Michael Oher: Dari Gelandangan Ke Bintang Super Bowl NFL

michael oher

Kredit foto: Newsday

Michael Oher adalah seorang bintang dalam sukan American Football. Namun begitu, sebelum beliau berjaya mengecapi kejayaan itu, Michael terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan dalam kehidupannya.

Beliau dilahirkan pada 28 May 1986 di Memphis, Tennessee. Nama sebenar Michael Oher ialah Michael Jerome Williams Jr. Beliau hidup dalam keluarga yang besar di mana beliau mempunyai 12 adik beradik. Michael dan adik-beradiknya hidup susah kerana ibu dan bapanya kurang memberi perhatian kepada mereka semua.

Ibu Michael adalah seorang penagih kokain manakala bapanya seringkali berada di dalam penjara akibat beberapa kesalahan yang selalu dilakukannya. Ini menyebabkan Michael sentiasa di masukkan ke rumah kebajikan dan menjadi gelandangan.

Kredit foto: COED

Sebagai seorang pelajar, Michael juga memiliki prestasi akademik yang tidak baik. Beliau terpaksa mengulang first grade dan second grade di samping bertukar-tukar sekolah sebanyak 11 kali dalam tempoh 9 tahun persekolahannya. Ketika berada sekolah menengah, Michael mendapat berita bahawa ayahnya telah dibunuh.

Peristiwa malang yang dihadapi oleh Michael Oher tidak berpanjangan sehingga dewasa apabila beliau telah diambil sebagai anak angkat kepada pasangan suami isteri Sean dan Leigh Anne Touhy semasa Michael berusia 17 tahun.

Sean dan Leigh yang menyedari bakat semulajadi Michael dalam sukan American Footbal telah berusaha membantu memasukkan Michael dalam pasukan American Football sekolahnya. Usaha ini berbaloi kerana Michael telah menunjukkan prestasi terbaiknya sehingga menjadi pemain yang paling dikehendaki oleh mana-mana pasukan di Tennessee.

Kredit foto: knownpeople.net

Tahun 2004 adalah tahun di mana kemuncak karier Michael sebagai pemain American Football. Beliau menjadi pemain yang semakin dikenali ramai dan telah dipilih oleh USA Today untuk disenaraikan sebagai first team All-America di samping diberi peluang untuk bermain dalam U.S Army All-America Bowl.

Beliau juga mendapat beberapa biasiswa hasil daripada kecemerlangannya dalam sukan American Football di mana Michael akhirnya memilih biasiswa dari University of Mississippi. Sebagai junior di universiti ini, beliau bermain sebanyak 11 perlawanan dan hasilnya beliau dipilih oleh The Sporting News sebagai first team Freshman All-America.

Pada tahun 2006, sebuah buku tentang kisah hidup Michael Oher telah diterbitkan di mana tajuk buku ini diberi nama ‘The Blind Side’. Penulis buku ini iaitu Michael Lewis telah menulis secara terperinci tentang kisah hidup Michael Oher sejak beliau kecil sehinggalah ke saat-saat beliau mengecap kecemerlangan hidupnya.

Baca lagi: James Braddock: Inilah Kisah Cinderella Yang Bukan Sebuah Kisah Dongeng

Kredit foto: Quotesgram

Buku ini juga telah memberi inspirasi kepada pengarah untuk mengadaptasinya menjadi sebuah filem. Maka, pada tahun 2009, buku ‘The Blind Side’ ini telah diangkat menjadi filem dengan tajuk yang sama. Filem ini dilakonkan oleh pelakon terkenal Hollywood iaitu Sandra Bullock dan filem ini juga telah dicalonkan dalam Oscar untuk kategori ‘Best Motion Picture of the Year’. Selain itu, filem ini turut mencatat kutipan box-office berjumlah 300 juta USD.

Michael Oher terus mendapat gemilang dalam kehidupannya apabila dipilih untuk berada dalam NFL draft untuk musim 2008. Namun begitu, beliau menarik diri dari NFL draft ini kerana memutuskan mahu menghabiskan tahun terakhirnya sebagai pemain American Football di universitinya.

Kemudian, semasa NFL draft untuk musim 2009, barulah Michael Oher memutuskan untuk bersaing dalam NFL dan akhirnya beliau telah dipilih untuk beraksi bersama dengan pasukan Baltimore Ravens.

Kredit foto: news.com.au

Saat paling manis buat Michael Oher semasa mewakili Baltimore Ravens ialah apabila beliau berjaya membantu pasukannya untuk mengalahkan pasukan San Franciso 49ners pada musim 2012/2013 untuk bergelar juara NFL. Semasa ditemuramah selepas kejayaan dramatik ini, di mana mereka menang tipis 34-31, Michael memberitahu bahawa beliau berasa sangat terkejut dengan kejayaan ini. Beliau telah melalui pelbagai kesusahan, kesukaran, cabaran dan halangan untuk sampai ke tahap ini dan akhirnya telah berjaya.

Kisah Michael Oher ini patut dijadikan iktibar kepada sesiapa sahaja di luar sana. Selagi hayat masih dikandung badan, sepatutnya kita perlu tetap berusaha meneruskan kehidupan walaupun sedang menghadapi dugaan yang sangat berat. Untuk berkata kita tidak boleh, mungkin kita patut lihat semula kisah hidup Michael Oher ini. Bagaimana daripada anak seorang penagih yang hidup sebagai gelandangan, akhirnya berjaya menjadi bintang American Football.

Semoga cerita ini menjadi inspirasi kepada anda semua untuk mencapai kejayaan hidup.

Baca lagi: 5 Quarterback NFL Terbaik Sepanjang Zaman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *