(Olimpik Rio 2016) Pandalela-Cheong Sumbang Pingat Pertama Malaysia di Rio

Kredit foto: New Straits Times Online

Kredit foto: New Straits Times Online

Akhirnya, Malaysia berjaya meraih pingat pertama semalam di Sukan Olimpik Rio 2016. Pingat pertama ini disumbangkan oleh pasangan penerjun negara iaitu Pandalela Rinong dan juga Cheong Jun Hoong dalam acara terjun berirama 10 meter. Mereka berdua telah menyumbangkan pingat perak untuk pasukan Malaysia.

Pandalela dan Cheong mengumpul mata sebanyak 344.34 untuk mendapat pingat perak dan berada di belakang pasangan penerjun dari China, Chen Roulin dan Lui Huixia yang mendapat 354 mata untuk melayakkan mereka memenangi pingat emas. Pingat gangsa pula dimenangi oleh pasangan penerjun dari Kanada iaitu Meghan Benfito dan Roseline Filion.

Pandalela akui yang beliau agak tertekan sebelum acara berlangsung. Walaubagaimanapun beliau telah diberi nasihat agar kekal fokus dan hanya perlu buat apa yang beliau sentiasa lakukan semasa latihan. Ini adalah pingat olimpik Pandalela yang kedua selepas memenanginya kali pertama di Olimpik London 2012.

Bagi Cheong pula, kemenangan ini telah menutup kesedihannya selepas kecewa dalam acara terjun 3 meter pada hari Ahad yang lepas. Acara itu disertai oleh beliau bersama-sama dengan pasangannya iaitu Nur Dabitah Sabri. Cheong berkata bahawa apa yang sudah terjadi harus dilupakan dan beliau berusaha keras untuk acara ini dan hasilnya sangat berbaloi apabila memenangi pingat perak.

Misi mereka masih belum tamat memandangkan selepas ini Pandalela dan Cheong akan beraksi dalam acara individu pula. Pandelala akan beraksi dalam acara terjun 10 meter manakala Cheong akan beraksi dalam acara terjun 3 meter.

Di atas kejayaan ini, Majlis Sukan Negara akan memberi insentif sebanyak RM600,000 kepada Pandalela dan Cheong dan mereka berdua juga akan mendapat pencen RM3000 sebulan seumur hidup.

Kami di Mensive mendoakan agar Pandalela Rinong dan Cheong Jun Hoong akan terus beraksi cemerlang dan mampu untuk terus menyumbang pingat kepada pasukan Malaysia.

Sumber: New Straits Times Online

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *