Mengapa Zlatan Ibrahimovic Sombong Dan Angkuh? Ini Puncanya

zlatan ibrahimovic

Kredit foto: zlatanibrahimovicfan.co.uk

Mempunyai wajah yang bengis dan memiliki badan yang sasa serta ketinggiannya yang mencecah 2 meter menyebabkan karakter sombong dan angkuh yang dibawanya kelihatan sesuai dan sinonim dengan insan yang bernama Zlatan Ibrahimovic ini.

Pemain yang berasal daripada Sweden dan kini berusia 34 tahun ini seringkali dilabel sebagai pemain yang sombong dan angkuh. Ini dapat dilihat apabila setiap kali beliau ditemuramah, jawapan-jawapan yang diberikan oleh beliau adalah ibarat ‘angkat bakul’ sendiri.

Adakala jawapannya akan mendatangkan rasa tidak senang kepada orang lain yang mendengar, tetapi, inilah perwatakan Zlatan Ibrahimovic yang kini beraksi bersama Manchester United. Beliau sentiasa tampil sombong dan angkuh dalam dunia bola sepaknya.

Mula menjadi pemain bola sepak profesional dengan menyertai kelab Malmo FF pada tahun 1999 sebelum menyertai Ajax Amsterdam. Selepas itu, kariernya terus berkembang dengan baik dan seiring dengan itu juga, watak sombong dan angkuhnya turut dibawa bersama.

Apakah yang telah menyebabkan Zlatan Ibrahimovic mahu memegang watak sebagai pemain bola sepak profesional yang sombong dan juga angkuh? Bukankah sikap ini tidak baik dan boleh menjatuhkan reputasi seseorang pemain?

Ibrahimovic mempunyai alasannya yang tersendiri untuk membawa perwatakan ini. Kami di Mensive dapat menyenaraikan 5 sebab mengapa Zlatan Ibrahimovic membawa perwatakan ini sehingga sekarang.

zlatan ibrahimovic

skysports.com

Melambangkan Keyakinan Diri

Zlatan Ibrahimovic menampilkan sikap yang sombong dan angkuh adalah kerana ia melambangkan beliau seorang yang begitu yakin dengan diri sendiri. Keyakinan beliau telah menyebabkan beliau sentiasa mahukan yang terbaik untuk diri sendiri dan juga rakan sepasukannya yang lain.

Keyakinan beliau yang tinggi turut diakui oleh Paul Clement, pembantu pengurus Paris Saint German musim 2012/2013. Clement pernah bekerja bersama dengan Ibrahimovic di PSG pada musim 2012/2013.

Clement turut mengatakan bahawa, walaupun Ibrahimovic seorang yang angkuh dan sombong, tetapi beliau juga seorang yang mesra dengan rakan-rakannya.

zlatan ibrahimovic

Kredit foto: twitter.com

Latar Belakang Keluarga

Salah satu sebab yang menyebabkan Ibrahimovic berperwatakan angkuh dan sombong adalah kerana kisah silamnnya. Ibu dan bapanya bercerai semasa beliau masih kecil. Bapanya seorang kaki botol manakala ibunya pula seorang tukang cuci yang menghabiskan masa selama 14 jam untuk bekerja demi menyara Ibrahimovic dan adik beradiknya yang lain.

Disebabkan konflik keluarga dan kurang mendapat perhatian ibu bapa, Ibrahimovic menyedari bahawa untuk memiliki masa depan yang lebih baik, maka beliau perlu bergantung kepada dirinya sendiri. Tiada orang lain yang boleh beliau harapkan untuk mengecapi kejayaan.

Maka, atas sebab inilah Ibrahimovic kelihatan sangat bangga dan sombong dengan dirinya sendiri kerana dia tahu hanya dia sahaja yang boleh buat dirinya menjadi lebih baik.

zlatan ibrahimovic

Kredit foto: theapricity.com

Pendatang Asing

Zlatan Ibrahimovic bukanlah anak asal Sweden. Bapanya berasal dari Bosnia manakala ibunya berasal dari Croatia. Di sebabkan ibu dan bapanya adalah pendatang asing, Ibrahimovic tidak begitu diterima oleh ibu bapa pemain lain semasa beliau berlatih bola sepak sewaktu kecil.

Malah, pernah satu ketika, para ibu bapa pemain lain telah membuat satu petisyen untuk menyingkirkan Ibrahimovic daripada menjalani latihan bersama-sama anak mereka.

Perkara ini memberi impak kepada Ibrahimovic kerana dia cuba membuktikan bahawa kehebatannya bukan bergantung daripada mana beliau datang, tetapi daripada hasil usaha kerasnya.

Disebabkan itulah, Ibrahimovic sentiasa berusaha lebih keras berbanding orang lain agar beliau dapat menjadi pemain yang hebat dan menutup mulut orang yang mengkritik tentang asal-usulnya.

zlatan ibrahimovic

Kredit foto: fussballundfrauen.com

Dicari Dan Bukan Mencari

Walaupun semasa kecil Ibrahimovic dilihat sukar untuk menempatkan diri dalam pasukan bola sepak profesional, tetapi beliau telah membuktikan sebaliknya. Beliau telah menjadi pemain bintang di banyak kelab ternama. Kelab-kelab yang pernah diwakili Ibrahimovic adalah Ajax, Barcelona, Juventus, Inter Milan, AC Milan, Paris St Germain dan kini Manchester United.

Sewaktu di Barcelona, hubungan beliau dengan pengurus ketika itu, Pep Guardiola, tidak begitu baik. Ini ditambah pula dengan kontroversi beliau bertelagah dengan Pep dan menyebabkan beliau tidak mendapat tempat untuk bermain di Barcelona.

Di sebalik kontroversi yang dicetuskan oleh Ibrahimovic, masih ada kelab lain yang berusaha mahukan khidmat beliau dan AC Milan berjaya mendapatkan Ibrahimovic dan beliau telah membantu menaikkan AC Milan ke tahap yang terbaik.

zlatan ibrahimovic

Kredit foto: dailymail.co.uk

Rekod Cemerlang

Sepanjang berkecimpung dalam bidang bola sepak profesional ini, Zlatan Ibrahimovic sudah merangkul banyak anugerah sama ada sebagai sebuah pasukan ataupun seorang individu.

Antara kejuaraan yang pernah Ibrahimovic kecapi bersama ialah juara Liga Eredisive (Ajax) , juara Liga Serie A (Juventus, Inter Milan dan AC Milan), juara Ligue 1 Perancis (Paris St Germain) dan banyak lagi. Sebagai individu pula, antara anugerah yang pernah Ibrahimovic terima ialah anugerah FIFA Puskas (2013), anugerah Kaki Emas (2012), pemain terbaik dan penjaring terbanyak Serie A (2008, 2009, 2011 dan 2012), pemain terbaik dan penjaring terbanyak Ligue 1 (2012 – 2016) dan banyak lagi.

Dek kerana ini, Zlatan Ibrahimovic layak merasa bangga dengan kejayaannya. Ini juga membuktikan bahawa dia seorang pemain yang berkaliber walaupun ada ketikanya dirinya terlibat dengan kontroversi.

zlatan ibrahimovic

Kredit foto: womenonly.gr

Adakah Ibrahimovic Benar-Benar Sombong?

Gabungan daripada kisah silam dan juga kejayaan yang telah dimiliki oleh Zlatan Ibrahimovic menyebabkan kami di Mensive merasakan beliau memang sesuai membawa watak angkuh dan sombong.

Tetapi, Ibrahimovic pernah berkata dalam satu temuramah, beliau membawa watak ini hanyalah dalam dunia bola sepaknya. Apabila beliau tidak beraksi sebagai pemain bola sepak, beliau adalah seorang yang penyayang, bertimbang rasa dan sentiasa mengambil berat hal keluarganya.

Kata Ibrahimovic lagi, sebenarnya, watak angkuh dan sombong ini adalah label yang diberikan oleh orang-orang di luar sana yang tidak pernah mengenalinya. Mungkin orang melabelnya begitu disebabkan aksinya di dalam padang dan juga ketika ditemuramah. Namun begitu, Ibrahimovic mempunyai watak yang disebaliknya dan cukup berbeza dengan apa yang dipaparkan di padang dan di kaca televisyen.

Bagaimana pula dengan pendapat anda? Adakah anda merasakan Zlatan Ibrahimovic ini sememangnya pemain yang begitu sombong dan angkuh? Tinggalkan komen berserta pendapat anda tentang isu ini.

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.