Filem ‘Dangal’: Mahavir Singh Phogat dan Mesejnya Untuk Kaum Wanita

Mahavir Singh Phogat adalah seorang ayah dan juga seorang hero di dalam keluarganya. Mahavir percaya bahawa seorang ayah tidak semestinya perlu membesarkan anak perempuannya seperti seorang puteri, kadangkala anak perempuan ini juga perlu dibesarkan secara kasar agar mereka membesar menjadi orang yang tabah dan sabar untuk mendepani realiti kehidupan yang sebenarnya begitu mencabar.

Mahavir Singh Phogat sebenarnya adalah seorang juara gusti yang akhirnya menjadi jurulatih gusti kepada dua orang anaknya iaitu Babita Kumari dan Geeta Phogat yang kini adalah juara gusti dunia.

Mahavir Singh Phogat

Kredit foto: India Today

Kisah kehidupan Mahavir Singh Phogat yang berjaya membesarkan dua anak perempuannya menjadi juara gusti menarik perhatian pelakon dan pengarah Bollywood iaitu Amir Khan untuk menjadikan kisah ini sebagai sebuah filem bertajuk ‘Dangal’.

Mahavir berasal dari Balali, iaitu sebuah kampung yang terletak di Haryana. Adat dan budaya yang diamalkan di kampung ini tidak membenarkan Mahavir untuk membesarkan anaknya sepertimana yang beliau mahukan.

Walaupun menerima tentangan hebat, Mahavir tetap berusaha membesarkan dua orang anak perempuannya dengan caranya tersendiri. Isterinya, Daya Kaur, turut menyokong kuat keputusan Mahavir.

Baca lagi: Daripada Penjual Hot Dog ke Bintang Youtube: Inilah Kisah Kejayaan PewDiePie

Kredit foto: Hindustan Times

Demi rasa kasih dan sayangnya kepada dua anak perempuannya, Mahavir sanggup berhenti kerja supaya dapat melatih dua anak perempuannya dalam sukan gusti. Semua ini dilakukannya agar dua orang anaknya dapat menjadi inspirasi kepada golongan perempuan di luar sana agar berusaha mencapai apa yang diimpikan walaupun terpaksa mengenepikan adat dan budaya.

Namun begitu, usaha Mahavir untuk membesarkan dua anak perempuannya ini bukanlah satu tugas yang mudah. Pelbagai rintangan dan halangan perlu dilaluinya. Adat di kampungnya ialah setiap anak perempuan harus dibesarkan dengan penuh lemah lembut agar menjadi seorang isteri yang baik dan dapat dikahwinkan dengan segera.

Kredit foto: The Quint

Mahavir menentang adat ini kerana baginya, orang perempuan juga patut mendapat keadilan sama seperti orang lelaki yang bebas untuk mencapai impian mereka.

Pelbagai tentangan dan cabaran dihadapi Mahavir termasuk menggugatnya nyawanya sendiri dalam usaha untuk mengekalkan prinsip hidupnya.

Semasa memulakan usaha untuk melatih dua anak perempuannya, Mahavir tidak tahu sama ada beliau akan berjaya untuk mempengaruhi anak-anak perempuannya agar meminati sukan gusti ini. Namun begitu, disebabkan kesungguhannya yang begitu tinggi dan kasih sayang dua anaknya kepada Mahavir yang sangat kuat telah menyebabkan usaha Mahavir berjaya dan tidak sia-sia.

Kredit foto: Sportskeeda

Dalam filem ‘Dangal’ yang diarahkan oleh Amir Khan, anda akan dapat melihat perit-jerih yang dilalui oleh Mahavir untuk membesarkan kedua-dua anak perempuannya iaitu Babita dan Geeta. Usaha Mahavir berhasil apabila Geeta berjaya menjadi wanita India pertama yang memenangi emas dalam acara gusti dalam Sukan Komanwel Delhi 2010.

Dalam temasya sukan yang sama, adik Geeta iaitu Babita telah memenangi pingat perak dalam kategori 55 kilogram.

Antara mesej utama yang cuba disampaikan oleh filem ‘Dangal’ ini dan sebenarnya ia juga adalah mesej daripada Mahavir Singh Phogat sendiri ialah, tempat seorang wanita tidak semestinya berada di dapur. Mereka juga patut mendapat hak yang adil sama seperti orang lelaki untuk keluar dari rumah, membina kerjaya dan seterusnya mencapai cita-cita mereka.

Kredit foto: The Hufftington Post India

Mahavir juga berpesan, ibu bapa bertanggungjawab bertanya kepada anak-anak mereka apakah impian mereka dan ibu bapa perlu bersama-sama berusaha untuk membantu anak-anak mencapai apa yang mereka ingini.

Filem ‘Dangal’ sememangnya sebuah filem yang sangat menarik terutama sekali untuk kaum wanita kerana dalam filem ini ia cuba menunjukkan bahawa keadilan hak untuk orang perempuan harus ada sama seperti kaum lelaki dalam mencapai cita-cita yang diimpikan.

Baca lagi: Disleksia Bukan Satu Kelemahan: 5 Bintang Hollywood Ini Sudah Buktikan Sebaliknya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *