Evolusi Headphone: Headphone Terawal Adalah Seberat 4.5 Kilogram. Apakah?

evolusi headphone

Tahun 1881

Sebelum kemunculan mana-mana headphone di dunia, inilah dia headphone pertama yang dihasilkan. Namun begitu, pada tahun ini, ia hanya digunakan oleh operator telefon. Tidak seperti headphone masa kini, ia hanya ada satu earpiece sahaja dan perlu diletakkan di atas bahu. Berat yang perlu ditanggung di bahu untuk menggunakan headphone ini ialah seberat 4.5 kilogram. Peh, macam bawak pek beras di bahu!

Tahun 1895

Pada tahun ini, terima kasih kepada sistem Electrophone, bukan sahaja operator telefon boleh menggunakan headphone, malah orang ramai juga berpeluang menggunakannya. Bentuk headphone pada tahun ini adalah kelihatan seperti steteskop yang sering digunakan oleh para doktor.

Tahun 1910

Headphone yang dihasilkan pada tahun ini adalah pemula kepada kebanyakan headphone yang kita lihat pada masa kini. Headphone ini telah dicipta oleh Nathaniel Baldwin di dapur rumahnya dan beliau mencipta keuntungan lumayan dengan menjualnya kepada pihak Tentera Laut Amerika Syarikat. Namun sayangnya, Nathaniel tidak mempatenkan produknya ini dan mengakibatkan beliau tidak dapat memaksimakan keuntungannya.

Baca lagi: Nikola Tesla Meramal Kewujudan Smartphone 90 Tahun Yang Lalu

Tahun 1937

Headphone bernama DT-48 yang dihasilkan oleh Beyerdynamic ini menjadi headphone dinamik pertama yang memasuki pasaran. Evolusi headphone ini juga adalah pencetus idea kepada kebanyakan headphone dinamik yang banyak digunakan oleh orang ramai pada zaman sekarang.

Tahun 1958

Ini adalah headphone jenis stereo yang pertama yang dihasilkan di dunia. Ia dihasilkan oleh John C. Koss dan headphone ini diberi nama Koss SP-3. John C. Koss terus mendominasi pasaran headphone dengan penghasilan headphone jenis stereo yang pertama ini.

Tahun 1979

Sony menghasilkan headphone portable mereka yang pertama yang sesuai digunakan untuk walkman mereka. Kemunculan headphone portable ini telah memudahkan para pengguna walkman Sony untuk menggunakan ia bila-bila masa walaupun sedang melakukan aktiviti bersukan seperti berjogging.

Tahun 1980

Pada era 80an, headphone yang menggunakan earbud telah diperkenalkan buat pertama kalinya. Ia sesuai digunakan bagi sesiapa yang tidak mahu dilihat seperti membawa pelekat besar di telinga.

Tahun 1997

Sony sekali lagi keluar dengan evolusi headphone terbaru di mana penghasilan produk ini adalah untuk mereka yang mementingkan kekemasan rambut. Jadi, jika mereka tidak mahu merosakkan rambut, mereka boleh menggunakan neckband headphone yang dikeluarkan oleh Sony.

Tahun 2001

Apple telah membuat evolusi besar terhadap headphone apabila mereka menghasilkan Ipod. Ipod berfungsi seperti walkman tetapi tidak menggunakan headphone yang besar untuk mendengar muzik. Ia adalah earbuds yang kecil dan tidak merimaskan apabila digunakan untuk melakukan aktiviti-aktiviti lasak. Sehingga kini hampir 300 juta Ipod sudah dijual berserta dengan earbuds yang dijual sekali.

Tahun 2008

Dr. Dre boleh dikatakan pencetus semula fenomena headphone selepas Ipod menenggelamkan seketika populariti headphone. Melalui kerjasama rakannya iaitu Jimmy Iovine, mereka telah menghasilkan headphone yang diberi nama Beats. Headphone ini menjadi satu trend dan fenomena di mana kelihatan banyak atlit terkenal dunia memakai dan menggunakannya dan menyebabkan headphone ini laku keras dalam pasaran seperti pisang goreng panas!

Sumber info dan gambar: Cool Material

Baca lagi: 5 Gitar Elektronik Terbaik Yang Patut Dibeli Oleh Pemain Gitar Beginner

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *