Leher Dah Patah Pun Main Lagi: 5 Pemain Bola Sepak Yang Tetap Bermain Walaupun Cedera

Mana-mana pemain bola sepak yang mengalami kecederaan pastinya mereka akan memilih untuk berehat agar kecederaan yang dialami tidak menjadi semakin teruk. Namun begitu, terdapat beberapa pemain bola sepak yang tetap meneruskan permainan walaupun sudah mengalami kecederaan. Jadi, pada hari ini, kami ingin berkongsi dengan anda 5 pemain bola sepak yang tetap bermain walaupun cedera. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh mereka ini adalah bukti bahawa mereka sanggup berjuang demi kelab mereka yang tercinta walaupun akan memudaratkan diri sendiri.

Kredit foto: World Soccer Talk

Bert Trautmann

Bekas penjaga gol Manchester City ini dikenali ramai kerana aksinya yang hebat semasa beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA pada tahun 1956. Pada ketika itu, City sudah mendahului Birmingham dengan keputusan 3-1. Ketika permainan berbaki 17 minit lagi, Bert ditimpa kecederaan di lehernya. Namun begitu, Bert tetap terus bermain dalam keadaan cedera sehinggalah wisel penamat ditiupkan dan Manchester City berjaya menjadi juara tahun itu.

Beberapa hari selepas perlawanan tamat, Bert menjalani pemeriksaan x-ray dan mendapati rupa-rupanya lehernya sudah patah semasa perlawanan dan beliau sangat terkejut dengan keputusan x-ray itu. Peh, leher dah patah pun boleh main lagi? Memang lejen!

pemain bola sepak yang tetap bermain walaupun cedera

Kredit foto: Eurosport

Ally Maxwell

Ally Maxwell, seorang penjaga gol, sedang bermain untuk Motherwell dalam Piala Scottish pada tahun 1991. Ketika perlawanan, perut Ally telah diterjah dengan lutut oleh pemain Dundee United iaitu John Clarke. Ally merasa amat sakit akibat terjahan itu dan beliau dilihat tidak dapat meneruskan permainan. Namun begitu, Motherwell telah melakukan pertukaran terakhirnya sebelum itu dan Ally tidak dapat digantikan penjaga gol yang lain.

Motherwell pada ketika itu sedang mendahului Dundee United dengan keputusan 4-3 dalam masa tambahan. Memandangkan Ally tak dapat ditukarkan, beliau terus bermain dalam kesakitan. Walaupun dalam keadaan yang sakit, Ally tetap berusaha keras menjaga gawangnya apabila beliau berjaya menepis sepakan volley Maurice Malpas yang mungkin akan menghancurkan harapan Motherwell untuk memenangi Piala Scottish.

Walaupun Motherwell berjaya memenangi piala ini, Ally terpaksa berdepan kecederaan yang teruk apabila beliau disahkan mengalami 3 keretakan pada tulang rusuk, limpa pecah, dan masalah penglihatan. Banyaknya kecederaan weh!

Baca lagi: 5 Pemain Bola Sepak Bertaraf Bintang Yang Kini Hidup Bermasalah Selepas Bersara

Kredit foto: The Big Lead

Cesc Fabregas

Pemain berbakat dari Sepanyol ini menunjukkan aksi yang memukau semasa menentang Barcelona dalam perlawanan Liga-liga Juara Eropah pada 31 Mac 2010. Fabregas bermain dalam perlawanan ini dengan lututnya yang lebam yang diperolehi semasa perlawanan bertemu Birmingham City sebelum berjumpa dengan Barcelona.

Fabregas sebenarnya telah memberi inspirasi kepada rakan-rakan Arsenal yang lain kerana tetap bermain walaupun cedera. Mereka akhirnya berjaya membuat comeback setelah ketinggalan 0-2 kepada Barcelona di mana Arsenal berjaya menyamakan kedudukan menjadi seri 2-2.

Semasa keputusan masih lagi 1-2, pada minit ke 85, Charles Puyol telah membuat bentesan keras terhadap Fabregas di dalam kotak penalti dan menambahkan lagi kecederaan pada kaki Fabregas. Walaupun cedera, Fabregas tetap menggagahkan diri untuk mengambil penalti yang akhirnya menjadikan keputusan seri 2-2.

Selepas perlawanan, didapati bahawa kaki Fabregas telah patah akibat dibentes oleh Charles Puyol tetapi beliau tetap meneruskan permainan. Fuh gagah sungguh!

Kredit foto: Irish Mirror

Bastian Schweinsteiger

Schweinsteiger dianggap sebagai antara pemain tengah terbaik di Jerman dan di dunia. Beliau juga adalah penyumbang utama kepada Bayern Munich apabila berjaya membantu Bayern mendapat 3 piala pada musim 2012/2013. Namun begitu, kemenangan ketiga-tiga piala ini tidak hadir dengan mudah buat Schweinsteiger.

Sepanjang musim 2012/2013, beliau telah menyembunyikan kecederaan buku lali yang dialaminya agar beliau dapat terus bermain sepanjang musim dan tidak terlepas semua perlawanan bersama dengan Bayern Munich. Walaupun mengalami kesakitan ketika bermain dalam setiap perlawanan, Schweinsteiger tetap menahan sakitnya agar tidak dikesan oleh rakan-rakan dan juga pengurusnya.

Sebaik sahaja musim 2012/2013 melabuhkan tirainya, Schweinsteiger menjalani pemeriksaan pada buku lalinya dan didapati buku lalinya sepatutnya perlu dibedah untuk memastikan beliau boleh bermain dengan baik.

Kredit foto: Colombia Mundial En Contravía

Martin Palermo

Penyerang lagenda kelab Boca Juniors ini juga adalah antara pemain yang mengabaikan kecederaan yang dihadapinya demi membantu perjuangan kelabnya. Setelah 6 bulan diketepikan akibat kecederaan ACL, Palermo telah disenaraikan oleh jurulatihnya untuk bermain dalam pusingan suku akhir Piala Libertadores pada tahun 2000.

Ketika perlawanan berbaki lagi 15 minit, jurulatih Boca Juniors telah memasukkan Martin Palermo. Palermo sebenarnya masih lagi cedera dan belum lagi bersedia sepenuhnya untuk bermain. Namun begitu, walaupun mengalami kecederaan, Palermo berjaya menjadi wira Boca Juniors apabila menjaringkan gol kemenangan yang melayakkan pasukannya ke pusingan separuh akhir Piala Libertadores.

Baca lagi: 5 Aksi Comeback Yang Mengkagumkan Dalam Sejarah Bola Sepak Dunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.