Hafizh Syahrin Tak Berani? Baca Dulu 4 Risiko Ini Sebelum Kata Beliau Tak Berani

hafizh syahrin

Kredit foto: FB Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 Pescao

Kami di Mensive tidak tahu sama ada ramai yang tahu ataupun tidak tentang kejayaan Hafizh Syahrin yang berjaya mendapat tempat keempat dalam saingan Moto GP kategori 600cc di Britain semalam. Tapi, apa yang penting, kami nak ucapkan tahniah kepada Hafizh Syahrin di atas kejayaan ini.

Bukan senang untuk Hafizh Syahrin atau popular dengan gelaran Pescao55 untuk mendapat kedudukan ini, apatah lagi bersaing dalam kategori Moto2 ini. Banyak pelumba-pelumba hebat selain Hafizh yang bersaing bersamanya untuk mendapat kedudukan terbaik.

Di media sosial, ramai yang memuji dan mengucapkan tahniah kepada Hafizh di atas kejayaan beliau walaupun hanya mendapat tempat keempat. Namun begitu, ada juga yang dilihat memberi komen-komen kurang berpuas hati dengan kejayaan ini.

Bagi mereka, Hafizh boleh menaiki podium andainya beliau tidak terlalu takut untuk memotong penunggang lain. Katanya lagi, Hafizh perlu lebih berani jika mahu berjaya menaiki podium.

Disebabkan komen-komen seperti ini maka terlintas di dalam fikiran kami untuk berkongsi dengan anda beberapa risiko yang sebenarnya boleh menyebabkan kemalangan di atas trek semasa perlumbaan berlangsung yang mungkin menyebabkan Hafizh begitu berhati-hati ketika hendak memotong pesaing-pesaingnya.

Perkongsian ini telah diberikan oleh pelumba MotoGP Britain iaitu Bradley Smith yang menunggang untuk pasukan Monster Yamaha Tech3. Jom kita lihat apakah risiko-risiko yang sering dihadapi para penunggang MotoGP ini.

hafizh syahrin

Kredit foto: motogp.com

Kelajuan Purata 160 km/j

Menurut Bradley Smith, kelajuan purata yang sering dihasilkan oleh para pelumba semasa perlumbaan berlangsung ialah 160 km/j. Katanya lagi, motor mempunyai kuasa 250hp di mana ia lebih laju berbanding kereta. Bagi moto2 yakni kategori yang disertai Hafizh, motor beliau mempunyai kuasa 150hp.

Jadi, kelajuan seperti ini sememangnya memberi tekanan kepada para pelumba apatah lagi ia dihasilkan menggunakan jentera dua tayar sahaja yang sudah tentu sukar untuk dikawal apabila ia bergerak dengan begitu laju dan mudah untuk berdepan dengan kemalangan.

hafizh syahrin

Kredit foto: FB Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 Pescao

Berat Motor Dua Kali Ganda Berat Manusia Biasa

Selain daripada berdepan tekanan menunggang motor pada kelajuan tinggi, Bradley berkata pelumba juga perlu menanggung berat motor yang ditunggangnya. Untuk kategori MotoGP, berat sebuah motor adalah 160kg. Untuk kategori Moto2 seperti Hafizh Syahrin, berat motornya mencecah 135kg.

Dalam kelajuan tinggi dan perlu mengawal jentera yang beratnya melebihi 100kg, pastinya sesuatu yang sukar. Disebabkan hal ini Bradley berkata para pelumba MotoGP perlu menjalani latihan di gim untuk menguatkan bahagian tangan, lengan, bahu dan bahagian teras tertentu agar mudah mengawal motor dengan stabil semasa berlumba.

Andainya pelumba tidak memiliki fizikal yang baik dan sesuai, mereka pasti gagal untuk mengawal motor yang berat ini dengan baik dan boleh menyebabkan kemalangan dan seterusnya mendatangkan kecederaan kepada penunggang.

hafizh syahrin

Kredit foto: FB Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao

Tayar Selebar 30mm Semasa Mengambil Selekoh

Itulah yang berlaku setiap kali para pelumba mengambil selekoh di mana kelebaran tayar akan menjadi selebar 30mm sahaja. 30mm adalah kelebaran yang sangat kecil dan kegagalan mengawal motor akan menyebabkan kemalangan mudah berlaku.

Sudahlah kelebarannya kecil, ditambah pula dengan setiap pelumba akan menyondong bersama motornya pada sudut 55 darjah. Maka, bertambahlah risiko para pelumba ini.

Namun begitu, kata Bradley, tayar yang digunakan adalah tayar yang berkualiti tinggi. Jadi, walaupun lebarnya kecil, pelumba tetap boleh memecut pada kelajuan 150 km/j walaupun sedang mengambil selekoh.

hafizh syahrin

Kredit foto: FB Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao

Memori Jangka Pendek

Bagi Bradley, penting untuk semua pelumba dalam MotoGP mempunyai memori jangka pendek ini. Tanpa keistimewaan ini, ia boleh mengganggu pelumba untuk memberi fokus yang terbaik sama ada sebelum ataupun semasa perlumbaan.

Memori jangka pendek ini adalah mustahak terutama sekali apabila pelumba pernah menghadapi kemalangan semasa perlumbaan. Apabila asyik teringat tentang kemalangan yang pernah dilalui, pelumba akan lebih banyak ragu-ragu untuk buat keputusan seperti hendak memotong ataupun tidak.

Pelumba akan berlumba dengan terlalu selamat dan menyebabkan gagal mendapat posisi yang terbaik. Sebab itulah, para pelumba perlu ada memori jangka pendek agar dapat berlumba pada tahap terbaik setiap kali perlumbaan.

Kami berharap dengan 4 perkara yang dikongsikan oleh Bradley Smith ini dapat membantu kita memahami beberapa tekanan emosi dan perasaan yang dihadapi oleh Hafizh semasa beliau sedang berlumba di atas trek.

Mata yang melihat mungkin merasa mudah untuk membuat itu ini, tetapi bagi yang menunggang, perasaan mereka bercampur baur antara takut dan juga berani. Hal ini boleh menyebabkan keraguan berlaku dan gagal membuat keputusan terbaik semasa perlumbaan pantas berlangsung.

Namun begitu, Hafizh telah berusaha sehabis baik dan berjaya mendapat tempat keempat dalam kategori Moto2 yakni menunggang motor berkapasiti 600cc. Tahniah daripada Mensive kami ucapkan.

Kepada para pembaca yang merasakan ada lagi risiko yang dihadapi oleh para pelumba MotoGP ini, jangan malu jangan segan untuk tinggalkan komen anda di bawah. Kami berminat nak tahu apa yang anda tahu. Terima kasih.

Baca lagi: 5 Motor Kapcai Yang Pernah Mengaum Di Jalan Raya Suatu Ketika Dahulu

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *