Ann Osman: Pahlawan Wanita Dalam Dunia Lelaki

Kredit foto: AvaxNews

Mixed Martial Art atau singkatannya MMA adalah sejenis sukan kombat yang biasanya disertai oleh kaum lelaki. Namun begitu, beberapa tahun kebelakangan ini, sukan MMA mula disertai oleh kaum wanita.

Di Malaysia juga tidak terkecuali dengan fenomena ini apabila Ann Osman atau nama sebenarnya Nur Ain Osman, telahpun menyertai sukan MMA ini dengan memasuki pertandingan ONE Fighting Championship pada Oktober 2013.

Dalam perlawanan pertamanya pada tahun itu, Ann Osman telah tewas di tangan Sherilyn Lim dari Singapura. Namun begitu, kekalahan ini tidak mematahkan semangat Ann untuk terus berjuang dalam sukan ini.

Kredit foto: MMAWeekly.com

Ann Osman mula terlibat dengan sukan lasak ini apabila beliau ternampak AJ ‘Pyro’ Lias Mansor sedang melatih anak muridnya teknik-teknik Muay Thai  di gimanasium yang biasa beliau kunjungi.

Perasaan ingin tahu yang kuat dalam diri Ann menyebabkan beliau berminat untuk mempelajari seni Muay Thai dan sejak dari itu beliau bersungguh-sungguh mendalami seni mempertahankan diri ini.

17 bulan selepas kekalahan pertamanya pada Oktober 2013, Ann Osman mula bangkit dengan semangat yang baru dan akhirnya beliau berjaya mengalahkan tiga orang atlit MMA iaitu Ana Julaton, Aya Saber dan Walaa Abas.

Baca lagi: 5 Bukti Bahawa Wanita Boleh Mengalahkan Lelaki Dalam Dunia Sukan

Kredit foto: ColourlesOpinions.com

Memandangkan adat dan budaya di Malaysia tidak menggalakkan wanita berperwatakan ganas seperti yang perlu ditampilkan dalam sukan ini, Ann turut menerima cabaran berdepan dengan kritikan masyarakat yang tidak boleh menerima penglibatan beliau dalam sukan ini.

Namun begitu, segala kritikan yang diterima oleh Ann telah dijadikan sebagai pendorong untuk beliau melangkah lebih jauh dan cemerlang dalam sukan ini.

Dalam kesibukan Ann menjadi atlit MMA, beliau juga perlu membahagikan masa untuk menguruskan dua perniagaannya. Pertama ialah menguruskan pusat gimnasiumnya dan kedua ialah menguruskan pusat rekreasi miliknya.

Kredit foto: The Star Online

Ann turut berkata bahawa penyertaannya di dalam sukan ini adalah sebagai membuktikan bahawa wanita juga boleh terlibat dalam sukan yang banyak didominasi oleh kaum lelaki. Selain itu, Ann juga mahu memecahkan tembok anggapan konservatif sesetengah pihak yang gemar mengkritik penglibatan wanita dalam sukan biasanya dikuasai oleh lelaki.

Bagi sesiapa yang mahu mengikuti jejak langkahnya menjadi pahlawan MMA, Ann menasihatkan agar bersedia untuk bekerja keras, mendengar arahan jurulatih, jangan berlagak, jangan putus asa, berani menghadapi persaingan dan belajarlah daripada kesilapan agar dapat mencapai cita-cita yang diidamkan.

Baca lagi: 5 Kisah Inspirasi Dari Dunia Sukan Yang Patut Difilemkan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *