Lelaki Di Sebalik Gelaran The Pocket Rocket Man

Kami percaya semua pembaca di Mensive.com sudah mengetahui tentang kemenangan pelumba basikal trek negara iaitu Azizulhasni Awang yang memenangi pingat gangsa Olimpik Rio 2016 dalam acara keirin pagi tadi.

Memandangkan anda semua sudah tahu tentang hal ini, artikel kali ini akan menceritakan serba sedikit tentang perjalanan hidup yang dilalui oleh Azizulhasni sehinggalah beliau berjaya mendapat pingat pertamanya dalam sukan olimpik ini.

Azizulhasni

Kredit foto: Lensa Atlit

Budak Kampung

Azizulhasni Awang dilahirkan pada 5 Januari 1988 di Dungun, Terengganu. Azizul mula berkecimpung dalam arena lumba basikal sejak berumur 10 tahun lagi. Menurut ibunya, Selamiah binti Yong, bapa saudara Azizul ada menghadiahkan basikal kepadanya dan basikal itulah yang selalu digunakannya untuk pergi ke kelas tusyen, mengaji dan turut digunakan untuk mengelilingi kampung disamping digunakan untuk berlumba bersama-sama rakan sekampungnya.

Ibunya turut mengatakan bahawa satu kampung sudah faham benar dengan perangai Azizul di mana beliau gemar membawa basikal dengan begitu laju. Namun begitu, kelajuannya agak tidak senangi oleh segelintir penduduk kampung kerana ia tindakan yang berbahaya.

Azizulhasni

Kredit foto: Lensa Atlit

Permulaan Untuk Serius

Azizul menjadi semakin serius dalam arena lumba basikal apabila melihat abangnya, Azrul Hafis yang menyertai Kelab Lumba Basikal Dungun bersama bekas jurulatihnya iaitu Allahyarham Rozimi Omar. Ketika itu Azizul sedang dalam persediaan untuk menghadapi UPSR dan minatnya ini agak ditentang keras oleh ibunya. Walaubagaimanapun, akibat minatnya yang begitu mendalam dalam arena berbasikal, maka ibu Azizul merelakannya untuk bermain basikal secara serius.

Semasa Azrul membawa Azizul bersama-sama mengikutinya dalam arena basikal, ketika itu mereka bermain mountain bike, jurulatih pertama Azizul iaitu allahyarham Rozimi Omar dapat melihat bakat terpendam yang dimiliki Azizul. Ini kerana, Rozimi dapat melihat bahawa Azizul dapat melakukan sesuatu yang tak dapat dilakukan oleh rider lain dari Dungun.

Sejak itu, Azizul mula menyertai banyak perlumbaan dan hasil duit kemenangan yang diperolehinya, beliau akan simpan dan akan digunakan untuk menaik taraf basikalnya agar menjadi lebih baik supaya beliau dapat memenangi lebih banyak perlumbaan.

Azizulhasni

Kredit foto: Lensa Atlit

Ke Sekolah Sukan Bukit Jalil

Menurut bekas jurulatih Azizul, Suod Hussain, beliau telah temui bakat Azizul semasa membuat talent scouting di pertandingan lumba basikal yang disertai oleh Azizul. Kata Suod, Azizul mempunyai keupayaan yang berbeza berbanding pelumba-pelumba yang lain di samping mempunyai kayuhan yang sangat laju. Disebabkan keunikan yang dimiliki oleh Azizul, beliau telah dibawa masuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil untuk dilatih dan diasah menjadi atlit lumba basikal negara.

Semasa baru bersekolah di sana, jurulatih di sana pernah berkata kepada Azizul bahawa beliau tidak akan dapat pergi jauh disebabkan saiz badannya yang kecil berbanding rakan-rakannya yang lain. Teguran ini telah dijadikan sebagai pembakar semangat untuk Azizul apabila beliau sanggup meluangkan lebih banyak masa untuk berlatih berbanding rakan-rakannya yang lain. Beliau tahu, untuk berjaya dengan badannya yang kecil, latihan yang beliau perlu jalani haruslah lebih hebat berbanding orang lain.

Azizulhasni

Kredit foto: www.thestar.com.my

Siapa John Beasley?

John Beasley adalah jurulatih yang bertanggungjawab membawa Azizul sehingga ke kedudukannya sekarang. John mula melatih Azizul sejak tahun 2007 sehingga kini. Oleh kerana John sudah melatih Azizul selama 9 tahun sama ada di sini atau di Australia, John telah menganggap Azizul seperti anaknya sendiri.

Sebelum John melatih Azizul, beliau sememangnya sudah mengagumi prestasi yang dimiliki oleh Azizul. Azizul sebelum dilatih oleh John, beliau sudahpun memenangi 3 kejuaraan kejohanan remaja asia dan ini mengejutkan John kerana beliau tidak menyangka lelaki berbadan kecil ini mampu untuk bersaing dengan atlit-atlit yang lebih besar tubuh badannya.

azizulhasni

Kredit foto: thepocketrocketman.blogspot.com

Si Kecil Yang Berani

Menurut abang Azizul, Azrul Hafiz, walaupun badan Azizul kecil, tetapi beliau seorang pelumba yang berani. Walaupun semasa beliau berlumba dan dihimpit oleh pelumba-pelumba luar negara yang mempunyai badan lebih besar, Azizul akan tetap melawan sebaik mungkin demi mendapatkan kemenangan.

Suod Hussain masih teringat lagi semasa Azizul menyertai kejohanan asia pada tahun 2007 dalam acara keirin, Azizul telah masuk di celah-celah pelumba lain yang mempunyai badan lebih besar dan seterusnya memecut ke garisan penamat dan bergelar juara dalam acara ini. Kejayaan yang dimiliki oleh Azizul pada ketika itu ditahan lebih kurang setengah jam kerana juri pertandingan seakan-akan tidak percaya bagaimana Azizul boleh mencelah masuk di antara pelumba-pelumba lain. Selepas berulang kali melihat video, barulah juri memberikan kemenangan kepada Azizul dan dari situlah beliau mendapat gelaran Pocket Rocket Man.

azizulhasni

Kredit foto: zouldahanblog.blogspot.com

Pengalaman Manis

Bagi Azizul, saat manisnya dalam arena perlumbaan basikal ini bermula apabila beliau memenangi pingat perak dalam kejohanan dunia di Poland pada tahun 2009. Dalam pertandingan ini, beliau telah bersaing dengan pelumba basikal yang bertaraf dunia dari Perancis iaitu, Gregory Bauge.

Perlumbaan ini telah menyaksikan pertemuan david versus goliath di mana Azizul hanya mempunya ketinggian 1.66 meter dan Gregory pula tingginya hampir mencecah 2 meter. Selain itu, fizikal Gregory juga lebih besar dan tegap berbanding Azizul yang kelihatan lebih kecil.

Dalam acara sprint ini, Azizul telah tewas 1-2 kepada Gregory Bauge. Untuk acara akhir ini terdapat 3 kali saringan di mana siapa yang memenangi 2 saringan akan mendapat pingat emas. Azizul berjaya memenangi satu saringan apabila dia melakukan gerakan taktikal yang cukup membantunya menewaskan Gregory Bauge. Memandangkan saiz badannya yang kecil, Azizul tahu dia tidak dapat bersaing menggunakan fizikalnya maka dia mengubah taktik dan cuba mengelirukan Gregory menggunakan gerakan pantasnya yang akhirnya membuahkan hasil untuk memberikan satu kemenangan saringan kepada Azizul.

Walaupun tewas kepada Gregory Bauge dan sekadar mendapat pingat perak, tetapi perlumbaan antara Azizul dan Gregory telah mendapat perhatian wartawan seluruh dunia kerana perlumbaan yang berlangsung antara mereka berdua adalah sangat sengit dan mengujakan. Perkara ini telah menyebabkan Azizul bertambah yakin terhadap dirinya dan percaya bahawa semua atlit Malaysia mampu berada di puncak dunia dalam sukan masing-masing andainya berusaha bersungguh-sungguh.

azizulhasni

Kredit foto: Getty Images

Penyertaan Olimpik

Azizulhasni Awang sudah menyertai 2 siri sukan olimpik sebelum ini. Satu, pada Sukan Olimpik Beijing 2008 dan satu lagi ialah Sukan Olimpik London 2012. Pada sukan olimpik di Beijing, Azizul telah diberi penghormatan untuk membawa bendera Malaysia sewaktu majlis perasmian sukan olimpik tersebut.

Selain itu, beliau juga adalah atlit lumba basikal termuda dalam acara lumba basikal Sukan Olimpik Beijing 2008. Walaubagaimanapun, pada olimpik Beijing ini, Azizul gagal menyumbangkan sebarang pingat kepada kontinjen Malaysia.

Untuk Sukan Olimpik London 2012 pula, kisah sebelum Azizul menyertai sukan ini adalah lebih menarik. Setahun sebelum olimpik London bermula, Azizul telah menyertai pertandingan Kejohanan Trek Basikal Siri Piala Dunia Manchester 2011. Pada kejohanan ini, Azizul telah mengalami kemalangan dan betisnya telah tertusuk dengan serpihan kayu trek.

Serpihan kayu itu telah menembusi betis Azizul dan ukuran serpihan itu ialah sepanjang 17 sentimeter. Azizul terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang serpihan kayu tersebut. Tetapi, apa yang menakjubkan ialah, semasa kakinya masih tertusuk serpihan kayu itu, Azizul tetap meneruskan perlumbaan dan mendapat tempat ketiga! Satu semangat yang wajar dicontohi.

Disebabkan kecederaan ini, Azizul terpaksa berehat 3 bulan dan selepas itu beliau kembali menjalani latihan untuk menghadapi Sukan Olimpik London 2012. Namun begitu, beliau tidak dapat memperolehi prestasi terbaiknya semula dan sekali lagi gagal membawa pingat untuk kontinjen Malaysia.

azizulhasni

Kredit foto: www.themalaymailonline.com

Pingat Pertama Olimpik

Seperti mana yang kita sedia maklum, pagi tadi Azizulhasni Awang sudah berjaya mendapatkan pingat pertamanya dalam sukan olimpik setelah gagal dalam dua percubaannya pada sukan olimpik sebelum ini.

Walaubagaimanapun, kejayaan yang dikecapi oleh beliau yang juga dikenali sebagai The Pocket Rocket Man ini tidak hadir dengan mudah apabila para juri acara ini telah membatalkan perlumbaan ini sebanyak 2 kali gara-gara terdapat atlit yang melakukan sprint sebelum tiba masanya.

Walaupun perkara ini sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi para pelumba, namun begitu, pada perlumbaan kali ketiga, barulah semuanya berjalan lancar dan seterusnya membuahkan hasil untuk Azizulhasni apabila beliau berjaya mendapat tempat ketiga di belakang pelumba Belanda, Matthijs Buchli (perak) dan juga juara bertahan dari Great Britain, Jason Kenny (emas).

Begitulah sedikit sebanyak cerita yang anda patut tahu selain daripada kejayaan The Pocket Rocket Man ini mendapat pingat gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016. Jika dilihat pada kisah awal Azizul ini, kita dapat lihat bahawa Azizul hanyalah seorang anak kampung yang biasa-biasa sahaja tetapi mempunyai semangat juang yang tinggi. Lihat sajalah bagaimana beliau yang bertubuh kecil mampu untuk mengalahkan pesaing-pesaingnya yang mempunyai bentuk badan yang jauh lebih besar daripadanya.

Kami di Mensive mengharapkan perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada anak muda di luar sana termasuklah anda yang membaca agar sentiasa berusaha untuk mencapai apa yang diingini. Azizulhasni Awang tidak melihat tubuhnya yang kecil sebagai kelemahan, tetapi beliau melihatnya sebagai kelebihan yang boleh digunakan untuk mengatasi pesaingnya. Jika Azizul boleh, maka anda juga boleh!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.