(Euro 2016) Lelaki Ini Hero Pasukan Bola Sepak Portugal Walaupun Tak Sehebat Ronaldo

Beliau tidaklah sepopular mahupun sehebat Ronaldo. Jika namanya disebut, pasti ramai orang tertanya-tanya siapakah beliau. Tetapi, pagi isnin lepas, beliau menjadi hero pasukan bola sepak Portugal apabila jaringan tunggalnya berjaya menjadikan pasukan Portugal juara EURO 2016 setelah menewaskan pasukan tuan rumah, Perancis.

Beliaulah ‘The Unsung Hero’, Ederzito Antonio Macedo Lopes atau lebih dikenali sebagai Eder. Pemain yang tidak pernah menjadi tumpuan langsung sebelum ini, tiba-tiba melonjak naik menjadi wira pasukan Portugal.

Sumber gambar: thesun.co.uk

Apa kata kita sama-sama cuba kenali hero baru pasukan bolasepak Portugal ini. Lupakan sebentar hal Ronaldo dan rakan-rakannya, kita fokuskan pula kepada lelaki ini.

Latar belakang

Eder dilahirkan pada 28 Disember 1987 di negara Guinea-Bissau. Ini bermakna, beliau bukanlah anak jati Portugal. Eder telah berpindah ke Portugal semasa beliau masih kecil dan telah mula bermain bola dengan kelab ADC Ademia pada usia 11 tahun. Kemudian, beliau telah memulakan karier di peringkat senior dengan menyertai kelab F.C Oliveira Hospital di mana beliau telah membuat 23 penampilan dan menjaringkan 18 gol.

Perkembangan karier profesional

Karier professional Eder bermula apabila beliau menyertai kelab Academica yang berada dalam Liga Primeira pada 24 Ogos 2008. Menjaringkan gol pertamanya dalam kelab ini hanya pada penghujung musim. Telah melakukan 83 penampilan dan menjaringkan 12 gol di samping membantu Academica memenangi Portuguese Cup pada musim 2011/2012.

Selepas itu, pada musim 2012/2013, Eder telah menandatangani kontrak selama 4 tahun dengan kelab S.C Braga. Bersama dengan pasukan Braga, antara kenangan terbaik beliau ialah apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan semasa menentang FC Porto pada pusingan kelima Portuguese Cup dan melayakkan S.C Braga ke pusingan suku akhir. Walaubagaimanapun, S.C Braga gagal memiliki trofi ini pada musim ini.

Sumber gambar: www.abola.pt

Setelah menghabiskan 4 musim di S.C Braga, Eder berjaya menarik minat kelab dari English Premier League iaitu Swansea City untuk membeli beliau. Dengan yuran perpindahan berjumlah 5 juta pound, Eder mengikat kontrak bersama Swansea selama 3 tahun. Walaubagaimanapun, karier beliau tidak berkembang dengan baik di sini. Hanya membuat 16 penampilan sahaja bersama Swansea dan tidak menjaringkan sebarang gol.

Beliau akhirnya dipinjamkan ke Lille OSC, iaitu kelab dari Liga Perancis. Sepanjang bermain dengan Lille dalam tempoh pinjamannya, Eder telah melakukan 13 penampilan dan menjaringkan 6 gol. Ini adalah pencapaian yang lebih baik berbanding semasa beliau beraksi di Swansea City. Ini menyebabkan beliau membuat keputusan untuk berpindah secara kekal ke Lille OSC dengan kontrak selama 4 tahun.

Penampilan Peringkat Antarabangsa

Memulakan penampilan antarabangsanya bersama pasukan kebangsaan Portugal pada bulan Ogos 2014 untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Luxembourg. Hanya melakukan kemunculan pertama dihujung masa permainan untuk menggantikan Helder Postiga semasa menentang Azerbaijan di mana Portugal memenangi perlawanan itu 3-0.

Pada May 2014, Eder telah disenaraikan dalam skuad 23 pemain Portugal yang akan beraksi di Piala Dunia 2014. Melakukan kemunculan pertama dalam Piala Dunia semasa pasukan Portugal tewas 4-0 di tangan Jerman.

Eder cuma menjaringkan gol pertamanya bersama skuad kebangsaan Portugal semasa perlawanan persahabatan menentang Italy pada Jun 2015.

Sumber gambar: thesun.co.uk

Kini, Ederzito Antonio Macedo Lopes mampu berasa bangga dengan pencapaian dirinya apabila beliau telah meletakkan namanya sebagai hero pasukan bola sepak Portugal apabila menjaringkan gol kemenangan yang telah membantu Portugal memenangi EURO 2016 buat pertama kalinya.

Ini adalah satu sejarah besar buat Portugal dan secara khususnya buat Eder sendiri apabila beliau kini akan menjadi nama yang diingati dalam dunia bola sepak Portugal. Tahniah Eder! Tahniah Portugal!

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *