(Olimpik Rio 2016) 3 Sukan Ini Menjadi Harapan Malaysia Untuk Meraih Pingat Di Brazil

Temasya sukan terulung di dunia iaitu Sukan Olimpik akan mula membuka tirainya pada 5 Ogos 2016. Untuk edisi kali ini, Brazil telah dipilih sebagai tuan rumah dan acara-acara sukan akan berlangsung di beberapa buah negeri di Brazil seperti di Sao Paolo, Salvador dan Brasilia.

Sumber gambar: www.youtube.com

Lebih kurang 10,500 atlet akan bertandang ke Rio untuk bersaing dalam acara sukan masing-masing. Pada temasya kali ini, sebanyak 28 jenis sukan dipertandingkan dan 306 buah pingat telah disediakan untuk para pemenang Sukan Olimpik 2016.

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menyertai Sukan Olimpik 2016 ini. Sebanyak 32 orang atlet akan mewakili kontijen Malaysia. Malaysia berjaya layak dalam 9 acara sukan yang dipertandingkan. Tetapi yang menjadi persoalannya sekarang, sukan manakah yang menjadi harapan kontijen Malaysia untuk memenangi pingat?

Berdasarkan prestasi semasa, 3 sukan di bawah ini ialah antara sukan yang akan menjadi harapan skuad Malaysia untuk menggondol pingat di Sukan Olimpik 2016 kelak.

TERJUN

Pandalela Rinong (Sumber gambar: www.zimbio.com)

Acara terjun menjadi harapan kontijen Malaysia untuk meraih pingat bagi temasya sukan olimpik edisi kali ini. Pandalela Rinong menjadi atlet harapan untuk acara terjun ini. Beliau juga merupakan atlet Malaysia pertama yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016.

4 tahun lepas, Pandalela Rinong telah mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama di Malaysia yang memenangi pingat di Olimpik London 2012. Pandalela berharap, pingat gangsa yang dimenanginya 4 tahun lepas akan bertukar warna menjadi emas pada temasya kali ini.

Oleh kerana diletakkan sebagai harapan untuk memenangi pingat di Olimpik Rio 2016, sedikit sebanyak ia memberi tekanan kepada Pandalela agar memberikan yang terbaik supaya pingat emas olimpik dapat dibawa pulang ke Malaysia.

BADMINTON

Datuk Lee Chong Wei (Sumber gambar: www.therakyatpost.com)

Badminton dijadikan sandaran utama skuad Malaysia dengan adanya penyertaan hero badminton Malaysia iaitu Datuk Lee Chong Wei. Ini adalah penyertaan kali keempat buat Datuk Lee Chong Wei dalam temasya sukan terulung ini.

Datuk Lee Chong Wei telah beraksi cemerlang dalam Piala Thomas baru-baru ini walaupun Malaysia tidak berjaya menjadi johan. Beliau telah memenangi setiap perlawanan beliau dengan memberi tentangan sengit kepada lawannya.

Selain itu, beliau kini berada di kedudukan kedua ranking dunia dan sekaligus meletakkan beliau sebagai atlet harapan untuk meraih pingat pada sukan olimpik kali ini. Dalam sukan olimpik sebelum ini, Datuk Lee Chong Wei telah memenangi pingat perak pada tahun 2008 dan juga tahun 2012.

Jadi, pada tahun ini, ia akan jadi tahun terakhir untuk Datuk Lee Chong Wei membantu kontijen Malaysia memenangi pingat emas olimpik dalam acara badminton.

BERBASIKAL

Azizulhasni Awang (Sumber gambar: www.zimbio.com)

Dengan keupayaan yang dimiliki oleh Azizulhasni Awang atau dikenali juga sebagai The Pocket Rocket Man, beliau telah diletakkan sebagai atlet harapan untuk memenangi pingat pada Sukan Olimpik 2016 ini.

Berdasarkan prestasi semasa, Azizul yang akan menyertai acara berbasikal (keirin), beliau telah berjaya meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Trek Dunia yang berlangsung di London baru-baru ini.

Selain daripada itu, Azizul juga pernah memenangi pingat emas dan perak dalam Kejohanan Asia 2015 dan juga pingat gangsa dalam Sukan Komanwel 2014.

Walaupun memiliki fizikal yang kecil berbanding atlet-atlet lumba basikal yang lain terutama sekali dari Eropah, Azizul sering dilihat sebagai ancaman utama oleh atlet lain untuk bersaing dalam acara berbasikal ini.

3 sukan ini adalah harapan kontijen Malaysia untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik 2016, namun begitu acara lain tidak boleh kita pandang sebelah mata sahaja. Walaupun tidak menjadi harapan, acara-acara seperti memanah, menembak ataupun angkat berat mungkin boleh memberikan kejutan.

Apa-apa pun, marilah kita doakan yang terbaik untuk atlet-atlet yang mewakili kontijen Malaysia. Majulah sukan untuk negara.

 

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *