P. Ramlee: Lelaki Berjiwa Seni Dan Bukan ‘Businessman’

P. Ramlee. Nama yang tidak asing lagi bagi para penggemar filem-filem melayu. Tidak kira tua atau muda, semuanya pasti mudah terhibur dengan filem-filem arahan seniman agung ini. Filem-filem seperti Seniman Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang, Musang Berjanggut, adalah antara filem yang akan buat kita tak kering gusi ketawa dan yang paling ajaibnya, kita tidak akan berasa bosan walaupun sudah menonton filem-filem tersebut berulang-ulang kali.

Walaubagaimanapun, baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth Pictures (MiG), David Teo, telah memberikan kenyataan kontroversi tentang Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Sumber gambar: themalaymailonline.com

Semasa ditemuramah baru-baru ini, David berkata bahawa dia mahu artis-artis di dalam kendalian syarikatnya bukan sahaja boleh menjadi bintang terkenal, malah turut mahu artis-artisnya menjadi jutawan. Kemudian, David telah mengaitkan seniman agung P. Ramlee dengan mengatakan bahawa tidak guna menjadi popular tetapi hidup melarat seperti Tan Sri P. Ramlee.

Selain itu, David juga telah mengatakan, akibat hidup P. Ramlee yang melarat, anaknya terpaksa bekerja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sumber gambar: studioh.com.my

Kenyataan kontroversi David Teo telah mengundang kemarahan pelbagai pihak termasuklah artis-artis Malaysia. Contohnya seperti pengarah Mamat Khalid. Mamat Khalid mengatakan bahawa David boleh katakan apa sahaja untuk melariskan filem-filem terbitan beliau tetapi jangan sesekali menggunakan nama P. Ramlee untuk menampakkan beliau lebih bagus kerana bagi Mamat Khalid, P. Ramlee adalah insan yang tiada penggantinya hingga kini.

Selain itu, pelawak dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki turut menyampaikan pendapatnya tentang hal ini. Afdlin mengatakan bahawa P. Ramlee hidup melarat akibat daripada beliau tidak mendapat perlindungan harta intelektualnya iaitu filem-filem dan lagu-lagunya. Rentetan daripada itu, P. Ramlee tidak mendapat bayaran royalti dan begitu juga waris-warisnya. Perkara ini terjadi kerana terdapat campur tangan daripada pihak-pihak yang mahu mengaut keuntungan untuk kepentingan diri sendiri sahaja.

Sumber gambar: mole.my

Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi, turut mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh David Teo. Zed Zaidi menyatakan bahawa filem-filem terbitan MiG tidak ada kualiti jika hendak dibandingkan dengan filem-filem P. Ramlee.

Sememangnya, apa yang dikatakan oleh David Teo itu mengundang kemarahan peminat-peminat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Tetapi, suka penulis di sini untuk menggunakan poin yang diberikan oleh Afdlin Shauki di mana Afdlin mengatakan bahawa David Teo adalah seorang ‘businessman’, jadi tak mustahil untuk David mengatakan bahawa dia mahu artis-artis di bawah naungan syarikatnya menjadi jutawan.

Sumber gambar: slideshare.net

Walaubagaimanapun, berbeza dengan P. Ramlee. Beliau bukanlah seorang ‘businessman’, tetapi beliau adalah seorang insan yang berjiwa seni dan segala kudrat yang beliau ada dihabiskan untuk mencipta karya terhebat dan memberi kesan kepada masyarakat. Duit bukanlah segalanya untuk seniman agung ini, tetapi karyanya yang bertahan sepanjang zaman itulah fokusnya selama bergiat sebagai artis, penyanyi, pengarah dan juga komposer.

Bagi penulis, tidak ada masalah untuk David Teo menggalakkan artis-artisnya menjadi jutawan, cuma penggunaan contoh yang diberikan oleh David adalah tidak sesuai. Ataupun, David perlu menjelaskan dengan lebih baik mengapa dia menggunakan P. Ramlee sebagai contoh. Kadangkala, ada sesuatu yang perlu diterangkan dengan panjang lebar agar tidak timbul salah sangka. Al-fatihah untuk Allahyarham P. Ramlee.