Drama ‘Andainya Takdir’ Trending di Malaysia

Drama Slot Samarinda ‘Andainya Takdir’ lakonan Shukri Yahaya dan Nina Iskandar yang disiarkan di TV3 mendapat perhatian penonton seluruh Malaysia. Drama yang mula disiarkan awal Ramadhan itu dilihat trending di laman sosial Twitter hampir setiap hari selepas ditayangkan.

Sumber gambar: EDTV

Drama Andainya Takdir ini berkisarkan tentang dugaan seorang isteri (Fatihah, lakonan Nina Iskandar) yang berhadapan dengan suami (Airil, lakonan Shukri Yahaya) yang panas baran dan cemburu buta. Fatihah dan Airil berkahwin atas dasar cinta, namun selepas perkahwinan sikap cemburu buta Airil menyebabkan Fatihah sentiasa dipukul dengan teruk. Mereka akan berbaik dan kemudian bergaduh semula, berulang kali. Walau bagaimanapun, kedua-duanya berusaha untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina.

Pengguna laman sosial Twitter rata-ratanya memuji lakonan kedua-dua pelakon utama drama ini terutamanya Shukri Yahaya. Penonton beranggapan drama ini realistik dan memaparkan situasi sebenar yang berlaku dalam masyarakat kita. Kata mereka, drama Andainya Takdir jauh lebih bagus daripada drama-drama klise berkonsepkan “fairytales” yang sering disajikan di televisyen.

Melalui hashtag #AndainyaTakdir di Twitter, dapat dilihat ramai penonton memberikan komen positif tentang jalan cerita dan watak drama ini. Ramai yang begitu terkesan dengan jalan cerita dan tidak kurang juga penonton yang mengecam watak Airil kerana kerap menyeksa isterinya dalam setiap episod. Kredit harus diberikan kepada Shukri Yahaya kerana berjaya menjiwai watak yang diberi kepadanya. Berbanding dengan watak-watak lelaki baik yang pernah dibawanya, watak kali ini memberi sudut pandang berbeza dan menunjukkan kemampuan beliau sebagai pelakon yang berkebolehan.

 

Baca lagi: 5 Petinju Mexico Paling Top

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *