Pemain Bola Sepak Yang Pernah Popular Kerana Penipuannya Yang ‘World Class’

pemain bola sepak

Kredit foto: Sportskeeda

Lelaki ini telah digelar sebagai pemain bola sepak yang paling hebat dalam membuat penipuan. Penipuannya benar-benar telah membantunya untuk terus bergelar sebagai pemain profesional walaupun beliau tidak pernah bermain (sepenuh masa) dalam mana-mana perlawanan dalam mana-mana kelab yang diwakilinya.

Carlos Henrique ataupun lebih dikenali dengan nama samarannya, Kaiser, adalah pemain bola sepak kelahiran Brazil. Sejak dari kecil, Kaiser sama seperti kanak-kanak kecil di Brazil yang mahu bergelar pemain bola sepak ternama selepas melihat kejayaan Brazil di Piala Dunia 1970.

Semasa muda, Kaiser boleh bermain bola sepak dengan begitu baik sehinggakan beliau dilamar untuk bermain dengan kelab Puebla FC iaitu kelab dari Mexico. Namun begitu, beliau gagal menunjukkan prestasi yang baik dan telah dilepaskan oleh Puebla FC.

Walaupun Kaiser telah ditunjukkan jalan keluar oleh Puebla FC, beliau tetap tidak berputus asa untuk bergelar sebagai pemain profesional. Jadi, Kaiser telah pulang semula ke Rio De Janeiro dan semasa bertandang ke sebuah kelab malam di Rio, beliau telah bertemu beberapa pemain ternama Brazil seperti Romario, Bebeto dan Renato Gaucho.

Antara kelebihan Kaiser selain daripada pandai bermain bola sepak, beliau juga mampu membina hubungan persahabatan dengan mudah. Apabila persahabatannya dengan pemain-pemain hebat Brazil ini semakin baik, beliau menggunakan kesempatan ini dengan meminta bantuan mereka untuk mendapatkannya tempat dalam mana-mana kelab bola sepak.

Baca lagi: 5 ‘Pelakon’ Hebat dalam Bola Sepak

ads-beard-oil

pemain bola sepak

Kredit foto: Sportskeeda

Penipuan Pertama

Hasil bantuan pemain-pemain ternama Brazil ini, Kaiser berjaya mendapatkan kontrak percubaan 3 bulan dengan kelab Botafogo. Kaiser tahu beliau akan diuji dalam perlawanan latihan, tetapi beliau juga tahu perlawanan ini boleh menyebabkan kontraknya tidak akan disambung sepertimana yang berlaku di Puebla FC.

Jadi, beberapa minggu sebelum tarikh perlawanan, Kaiser telah memohon kepada jurulatihnya untuk membuat latihan kecergasan. Kaiser memberitahu jurulatihnya bahawa beliau seorang pemain penyerang yang pantas, jadi latihan kecergasan ini penting buat kepantasannya dan jurulatih membenarkan Kaiser melakukan latihan tersebut.

Pada hari perlawanan, Kaiser meminta agar first ball diberikan kepadanya untuk membuat serangan. Apabila bola dihantar beberapa ela di depan Kaiser, beliau telah mengejar bola tersebut dan kemudiannya dengan sengaja beliau menjatuhkan dirinya.

Kaiser mengatakan bahawa dia mengalami hamstring. Pada era 80an, tiada teknologi yang cukup bagus untuk membuktikan sama ada Kaiser benar-benar mengalami hamstring ataupun tidak, maka Kaiser telah dikeluarkan dari padang untuk mendapatkan rawatan.

Kecederaan palsu ini telah membantu Kaiser untuk mengekalkan kontraknya bersama Botafogo lebih dari tiga bulan tanpa perlu bermain satu perlawanan pun dan kelab masih tetap membayar gaji kepadanya.

pemain bola sepak

Kredit foto: ba.n1info.com

Walaupun tidak bermain, Kaiser juga pandai untuk menunjukkan reputasinya yang hebat kepada rakan-rakan sepasukannya bahawa beliau seorang penyerang yang digilai oleh mana-mana kelab bola sepak yang ada di dunia ini.

Kaiser mempunyai sebuah telefon bimbit yang beliau gunakan untuk berlakon seperti mendapat panggilan telefon daripada kelab-kelab eropah yang berminat mahu mendapatkan khidmatnya. Kaiser akan bercakap menggunakan Bahasa Inggeris memandangkan rakan-rakan sepasukannya langsung tidak fasih berbahasa inggeris.

Rakan-rakan sepasukannya yang mendengar perbualan palsu Kaiser itu memang percaya dengan lakonannya. Tetapi, lakonan Kaiser tidak bertahan lama apabila doktor kelab Botafago, Ronaldo Torres yang fasih berbahasa inggeris kebetulan terdengar perbualan palsu Kaiser.

Doktor tersebut mengatakan bahawa perbualan Kaiser dalam bahasa inggeris itu adalah sesuatu yang merapu dan mengarut. Selepas satu siasatan dijalankan, mereka mendapati bahawa telefon bimbit itu hanyalah alat mainan.

Walaupun sudah ‘kantoi’ di Botafago, Kaiser masih tetap meneruskan penipuannya. Sekali lagi beliau menggunakan rakan-rakan bola sepaknya yang terkenal untuk membantunya mendapat kontrak di mana-mana kelab bola sepak.

Kali ini, beliau mendapat peluang untuk mewakili Flamengo. Menggunakan lakonan kecederaan yang sama, beliau dapat memanjangkan kontraknya dengan kelab dan masih menerima bayaran walaupun tidak pernah beraksi dalam satu perlawanan pun.

Penipuan Kaiser ini bukan sahaja berhasil dengan kelab-kelab di Brazil, malah beliau menggunakan penipuan ini semasa mewakili kelab di Amerika Syarikat dan juga di Perancis. Penipuan ini membantu beliau bergelar pemain bola sepak profesional tanpa perlu bermain bola sepak.

Baca lagi: 5 Pemain Ini Masih Kekal Bentuk Rambutnya Walaupun Selepas 90 Minit Bermain Bola Sepak

ads-pomade_updated

pemain bola sepak

Kredit foto: sports-images.vice.com

Pakar Menipu

Terdapat satu cerita semasa beliau mewakili kelab Bangu, sebuah kelab di Brazil, pengerusi kelab ini iaitu Carlos de Angrade mahukan Kaiser beraksi dalam perlawanan. Jadi, susah bagi Kaiser untuk menipu dengan cara berlakon cedera.

Jadi, semasa disuruh memanaskan badan di tepi padang, Kaiser mendengar penyokong-penyokong Bangu telah mengejek pasukan mereka sendiri. Melihat situasi ini sebagai peluang menyelamatkan diri, Kaiser telah memanjat pagar penyokong dan memaki hamun serta mencarut kepada penyokong.

Akibatnya, pengadil perlawanan telah memberi kad merah kepada Kaiser walaupun beliau belum lagi memulakan permainannya. Sekali lagi, Kaiser telah selamat daripada perlu beraksi dalam perlawanan tersebut.

Tetapi tindakannya telah mengundang kemarahan Angrade dan telah meminta Kaiser memberikan sebab mengapa beliau bertindak sedemikian. Kaiser berkata, “Tuhan telah memberikan saya seorang ayah tetapi beliau sudah meninggal dunia. Tetapi kali ini, Tuhan memberi saya ayah yang baru (pengerusi kelab Bangu), dan saya tak sanggup mendengar penyokong mengejek ayah saya sebagai pencuri. Atas sebab inilah, saya bertindak sedemikian.”

“Tuhan telah memberikan saya seorang ayah tetapi beliau sudah meninggal dunia. Tetapi kali ini, Tuhan memberi saya ayah yang baru (pengerusi kelab Bangu), dan saya tak sanggup mendengar penyokong mengejek ayah saya sebagai pencuri. Atas sebab inilah, saya bertindak sedemikian.”

Alasan Kaiser ini telah menyebabkan kontrak beliau dilanjutkan walaupun sebenarnya kontraknya akan ditamatkan serta merta.

pemain bola sepak

Kredit foto: france3-regions.francetvinfo.fr

Satu lagi cerita tentang penipuan menarik Kaiser ialah semasa beliau mewakili sebuah kelab di liga Perancis iaitu Gazelec Ajaccio. Pada hari latihan, Kaiser dapati penyokong-penyokong Ajaccio sedang berkerumun di tepi padang untuk melihat Kaiser berlatih. Ini kerana, mereka mahu melihat aksi Kaiser yang telah diwar-warkan sebagai penyerang yang sangat hebat.

Memandangkan menipu dengan cara cedera akan menyebabkan beliau ‘kantoi’, Kaiser membuat keputusan dengan mengambil semua bola latihan yang ada di atas padang dan menyepak semua bola tersebut ke arah para penyokong Ajaccio.

Tindakan ini telah menyelamatkan Kaiser memandangkan beliau dan rakan-rakan sepasukannya terpaksa menjalani latihan kecergasan sahaja dan Kaiser tidak perlu menunjukkan aksinya dengan bola di kaki.

Sepanjang 20 tahun bergelar pemain bola sepak, Kaiser hanya membuat 30 penampilan dan kebanyakannya pula beliau berlakon cedera agar tidak perlu bermain. Kaiser sememangnya bukan pemain bola sepak yang hebat, tetapi penipuannya telah membantu beliau bergelar pemain profesional yang menerima gaji sepanjang 20 tahun.

Hebat betul Kaiser ni kan? Di Malaysia ni, agak-agak, ada tak pemain-pemain bola sepak yang pernah buat perangai seperti beliau? Kalau anda tau, apa kata anda tinggalkan pendapat anda dalam ruangan komen di bawah, bolehlah kita bertukar-tukar pengetahuan. Jangan malu jangan segan ya untuk tinggalkan komen.

Sumber: Sportskeeda, Backpage Football

Baca lagi: Mengapa Zlatan Ibrahimovic Angkuh dan Sombong? Ini Puncanya

Join us_New

1 Comment

  1. Shah

    October 2, 2016 at 11:19 PM

    Power giler dia ni. Sampai 20 tahun menipu..haha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.