb juga adalah orang yang bertanggungjawab melatih Nate Robinson untuk memenangi pertandingan slam dunk NBA.

Kehebatan kelima-lima pemain pendek dalam NBA ini adalah bukti bahawa saiz badan tidak patut menjadi penghalang untuk anda mencapai kejayaan. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah putus asa, anda pasti berjaya kecapi yang anda mahukan.

Adakah anda rasa ada lagi pemain-pemain yang rendah dalam NBA yang boleh membuat dunk? Jika ada, tinggalkan pendapat anda dalam ruangan komen di bawah ye.

Baca lagi: Pemain-Pemain J-League Ini Menjadikan 3 Sepakan Dalam Komik Captain Tsubasa Satu Realiti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *