Apa Yang Pelakon Asal Mighty Morphin Power Rangers Lakukan Sekarang Ye?

Rancangan televisyen Mighty Morphin Power Rangers adalah siri pertama untuk siri-siri Power Rangers yang pernah disiarkan di dalam televisyen. Siri ini telah mula ditayangkan pada tahun 1993 dan siri ini telah diilhamkan daripada rancangan televisyen Super Sentai yang cukup popular di Jepun suatu ketika dahulu.

Mighty Morphin Power Rangers mengisahkan tentang sekumpulan remaja terpilih yang telah diberi tanggungjawab untuk melindungi bumi daripada ancaman makhluk asing.

Siri ini telah menjadi terkenal di seluruh dunia tetapi, dari semasa ke semasa, apabila siri Mighty Morphin Power Rangers ini bertukar ke siri yang baru, para pelakonnya akan turut berubah. Ini mengakibatkan, pelakon-pelakon asal siri pertama Power Rangers ini tidak dapat terus memegang watak utama.

Jadi, pada hari ini kami ingin berkongsi dengan anda kisah tentang pelakon-pelakon asal yang memegang watak-watak utama dalam siri Mighty Morphin Power Rangers dan apakah yang sedang mereka buat sekarang.

Mighty morphin power rangers

Kredit foto: Consorcio Eva Radios

Austin St. John (Jason Scott Lee/Ranger Merah)

Austin St. John yang memegang watak Jason dan juga sebagai Ranger Merah pernah memegang watak sebagai Ranger Emas dalam siri Zeo Rangers pada tahun 1997. Selain daripada membintangi rancangan Power Rangers, Austin pernah berlakon dalam drama bergenre thriller yang bertajuk ‘Expose’ dan ‘Footsteps’.

Austin juga kini terlibat dalam pembikinan dua buah filem yang sedang dibangunkan iaitu filem ‘Gideon’s Frontier’ dan juga ‘Survival’s End’.

Kredit foto: Voici

Thuy Trang (Trini Kwan/Ranger Kuning)

Watak Ranger Kuning atau Trini Kwan ini dilakonkan oleh seorang pelakon yang berasal daripada Vietnam iaitu Thuy Trang. Selepas tidak lagi terlibat dalam siri Power Rangers, Thuy pernah memegang watak jahat dalam filem ‘The Crow’. Malah, beliau juga pernah membuat kemunculan dalam filem ‘Spy Hard’.

Beliau juga sebenarnya sudah dirancangkan untuk berlakon dalam filem yang bertajuk ‘Cyberstrike’ bersama-sama dengan Austin St. John (Ranger Merah) dan Walter Jones (Ranger Hitam). Tetapi, rancangan ini tidak berjaya dilaksanakan.

Walaubagaimanapun, karier Thuy dalam bidang lakonan tidak bertahan lama apabila beliau telah terlibat dalam satu kemalangan tragik yang mengorbankan nyawanya pada tahun 2003.

Baca lagi: 5 Cerita Superhero Bertopeng Yang Buat Kanak-kanak 90an Sanggup Ponteng Sekolah

Kredit foto: Diari Ocorreo

Amy Jo Johnson (Kimberly Hart/Ranger Merah Jambu)

Amy Jo Johnson telah memegang watak Ranger Merah Jambu dan juga sebagai Kimberly Hart. Selain daripada berlakon dalam siri Power Rangers, Amy pernah membintangi beberapa drama televisyen sebelum mendapat tawaran sebagai pelakon utama dalam drama ‘Felicity’.

Sehingga kini, beliau masih terus berlakon selain daripada menumpukan usahanya di dalam bidang penulisan lagu dan juga penghasilan muzik. Amy pernah mengeluarkan tiga album lagu dan album beliau yang paling terkini bertajuk ‘Never Broken’ yang telah dikeluarkan pada tahun 2013.

Amy juga sedang terlibat dalam rancangan televisyen bertajuk ‘The Blunder’ di mana beliau meminjamkan suaranya untuk watak Amelia di samping memegang watak Sheri dalam rancangan komedi bertajuk ‘In Between Days’.

Kredit foto: Digital Spy

Walter Jones (Zack Taylor/Ranger Hitam)

Watak Ranger Hitam atau Zack Taylor ini telah dilakonkan oleh pelakon bernama Walter Jones. Selain daripada berlakon dalam siri Power Rangers ini, Walter juga pernah berlakon dalam beberapa drama televisyen seperti ‘Pair of Kings’ dan ‘Prime Suspect’.

Walter juga ada terlibat dalam beberapa pembikinan filem di mana beliau pernah meminjamkan suaranya untuk watak dalam filem ‘Cloudy With A Chance Of Meatballs 2’ yang telah ditayangkan pada tahun 2013 dan beliau juga telah berlakon dalam filem sains fiksyen yang cukup popular iaitu ‘Star Trek: Captain Pike’ yang telah ditayangkan pada tahun 2016.

Selain filem, Walter juga pernah menyumbangkan suaranya untuk permainan-permainan video popular seperti ‘Freedom Fighters’ dan juga ‘Red Dead Redemption’.

Kredit foto: Digital Spy

David Yost (Billy Cranston/Ranger Biru)

Selepas memegang watak sebagai Ranger Biru dan Billy Cranston, David Yost juga telah berlakon di dalam siri Power Rangers Zeo sebagai penasihat teknikal sebelum beliau bertindak meninggalkan siri ini kerana terlibat dalam masalah yang berkaitan dengan gangguan seksual.

Sejak dari itu, David Yost hanya bergerak aktif di belakang tabir dan hanya muncul beberapa kali sahaja dalam beberapa siri televisyen. Beliau juga telah dilantik sebagai pengurus perlesenan untuk syarikat Geneon Universal Entertainment di mana tugasnya ialah menjual rancangan-rancangan televisyen kepada syarikat-syarikat penyiar rancangan televisyen.

Kredit foto: The Wrap

Jason David Frank (Tommy Oliver/Ranger Hijau dan Ranger Putih)

Jason David Frank adalah pelakon yang memegang watak sebagai Tommy Oliver dan beliau juga memegang dua watak Ranger iaitu Ranger Hijau dan Putih. Selepas berlakon dalam Mighty Morphin Power Rangers, beliau turut diberi peluang untuk masih berlakon sebagai Tommy Oliver dalam siri-siri Power Rangers yang lain.

Luar dari rancangan televisyen Power Rangers, Jason turut berlakon dalam rancangan Youtube yang bertajuk ‘Super Power Beat Down’ di mana beliau berlakon sebagai Ranger Hijau atau Putih dan perlu mengalahkan watak-watak superhero lain seperti Ryu (Street Fighter) dan Scorpion (Mortal Kombat).

Selain daripada berlakon, Jason juga terlibat dalam pertandingan Mixed Martial Arts (MMA). Beliau telah membuat debut profesionalnya yang pertama dalam MMA pada tahun 2010 di mana beliau telah bertarung dengan Jose Roberto Vasquez dalam kategori heavyweight.

Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Jason akan melakukan cameo dalam filem terbaru Power Rangers yang akan ditayangkan pada tahun ini di mana beliau akan muncul sebagai watak Ranger Hijau. Hurm. Nampak gaya, merasalah kita untuk mendengar tiupan seruling pedangnya tu nanti kan?

Itulah dia kisah-kisah tentang pelakon-pelakon asal siri Power Rangers yang telah bermula pada tahun 1993. Semoga dengan perkongsian kisah ini dapat menjawab sebarang persoalan anda tentang apakah yang sedang mereka lakukan sekarang. Apa-apa pun, jika anda seorang peminat tegar Power Rangers, jangan lupa untuk menonton filem terbaru Power Rangers yang akan ditayangkan pada bulan Mac tahun ini. Nantikannya ya!

Baca lagi: 5 Kostum Superhero Yang Hampir ‘Sebijik’ Sama Dengan Kostum Dalam Komik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *