Bagaimana Seorang Penjual Botol Boleh Menjadi Vokalis Band Journey: Inilah Kisah Arnel Pineda

Arnel Pineda atau nama penuhnya Arnel Campaner Pineda dilahirkan pada 5 September 1967 di Manila, Filipina. Sepanjang hidupnya sebagai kanak-kanak, dia sering dirundung malang yang menyebabkan suasana kehidupannya tidak bahagia dan sengsara.

Arnel telah kematian ibunya semasa dia baru berusia 13 tahun. Setelah bertahun-tahun hidup menderita akibat masalah jantung, ibunya akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir. Ayah Arnel terpaksa menanggung hutang yang banyak untuk merawat penyakit ibunya, malangnya, ajal terlebih dahulu menjemput ibunya pergi.

arnel pineda

Kredit foto: DVdizzy.com

Disebabkan jumlah hutang yang tinggi, ayah Arnel tidak lagi mampu menampung hidup Arnel dan 3 orang adik beradiknya iaitu Russmon, Roderick dan Joselito. Namun begitu, ketiga-tiga adik Arnel bernasib baik kerana saudara-maranya sanggup mengambil dan menjaga mereka. Tetapi, tidak untuk Arnel.

Dia dibiarkan hidup secara berseorangan. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Arnel hidup selama beberapa tahun sebagai gelandangan, tidur di taman-taman awam dan mengais-ngais makanan dan minuman yang telah ditinggalkan untuk dia makan demi meneruskan kehidupannya.

Kredit foto: hardrock.hu

Kadangkala, ada rakan-rakannya yang baik hati yang sanggup menumpangkannya untuk tidur di rumah mereka. Arnel juga terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mampu membayar yuran pengajiannya dan akhirnya dia terpaksa bekerja sebagai pengutip besi dan botol terbuang untuk dijual demi menyara hidupnya.

Hidup Arnel kelihatan bakal berubah menjadi lebih baik semasa dia berumur 15 tahun. Arnel sangat meminati muzik dan dia pernah menyertai pertandingan nyanyian seawal usianya 5 tahun. Pada tahun 1982, Arnel diperkenalkan oleh kawannya kepada kumpulan muzik bernama Ijos. Mereka mahukan Arnel mencuba menjadi vokalis Ijos.

Baca lagi: 5 Sebab Mengapa Amir Khan Digelar Sebagai Mr. Perfectionist Bollywood

Kredit foto: Rolling Stones

Maka, Arnel pun mencuba dengan menyanyikan lagu ‘Help’ (Beatles) dan ‘Making love out of nothing at all’ (Air Supply). Pada awalnya, rakan-rakan Arnel sangkakan dia tidak dapat menyanyi dengan baik, tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Mereka sangat kagum dan teruja dengan suara nyanyian Arnel dan terus secara rasmi memilih Arnel sebagai vokalis utama Ijos.

Arnel dibayar 35 Peso untuk persembahan satu malam dan jumlah itu sudah mencukupi untuk dia hidup dengan lebih baik.

Bersama-sama dengan Ijos, karier Arnel semakin meningkat naik. Pada tahun 1990, Arnel bersama kumpulan muziknya telah menyertai pertandingan ‘Yamaha World Band Explosion’. Dalam pertandingan ini, mereka telah memenangi tempat kedua dan Arnel telah mendapat anugerah vokalis terbaik.

Arnel bukan sahaja pernah bergerak di dalam kumpulan muzik, malah dia juga pernah mencuba menjadi artis solo. Pada tahun 1999, bersama-sama dengan Warner Brothers, Arnel telah mengeluarkan album solonya yang pertama dan menjadi hit di seluruh Asia.

Namun begitu, kemuncak kariernya baru sahaja bermula apabila Arnel menyertai sebuah kumpulan muzik bernama The Zoo pada tahun 2006. Arnel dan The Zoo sering mengadakan persembahan di beberapa kelab-kelab popular di Filipina. Selain itu, Arnel dan The Zoo sering menyanyikan lagu-lagu yang memerlukan keupayaan vokal yang hebat contohnya seperti lagu dari kumpulan muzik Journey, Survivor, Aerosmith, Led Zeppelin, The Eagles dan banyak lagi.

Persembahan-persembahan Arnel dan The Zoo dirakamkan dan dimuatnaik ke dalam Youtube di mana hampir 200 video yang menampilkan persembahan Arnel bersama dengan The Zoo telah dimuatnaik.

Kredit foto: Arnel Pineda

Sementara itu, pada tahun 2007, jauh di Amerika Syarikat, sebuah kumpulan muzik terkenal di seluruh dunia iaitu Journey, sedang mencari vokalis baru untuk kumpulan ini. Kemudian, salah seorang ahli yang juga pemain gitar Journey iaitu Neal Schon terjumpa video pesembahan Arnel bersama The Zoo di Youtube.

Neal telah menonton dan mendengar 40 video Arnel menyanyi di Youtube. Neal berasa sangat kagum dengan suara Arnel yang boleh menyanyikan bermacam-macam lagu yang hebat. Setelah Neal berbincang dengan ahli kumpulan Journey yang lain, mereka bersetuju untuk membawa Arnel ke Amerika Syarikat untuk menjalani uji bakat.

Semasa Arnel dihubungi oleh Journey, dia menyangkakan bahawa ini semua adalah satu penipuan untuk mengenakannya. Namun begitu, selepas mendapat panggilan telefon daripada Journey sendiri, barulah Arnel mempercayainya tetapi dalam masa yang sama dia sangat terkejut dengan tawaran ini.

Kredit foto: PBS

Akhirnya, selepas menjalani uji bakat di Amerika Syarikat, Arnel akhirnya telah dipilih secara rasmi sebagai vokalis utama kumpulan muzik Journey pada 5 Disember 2007. Arnel berasa sangat tidak percaya dengan tuah yang dia terima ini. Dia tidak menyangka bahawa dia yang suatu ketika dahulu adalah kanak-kanak gelandangan yang hidup memakan sisa-sisa makanan orang lain kini menjadi artis antarabangsa dan vokalis utama kumpulan muzik Journey.

Hidup Arnel menjadi bertambah baik dan peminat-peminat Journey dapat menerima kehadiran Arnel dalam kumpulan muzik ini kerana vokalnya sememangnya sesuai dengan Journey. Pada 2008, Arnel dan Journey telah mengeluarkan album pertama mereka yang diberi tajuk ‘Revelation’ dan album ini berjaya menduduki tempat kelima dalam carta-carta album lagu terbaik di Amerika Syarikat.

Kredit foto: Express and Star

Kini, Arnel bukan sahaja berjaya memiliki karier cemerlang bersama-sama dengan Journey malah beliau juga berjaya membina rumahtangga yang bahagia bersama-sama dengan isterinya iaitu Cherry dan 4 orang anaknya.

Arnel menjadi satu bukti kehidupan bahawasanya seseorang yang tidak pernah berhenti berjuang dalam meneruskan kehidupannya pasti akan menemui kejayaan kelak. Biarlah suatu ketika dahulu Arnel hanya tidur di tepi jalan dan memakan makanan yang kotor yang telah ditinggalkan, namun begitu ketabahannya untuk terus hidup telah membawanya menjadi artis tersohor yang dikenali di seluruh dunia.

Baca lagi: Daripada Penjual Hot Dog Ke Bintang Youtube – Inilah Kisah Kejayaan PewDiePie

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *