Inilah Kisah Pemain eSports Termuda Yang Berjaya Menjadi Jutawan

Syed Sumail Hassan adalah pemain DOTA profesional dan bermain untuk pasukan Evil Geniuses. Salah satu perkara yang menarik tentang Sumail ialah, beliau telah menyertai bidang eSports untuk bermain DOTA semasa usianya 15 tahun. Beliau adalah pemain eSports termuda dalam kancah ini.

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang eSports, Sumail telah memenangi banyak kejuaraan. Salah satu kejuaraan yang dimenangi oleh Sumail dan mungkin juga menjadi kenangan manis buat Sumail apabila beliau bersama pasukannya Evil Geniuses berjaya menjadi juara The International 5 pada tahun 2015.

pemain esports termuda

Kredit foto: geotv.com

The International adalah satu pertandingan dalam eSports yang sangat berprestij dan menjadi idaman ramai pemain eSports. The International juga boleh diibaratkan seperti Piala Dunia dalam sukan bola sepak, cuma bezanya, The International adalah piala dunia untuk eSports.

Kemenangan Sumail dan rakan sepasukannya, Evil Geniuses dalam The International 5 ini membolehkan mereka memenangi hadiah wang tunai berjumlah 6.6 juta dolar US atau bersamaan dengan RM26.5 juta.

Disebalik kejayaan dan kemasyhuran yang dimiliki oleh Sumail, tidak ramai yang mengetahui kisah beliau sebelum bergelar sebagai pemain eSports paling muda yang paling berjaya. Oleh kerana itu, kami di Mensive ingin berkongsi dengan anda serba sedikit cerita tentang Sumail yang boleh kita bersama-sama ambil iktibar agar ia dapat dijadikan teladan dan juga menjadi satu kisah yang boleh menyemarakkan semangat kita untuk mencapai sesuatu yang diingini.

pemain esports termuda

Kredit foto: pakwired.com

Kisah Awal Sumail

Sumail sudah tinggal di Pakistan sejak beliau lahir sehinggalah berumur 15 tahun. Keinginan Sumail yang sangat kuat untuk bermain DOTA menyebabkan beliau sanggup menjual basikal kesayangannya di mana duit jualan itu digunakan untuk bermain DOTA di kafe siber berhampiran rumahnya.

Sumail mula bermain DOTA semasa berumur 8 tahun dan beliau sentiasa bermain bersama-sama dengan sepupunya di Pakistan. Sumail dan sepupunya akan meluangkan lebih banyak masa di siber kafe berbanding di rumah semata-semata untuk bermain DOTA dan juga demi mencapai impiannya.

Ibu dan ayah Sumail telah bekerja keras demi membawa Sumail dan seluruh keluarganya ke Amerika Syarikat. Di Amerika Syarikat, Sumail dan ahli keluarganya seramai 8 orang tinggal di dalam apartment yang kecil. Sumail terpaksa berkongsi bilik dengan 3 orang ahli keluarganya.

Di Amerika Syarikat, suasananya tidak sama seperti di Pakistan. Sumail lebih mudah mendapat akses untuk bermain DOTA dan tidak perlu untuk mengunjungi siber kafe sepertimana yang beliau sering lakukan ketika beliau masih berada di Pakistan.

Sumail akan bermain DOTA hampir 9 jam sehari dan beliau tidak bermain untuk keseronokan semata-mata. Dalam tempoh 9 jam ini Sumail akan bekerja keras mencari cara dan strategi untuk menjadi pemain terbaik di dalam permainan DOTA.

pemain esports termuda

Kredit foto: wiki.teamliquid.net

Mula Menyertai eSports

Semasa berusia 15 tahun, Sumail menyertai North American Elite League (NEL). NEL adalah satu liga di mana ia membolehkan setiap individu yang bermain dalam liga ini berkembang dari semasa ke semasa supaya mereka dapat meletakkan diri mereka dalam ranking terbaik untuk dipilih oleh pasukan-pasukan profesional yang sedang mencari bakat baru.

Dalam NEL, Sumail berjaya membuktikan dengan pantas bahawa beliau adalah seorang pemain DOTA yang sangat berbakat apabila beliau berjaya meletakkan namanya dalam kelompok pemain-pemain terbaik dalam NEL.

Kehebatan Sumail di dalam NEL telah memikat UNiVeRsE atau nama sebenarnya, Saahil Arora untuk menariknya masuk ke dalam pasukan profesional kepunyaannya iaitu Evil Geniuses.

Pada awal kemasukan Sumail dalam pasukan Evil Geniuses, ramai memberi pendapat bahawa mereka meragui kemahiran dan cara permainan Sumail. Tambahan pula, beliau masih muda dan tidak mempunyai pengalaman dalam pertandingan peringkat profesional.

Hal ini turut diakui oleh rakan sepasukan Sumail iaitu Fear atau nama sebenarnya Clint Loomis. Fear mengatakan bahawa mengambil Sumail sebagai ahli pasukan Evil Geniuses adalah ibarat satu perjudian memandangkan mereka tidak tahu sejauh mana kemampuan Sumail

pemain esports termuda

Kredit foto: youtube.com

Ibu Bapa Yang Skeptikal

Sewaktu Sumail baru hendak menceburi bidang eSports, ibu dan bapanya sangat skeptikal tentang bidang eSports ini. Ini kerana mereka melihat bidang ini seperti tidak mempunyai masa depan yang cerah.

Walaubagaimanapun, disebabkan keinginan dan keazaman yang dimiliki oleh Sumail sangat kuat, ibu dan bapanya tetap membenarkan beliau untuk menyertai eSports.

Sumail sering berkata kepada ibu dan bapanya agar membenarkan beliau bermain permainan ini dan suatu hari nanti beliau akan membuat ibu dan bapanya bangga dan kini beliau sudah membuktikan bahawa beliau berada di jalan yang betul untuk membuat ibu dan bapanya bangga kepadanya.

pemain esports termuda

Kredit foto: youtube.com

Evil Geniuses dan The International 5

Sumail mula membuat kemunculan pertamanya secara profesional bersama pasukan Evil Geniuses dengan menyertai pertandingan DOTA 2 League Season 5 di Las Vegas pada awal tahun 2015. Walaubagaimanapun, prestasi yang diberikan oleh Sumail adalah sangat teruk dan menjadi punca utama kekalahan pasukannya dalam pertandingan ini dan sekadar meraih tempat ketiga.

Beliau berasa sangat serba salah kerana bermain dengan sangat teruk dalam pertandingan ini. Namun begitu, beliau mendapat nasihat daripada Fear bahawa apa yang penting dalam permainan ini ialah sentiasa percayakan rakan sepasukan dan membuat kesilapan dalam permainan bukanlah satu kesalahan yang besar.

Ramai pemain terbaik di dalam dunia yang sentiasa membuat kesilapan. Tetapi, mereka sedar tentang kesilapannya dan bersegera mempelajari kesilapan sendiri supaya dapat menjadi yang terbaik dan mengelakkannya berlaku semula.

Selain itu Fear juga menasihati Sumail supaya sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan bekerja keras untuk menjadi yang terhebat dalam permainan DOTA ini.

pemain esports termuda

Kredit foto: youtube.com

Bermula dari situ, Sumail mula membuat perubahan untuk menjadi lebih baik. Beliau akhirnya membuktikan bahawa kemasukannya dalam pasukan Evil Geniuses adalah tindakan yang berbaloi apabila Sumail berjaya membantu pasukannya memenangi DOTA 2 Asia Championship 2015 dan seterusnya mendapat hadiah wang tunai berjumlah RM5.17 juta.

Sejak dari itu Sumail terus beraksi cemerlang untuk Evil Geniuses sehinggalah mereka memasuki pertandingan eSports yang paling berprestij iaitu The International 5. Dalam pertandingan ini, Evil Geniuses telah mengalami kekalahan awal kepada pasukan yang masuk menggunakan kapasiti wildcard iaitu CDEC Gaming.

Namun begitu, Evil Geniuses kembali bangkit dan akhirnya bertemu semula dengan CDEC Gaming di pusingan akhir. Perlawanan berlangsung dengan begitu sengit. Semasa perlawanan akhir ini masuk ke game ketiga, ketika inilah Evil Geniuses mempamerkan kehebatan sebenar mereka dan akhirnya Kejohanan The International 5 berjaya menjadi milik mereka.

pemain esports termuda

Kredit foto: RU Hub

Apa yang paling manis buat Sumail ialah, selain memenangi kejohanan ini, beliau berjaya menjadi pemain termuda yang pertama yang pernah memenangi hadiah kemenangan berjumlah 1 juta dolar US dalam sejarah eSports

Pada usia yang masih muda, perjalanan karier Sumail dalam kancah eSports ini masih jauh. Banyak lagi yang boleh dicapai oleh Sumail untuk mencapai kejayaan yang lebih besar. Namun begitu, apa yang penting di sini ialah kesungguhan dan keazaman yang dimiliki oleh Sumail.

Walaupun menjalani hidup yang sukar di Pakistan, beliau tetap berusaha keras melakukan apa yang diminatinya. Sikap tidak kenal erti putus asa dan sentiasa melakukan yang terbaik menyebabkan beliau berjaya sampai ke tahap ini pada usia yang begitu muda.

Sumail juga berjaya membuktikan bahawa bermain video game sebenarnya boleh memberikan keuntungan yang lumayan, tetapi ia harus disertai dengan kerja keras dan bukan bermain semata-mata untuk keseronokan.

Kami di Mensive mendoakan kejayaan Sumail dalam bidang ini dan semoga beliau menjadi idola kepada para remaja di luar sana yang mahu menjadikan dunia gaming sebagai karier mereka. Adakah anda jadi berminat nak menceburi dunia gaming selepas membaca kisah Sumail ini? Tinggalkan komen anda di bawah ye.

Baca lagi: 5 Hobi Yang Boleh Menjana Pendapatan

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.