Tengku Abdullah Bakal Keluar Dari Fam?

Suasana bola sepak tempatan akan menerima satu lagi kejutan apabila berita Tengku Abdullah bakal keluar dari FAM kini sedang meniti di bibir para peminat sukan paling popular di Malaysia ini.

Berita ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Tengku Abdullah sendiri semasa ditemuramah oleh wartawan. “Terpulang kepada sesiapa yang mahu menyelesaikannya, saya sudah tiada urusan dengan FAM. Saya dalam proses keluar atau dalam Bahasa Inggerisnya, on my way out.”

Kredit foto: alchetron.com

FAM, sebuah badan induk bola sepak negara yang kerap kali ditimpa kontroversi menyebabkan para peminat semakin hilang kepercayaan kepada persatuan ini dan mendesak barisan tertinggi meletakkan jawatan.

Hal ini ditambah pula dengan dakwaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail, yang mengatakan bahawa beliau memiliki ‘pendrive’ yang berisi maklumat mengenai ketirisan dan salah laku yang berlaku dalam FAM.

Tengku Abdullah yang sudah memegang tampuk pemerintahan FAM selama dua tahun telah berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin, untuk berbincang tentang masa depan FAM yang sering dilanda kontroversi dan juga mungkin berbincang mengenai pengunduran beliau.

Tengku Abdullah sudah berhasrat lama untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden FAM iaitu pada 7 September 2015 sejak Malaysia tewas 10-0 di tangan UAE semasa perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 di Abu Dhabi.

Kredit foto: www.themalaymailonline.com

Beliau telah menghantar surat perletakan jawatannya kepada barisan Exco FAM, tetapi keputusan yang dibuatnya ini telah ditolak oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM secara sebulat suara dan menyebabkan beliau terus menerajui FAM.

Tengku Abdullah dilantik menjadi presiden selepas beliau berjaya mendapatkan undian tertinggi mengatasi pencabar terdekatnya iaitu Tunku Ismail dalam pengundian sempena kongres FAM ke-50. Tengku Abdullah telah mengambil alih kepimpinan ini daripada ayahandanya yang telah memimpin selama 30 tahun sebelum ini.

Marilah kita bersama-sama nantikan sama ada berita Tengku Abdullah bakal keluar FAM ini benar-benar berlaku ataupun tidak. Tetapi, selaku para peminat bola sepak tempatan, apa yang kami mahukan ialah, martabat dan imej bola sepak boleh meningkat semula tanpa mengira siapa yang bakal menerajui persatuan ini nanti.

Sumber: Utusan Malaysia

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *