Cerita-Cerita Inspirasi Sukan Olimpik Rio 2016

Walaupun Sukan Olimpik Rio 2016 sudah melabuhkan tirainya, masih belum terlambat untuk kami di Mensive berkongsi dengan anda beberapa perkara yang menarik yang telah berlaku dalam temasya sukan terulung ini.

Cerita-cerita inspirasi sukan olimpik ini tidak disiarkan secara meluas dalam media massa dan masih ramai orang yang belum mengetahui kisah-kisah ini. Oleh kerana itu kami telah menghasilkan artikel ini agar anda semua dapat melihat sesuatu yang berbeza yang berlaku dalam Olimpik Rio ini dan pastinya memberi inspirasi kepada anda.

cerita-cerita inspirasi sukan olimpik

Kredit foto: hufftingtonpost.com.au

Gimnas Dari Korea Selatan dan Korea Utara Berselfie Bersama

Walaupun Korea Selatan dan Korea Utara masih berbalah sehingga kini, ia sedikitpun tidak menghalang dua atlit ini untuk mengambil gambar selfie bersama-sama. Lee Eun Ju dari Korea Selatan dan Hong Un Jong dari Korea Utara telah mengenepikan perbalahan politik negara masing-masing untuk mengambil gambar bersama.

Ini menunjukkan bahawa mereka masih boleh mewujudkan suasana aman dan damai dan segalanya perlu bermula dalam diri setiap individu.

cerita-cerita inspirasi sukan olimpik

Kredit foto: skysports.com

Dua Pelari Ini Menunjukkan Semangat Kesukanan Yang Tinggi

Pelari dari Amerika Syarikat, Abbey D’Agostino dan pelari dari New Zealand, Nikki Hamblin yang masing-masing bertanding dalam acara 5,000 meter telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sesama mereka.

Selepas berlari sejauh 3,200 meter, mereka berdua telah berlanggar sesama sendiri dan terjatuh. Abbey bersegera bangun untuk meneruskan lariannya tetapi beliau melihat Nikki sedang terduduk mengaduh kesakitan.

Tanpa memikirkan kedudukan yang bakal beliau dapat di garisan penamat nanti, Abbey telah membantu Nikki untuk bangun dan berkata kepadanya, “Ayuh teruskan larian anda. Ini adalah sukan olimpik. Jadi anda perlu tamatkan larian ini.”

Nikki menyedari akan nasihat Abbey dan mereka berdua terus berlari sambil Abbey membantu Nikki menamatkan lariannya.

cerita-cerita inspirasi sukan olimpik

Kredit foto: goodnet.org

Pasukan Yang Ditubuhkan Daripada Orang Pelarian

Sukan Olimpik Rio 2016 telah mencatat sejarah apabila menjadi satu-satunya sukan olimpik yang mempunyai pasukan yang para atlitnya terdiri daripada orang-orang pelarian dari seluruh dunia.

Mereka ini adalah atlit-atlit yang dikumpul dari negara-negara yang bergolak dan dibawa bertanding di dalam sukan olimpik. Tujuan pasukan ini ditubuhkan adalah sebagai satu usaha untuk menunjukkan solidariti untuk golongan pelarian.

Menurut salah seorang atlit pasukan ini, Yiech Pur Biel dari Sudan Selatan, walaupun tidak memenangi sebarang pingat, apa yang mereka ingin tunjukkan ialah walaupun bergelar pelarian, mereka masih mampu melakukan sesuatu dan bukan hanya berdiam diri.

cerita-cerita inspirasi sukan olimpik

Kredit foto: goodnet.org

Pemandu Uber Ini Pergi Ke Rio Secara Percuma

Semasa pemandu Uber, Ellis Hill membawa penumpangnya yang bernama Liz Willock, Liz dapat tahu bahawa Ellis Hill ini adalah bapa kepada atlit lontar peluru Amerika Syarikat iaitu Darren Hill yang bertanding di Sukan Olimpik Rio 2016.

Liz bertanya kepada Ellis sama ada beliau akan ke Rio atau tidak untuk melihat anaknya beraksi. Kemudian, Ellis berkata bahawa beliau tidak cukup duit untuk ke Rio untuk menonton aksi anaknya di sana.

Rentetan dari hal ini, Liz yang bersimpati dengan nasib Ellis telah menghasilkan satu kempen di internet menggunakan medium ‘GoFundMe’ untuk mengumpulkan dana untuk Ellis ke Rio. Matlamat kempen ini adalah mengumpulkan dana sebanyak 7,500 dolar US.

Agak mengejutkan, dalam satu malam sahaja kempen ini berjaya mengumpulkan dana sebanyak 8,000 dolar US dan seterusnya membantu membawa Ellis ke Rio untuk melihat anaknya beraksi.

Liz berkata, “Walaupun dalam keadaan dunia sekarang yang penuh kekejaman, apabila saya melihat sendiri ada orang asing, orang yang kita tak kenali, sanggup membantu kita yang dalam kesusahan, saya percaya, sikap perikemanusiaan masih lagi wujud dalam dunia ini.”

Inilah dia antara cerita-cerita inspirasi sukan olimpik yang kita tidak pernah tahu dan tidak pernah keluar di arus perdana. Cerita-cerita seperti inilah yang sepatutnya diketahui umum agar ia dapat melahirkan nilai-nilai positif dalam diri kita.

Apa pendapat anda tentang cerita-cerita inspirasi dari Sukan Olimpik Rio 2016 ini? Adakah anda belajar sesuatu? Mohon tinggalkan pendapat anda di ruangan komen agar kita dapat belajar sesuatu bersama-sama.

Sumber: Goodnet.org

Baca lagi: Lelaki Di Sebalik Gelaran Pocket Rocket Man

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *