(Moto Gp) Nasihat Lagenda Kepada Super Kip

Walaupun berita kemenangan Khairul Idham Pawi dalam saingan kategori Moto 3 Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix di Jerman masih hangat diperkatakan, bekas pelumba motosikal negara, Shahrol Yuzy telah tampil untuk memberi nasihat kepada Khairul ataupun dikenali juga sebagai Super KIP.

Shahrol Yuzy merupakan pelumba motosikal negara dan mula aktif bergiat dalam bidang ini sejak tahun 1996. Beliau yang berasal dari Teluk Intan, Perak ini telah melibatkan diri dalam dunia permotoran ini dengan bersaing dalam kategori 250 cc.

Kredit: www.duniasukan.com

Kini, walaupun sudah bersara sebagai pelumba motosikal, Shahrol, 40 tahun, masih bergiat aktif dalam dunia motosikal dengan menubuhkan pasukan motosikalnya sendiri yang dikenali sebagai Pasukan Yuzy Racing yang bertanggungjawab melahirkan bakat-bakat baru dalam sukan motosikal negara.

Nasihat yang ingin disampaikan oleh Shahrol Yuzy kepada Khairul Idham Pawi ialah, Khairul mesti berusaha untuk memberikan prestasi yang terbaik ketika beraksi di litar kering. Shahrol dapat melihat bahawa Khairul mempunyai keyakinan diri yang rendah apabila beraksi di litar kering sehingga gagal memberi tentangan yang baik kepada para pesaingnya.

Khairul mesti berusaha untuk mengubah mentalitinya apabila berlumba di litar kering. Shahrol bukan mahu melihat Khairul terus mengecap kemenangan di litar kering, tetapi Khairul mestilah menunjukkan peningkatan semasa beraksi di litar jenis ini. Ini dapat membantu membina keyakinan dalam diri Khairul dan seterusnya mampu berada sebaris dengan pelumba-pelumba hebat yang lain.

Kredit: www.zimbio.com

Shahrol turut berkata bahawa, selain Khairul, pelumba-pelumba negara yang lain pun sudah biasa dengan litar basah kerana mereka sudah didedahkan dengan keadaan litar seperti itu semenjak beraksi dalam Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC). Jadi, ini memang menjadi kelebihan pelumba-pelumba negara apabila beraksi di litar basah.

Semoga dengan nasihat yang diberikan oleh Shahrol Yuzy ini dapat membantu meningkatkan prestasi Khairul Idham Pawi ataupun Super KIP agar dapat merangkul lebih banyak kejuaraan dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.