Kes Kehilangan Di Hutan Yang Menggemparkan Negara

Kehilangan seorang remaja lelaki di Bukit Broga, menggemparkan tanah air terutamanya di kalangan warga media sosial. Sana-sini orang bercerita hal adik Mohd Azrul Mukhriz yang sesat tanpa dapat dikesan selama tujuh hari. Alhamdulillah, penemuannya dalam keadaan sihat walafiat pada hari Sabtu 28 Januari 2017, melegakan ramai pihak terutamanya ibu Azrul yang turut bersama berusaha mencari. Kasih dan doa ibu, memang tak siapa dapat menafikannya.

Sebenarnya, hal kehilangan atau sesat di dalam hutan bukanlah perkara yang baru. Ada yang hilang begitu sahaja, ada pula yang ditemui tanpa nyawa. Ada yang hilang berhari-hari akhirnya berjaya keluar dari hutan yang menyimpan ribuan rahsia.

Kita imbas beberapa peristiwa kehilangan yang pernah menggemparkan Malaysia satu ketika dahulu.

 

2008

Kes Nur Umaisarah Sameaun, pelajar UITM yang hilang ketika menyertai perkhemahan di Gunung Tahan sememangnya menimbulkan pelbagai tandatanya. Beliau dipercayai hilang ketika berada pada ketinggian 1,705 meter. Operasa mencari dan menyelamat agak besar tetapi banyak halangan yang mengganggu seperti kabus yang tebal dan juga angin kencang.

Pada 25 Februari 2008 selepas 19 hari sesat di hutan, Umaisarah ditemui dalam keadaan longlai kira-kira 30 kilometer dari tempat permulaan beliau hilang. Seorang pemandu pelancong menemui beliau kira-kira jam 6.30 petang di Sungai Putih, Jerantut.

Umaisarah berkongsi pengalaman beliau di dalam buku yang bertajuk “19 Hari Sesat Di Gunung Tahan”.

Rujukan; 19 Hari Sesat Di Gunung Tahan

2014

November 2014 mencatat sejarah pilu apabila Ahmad Rafikin Azman, 16, pelajar Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Terengganu di temui mati di Hutan Lipur Sekayu, Kuala Berang. Beliau dilaporkan hilang oleh bapanya selepas tidak pulang menghadiri acara maraton yang disertainya. Allahyarham ditemui terselit antara batu dan dipercayai lemas pada hari pertama beliau hilang. Arwah ditemui semula pada hari keempat dan usaha mengeluarkan beliau sedikit sukar disebabkan cuaca hujan dan batu yang licin.

Walaupun Hutan Lipur Sekayu merupakan kawasan yang menjadi tumpuan ramai, ianya masih kawasan yang berbahaya untuk dikunjungi seorang diri.

Rujukan; http://www.astroawani.com/

Mensive Pomade

2015

Kehilangan 7 Anak Orang Asli di Gua Musang

Sumber gambar: Lestari Dunia

Kes kehilangan tujuh orang anak orang asli dari Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi, Gua Musang berakhir dengan tragedi. Empat ditemui mati, dua dapat diselamatkan manakala seorang lagi hilang masih belum dapat dikesan. Kanak-kanak yang berusia sekitar 7-11 tahun ini dpercayai hilang melarikan diri kerana takut dimarah dan didenda apabila tertangkap sedang mandi di sungai tanpa kebenaran. Tempoh masa kehilangan mereka juga lama, bermula dari 23 Ogos 2015 sehinggalah dua daripada mereka yang hidup ditemui selepas 48 hari usaha mencari dijalankan. Adik Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiari Aluj, 11 ditemui dalam keadaan yang sangat lemah dan kurus-kering. Manakala ada Sasa sehingga kini masih belum ditemui.

Berikut ialah senarai kanak-kanak yang terlibat dalam kes kehilangan tersebut; Mirsudiar Aluj, 11; Norieen, 10; Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina Daud, 7.

Rujukan; http://www.astroawani.com/, http://www.utusan.com.my

 

Berhati-hati

Untuk mereka yang terkorban, salam takziah daripada kami. Untuk yang membaca, jadikan ini sebagai panduan dan iktibar. Kita boleh lihat, kehilangan di hutan bukan hanya disebabkan mahu menjalankan aktiviti berkhemah semata-mata. Ianya lebih dari itu. Banyak sebab dan punca boleh terjadinya sesuatu kehilangan. Dan hutan, bukanlah tempat yang biasa-biasa. Walaubagaimana hebat sekalipun kita, alam hutan dan alam semulajadi tetap ada rahsia yang tak terungkap.

Apapun, berhati-hatilah.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *