(Bola Sepak) 2 Tonggak Harimau Malaysia Umumkan Persaraan

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan berita dua orang bintang bola sepak Harimau Malaysia yang telah mengumumkan persaraan mereka di peringkat antarabangsa iaitu, Mohd Safiq Rahim dan juga Aidil Zafuan Abdul Razak.

Mohd Safiq Rahim, 29 tahun, yang juga kapten Harimau Malaysia telah mengumumkan persaraannya di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Safiq Rahim mengatakan bahawa sudah tiba masanya untuk beliau bersara dan memberikan peluang kepada pemain-pemain muda lain untuk mewakili negara. Safiq juga berharap dengan kemasukan pemain-pemain muda akan memberikan impak positif dan idea yang lebih segar buat skuad Harimau Malaysia.

Sumber gambar: www.kwiknews.my

Antara pencapaian terbaik yang pernah dimiliki Safiq Rahim ialah memenangi pingat emas di Sukan Sea 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010. Beliau telah mula beraksi dengan skuad Harimau Malaysia sejak tahun 2007.

Safiq Rahim telah membuat sebanyak 66 penampilan bersama skuad kebangsaan dan telah menjaringkan 15 gol di peringkat antarabangsa. Safiq merupakan set-piece specialist pasukan bola sepak Malaysia.

Turut mengikut jejak Safiq Rahim ialah rakan sepasukannya dari Johor Darul Takzim iaitu Aidil Zafuan Abdul Razak. Aidil telah mengumumkan persaraannya selepas pulang dari Jelajah Oceania di mana skuad kebangsaan telah mencatat keputusan 1 menang, 1 seri dan 1 kalah.

Sumber gambar: www.mynewshub.cc

Aidil, 28 tahun dan merupakan pemain pertahanan mengumumkan persaraannya di laman Facebook Johor Southern Tigers. Aidil turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepada para peminat dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana menyokong kariernya sepanjang mewakili skuad Harimau Malaysia.

Pencapaian terbaik Aidil ialah memenangi pingat emas di Sukan Sea 2009 selain turut mewakili Malaysia dalam pusingan Kelayakan Belia Bawah 20 AFC 2004 dan juga Sukan Olimpik 2008.

Aidil telah membuat 68 penampilan bersama skuad kebangsaan sejak menyertai pasukan ini pada tahun 2007. Aidil telah menjaringkan 3 gol sepanjang bergelar pemain Harimau Malaysia.

Sumber gambar: www.espnfc.com

Berita ini sudah tentu memberi tamparan hebat kepada pengendali skuad Harimau Malaysia iaitu Datuk Ong Kim Swee. Dalam keadaan beliau mahu menaikkan semula imej skuad kebangsaan, beliau telah kehilangan dua tonggak utama ini.

Apa-apa pun, kami di Mensive mendoakan yang terbaik buat Safiq Rahim dan Aidil Zafuan serta tidak dilupakan buat Datuk Ong Kim Swee agar dapat mencari pengganti yang lebih baik untuk memantapkan lagi skuad Harimau Malaysia.

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *