Chan Peng Soon Dan Goh Liu Ying – Ini Kisah Mereka Sebelum Rio 2016

Pertama sekali kami di Mensive ingin mengucapkan tahniah kepada pasangan beregu campuran badminton Malaysia iaitu Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying kerana berjaya memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 dan seterusnya mencipta sejarah apabila menjadi beregu campuran negara pertama yang memenangi pingat olimpik.

Kejayaan ini pastinya cukup menggembirakan dua atlit ini kerana mereka sudah bersusah-payah dan berusaha bersungguh-sungguh demi untuk mencipta kejayaan ini. Walaupun tewas, tetapi apa yang penting, beregu campuran ini yang langsung tidak diletakkan sebagai harapan untuk memenangi pingat, berjaya membuktikan bahawa dengan semangat dan motivasi dalam diri yang tinggi adalah sangat penting untuk mencapai apa yang mereka kecapi di Olimpik Rio 2016.

Oleh kerana anda semua sudah tahu kisah kemenangan Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, apa kata anda semua membaca serba sedikit kisah dan liku-liku perjalanan dua atlit ini sebelum bergelar pemenang pingat perak beregu campuran Olimpik Rio 2016.

chan peng soon

Kredit foto: sports247.my

Permulaan Gandingan

Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying mula digandingkan pada tahun 2008. Pada ketika itu, skuad badminton Malaysia masih belum ada kumpulan beregu campuran. Skuad badminton pada masa itu hanya mempunyai beregu lelaki dan wanita. Jadi, ke semua pemain akan berlatih bersama-sama sebagai beregu campuran.

Pada tahun itu skuad beregu campuran dilatih oleh Rexy Mainaky dan beliau telah memutuskan mahu menghasilkan beregu campuran yang berdedikasi, maksudnya satu pasangan beregu campuran yang konsisten dan boleh memberikan persembahan yang terbaik dan akan menjadi beregu campuran tetap untuk mewakili Malaysia.

Chan Peng Soon merupakan seorang pemain yang sangat baik terutama sekali dalam membuat kawalan gelanggang ketika berlawan selain daripada bijak mencari peluang untuk menumpaskan pihak lawan. Oleh kerana Rexy merasakan gaya permainan Chan Peng Soon sangat serasi dengan Goh Liu Ying, akhirnya dua-dua atlit ini telah digandingkan menjadi beregu campuran skuad badminton Malaysia.

chan peng soon

Kredit foto: gettyimages.com

Gandingan Mantap

Dengan kombinasi semangat kesukanan yang tinggi yang ada pada Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, ia telah membantu mereka menjadi beregu campuran yang mantap. Mereka mula menunjukkan prestasi terbaik apabila memenangi pingat gangsa dalam Sukan SEA 2009. Selepas berjaya memenangi pingat gangsa dalam Sukan SEA 2009, pada tahun 2010, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying berjaya menjadi juara dalam Kejohanan Badminton Asia 2010.

Mereka berdua berasa sangat gembira dan terkejut apabila memenangi kejohanan ini. Ini adalah satu kenangan yang tidak boleh dilupakan oleh Peng Soon dan Liu Ying kerana mereka tidak menyangka mereka boleh menjadi juara dalam kejohanan yang dibarisi para pemain yang sangat handal. Dalam pusingan separuh akhir beregu campuran negara ini berdepan pasangan Liliyana Natsir/ Devin Lahardi dari Indonesia manakala pada pusingan akhir mereka bertemu dengan Yoo Yeon-Seong/ Kim Min-jung dari Korea Selatan.

Kedua-dua pasangan ini lebih kuat berbanding Peng Soon dan juga Liu Ying, tambahan pula semasa pusingan akhir, Liu Ying mengalami kecederaan tetapi beliau tetap meneruskan permainan dan tidak mengalah. Pasangan beregu campuran ini berasa seperti berada di dalam mimpi kerana tidak menyangka mereka sudah menang sebelum menyedari bahawa mereka benar-benar sudah memenangi kejohanan ini.

chan peng soon

Kredit foto: www.nst.com.my

Pembedahan Lutut

Semenjak dari itu, Peng Soon dan Liu Ying terus beraksi cemerlang dan memenangi pelbagai lagi kejuaraan. Ini termasuklah kemenangan bersejarah di mana mereka berjaya menjadi juara dalam Kejohanan Siri Super 2012 di Jepun apabila mereka mengalahkan pasangan dari Indonesia iaitu Muhammad Rijal dan Lilyana Natsir.

Namun begitu, semasa beraksi di Olimpik London 2012, mereka gagal mempamerkan aksi terbaik apabila tersingkir awal dalam peringkat kumpulan. Pada ketika ini juga Liu Ying sedang berdepan dengan masalah kecederaan lututnya yang menyebabkan beregu campuran negara ini sekali lagi tidak mampu merangkul sebarang kejuaraan pada tahun 2013. Akhirnya, Liu Ying memutuskan untuk melakukan pembedahan lutut demi menyelamatkan kariernya dan Peng Soon pula terpaksa digandingkan dengan pemain yang lain.

Peng Soon berasa sangat terkejut semasa Liu Ying memberitau kepadanya bahawa beliau sudah memutuskan untuk menjalani pembedahan memulihkan lututnya. Selepas mengadakan perbincangan dengan jurulatih, Peng Soon menghormati keputusan Liu Ying dan terpaksa menerima berita beliau akan kehilangan Liu Ying dalam tempoh yang agak lama. Disebabkan ketiadaan Liu Ying, Peng Soon digandingkan dengan pemain lain.

Pada mulanya, Peng Soon berasa agak kekok untuk berganding dengan pasangan barunya kerana beliau tahu bahawa pasangannya mempunyai gaya permainan yang berbeza dan tidak sama dengan Liu Ying. Apabila gandingan ini bermula secara rasmi, Peng Soon mula berasa keliru dengan cara permainannya sendiri dan juga pasangannya ketika beraksi dan tidak dapat menunjukkan prestasi terbaik.

Bagi Liu Ying, andainya beliau teruskan bermain tanpa melakukan pembedahan ini, kecergasan yang beliau miliki ketika beraksi hanyalah pada tahap 60% hingga 70%. Perkara ini sudah tentu akan mengganggu prestasi permainannya. Memandangkan beliau mahu lakukan yang terbaik dalam Sukan Olimpik 2016, maka Liu Ying memutuskan untuk melakukan pembedahan memulihkan lututnya.

Namun begitu, Liu Ying berasa sangat sedih semasa masih dalam proses penyembuhan. Selain itu, ia juga menjadi waktu yang memeritkan baginya. Beliau hanya mampu melihat rakan sepasukan berlatih bersungguh-sungguh tanpa beliau dapat melibatkan diri di dalam latihan tersebut.

chan peng soon

Kredit foto: thestar.com.my

Kebangkitan Semula

Selepas Liu Ying sembuh sepenuhnya daripada pembedahan lutut yang dilakukannya, beliau akhirnya digandingkan semula dengan Peng Soon dan mereka berdua kembali berusaha untuk memberikan prestasi yang terbaik agar mereka berada di dalam kelompok pemain-pemain terbaik dunia.

Sudah genap 11 bulan mereka tidak berganding bersama, Peng Soon dan Liu Ying akhirnya kembali mempamerkan aksi yang begitu baik sehinggakan kini mereka sudah setaraf dengan pemain-pemain bintang yang lain.

Ibarat melepaskan geram, beregu campuran ini mula mencipta rentak kemenangan dengan menjadi juara Terbuka Poland 2015, diikuti dengan menjadi juara Terbuka Rusia 2015 dan selepas itu Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying menjadi juara Terbuka Mexico 2015. Gelaran-gelaran juara yang diperolehi oleh pasangan beregu campuran negara ini telah menjadi pembakar semangat untuk mereka berusaha memenangi pingat di Olimpik Rio 2016.

chan peng soon

Kredit foto: rio2016.com

Pingat Perak Olimpik

Walaupun tidak diletakkan sebagai atlit harapan untuk memenangi pingat di Olimpik Rio, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Peng Soon dan juga Liu Ying. Malah apa yang terjadi ialah, pasangan beregu campuran ini telah membuat kejutan demi kejutan ketika beraksi dalam acara badminton beregu campuran sukan olimpik.

Selepas menewaskan pasangan daripada China, Chen Xu dan Majin di pusingan separuh akhir, mereka berdua bertemu pula dengan pasangan beregu campuran yang menghuni ranking ketiga dunia iaitu Tontowi Ahmad dan Lilyana Natsir dari Indonesia

Namun begitu, nasib tidak menyebelahi Peng Soon dan Liu Ying apabila mereka tewas kepada pasangan Indonesia ini. Walaubagaimanapun, ini bukan satu kekecewaan besar kerana Peng Soon dan Liu Ying turut berjaya mencatat sejarah apabila mereka berdua menjadi beregu campuran pertama negara yang memenangi pingat perak di sukan olimpik. Selain itu, sebelum mereka berdua mula beraksi dalam acara ini, impian mereka hanyalah ingin memenangi pingat dan tidak kisah apakah warnanya. Jadi, memenangi pingat perak sudah tentunya menghadirkan kebanggaan dan kegembiraan kepada Peng Soon dan juga Liu Ying.

Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying sememangnya wira rakyat Malaysia apabila mereka berjaya merangkul pingat perak dalam temasya sukan terulung di dunia yakni sukan olimpik. Bukanlah satu tugas mudah untuk mereka berdua kecapi apa yang dimiliki pada hari ini. Liu Ying berdepan dengan masalah lutut yang boleh menjejaskan kariernya dan Peng Soon pula terpaksa berkorban masa meninggalkan isteri dan dua anaknya demi perjuangannya untuk negara.

Kejayaan yang dua atlit ini miliki sudah tentunya bukan datang daripada usaha yang biasa-biasa. Setiap titisan peluh yang jatuh ke bumi adalah lambang kesungguhan mereka untuk berbakti kepada negara. Tidak kira walau apa pun warna pingat yang dibawa pulang Peng Soon dan Liu Ying, mereka tetap telah membanggakan nama Malaysia di mata dunia. Sekali lagi kami di Mensive ingin mengucapkan tahniah dan semoga kalian berdua akan beroleh kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *