Anda Dalam Kekecewaan dan Kemurungan? Mungkin Kisah 5 Ikon Terkenal Ini Boleh Beri Semangat

Tiada yang mudah di dalam dunia ini untuk mengecapi impian kita. Pastinya, banyak cabaran yang perlu ditempuhi sebelum keinginan kita dapat dicapai. Kesabaran kita akan diuji sama ada kita akan berputus asa atau tetap meneruskan langkah menuju kejayaan. Untuk artikel kali ini, kami ingin berkongsi dengan anda 5 ikon terkenal dunia yang boleh dijadikan inspirasi untuk kita melalui onak dan duri dalam menggapai impian kita.

ikon terkenal

Kredit foto: www.coopzeitung.ch

Walt Disney

Walt Disney pernah menemui beberapa siri kegagalan sebelum beliau berjaya. Antaranya ialah, beliau pernah dipecat dari syarikat Kansas City Star Paper dengan alasan beliau kurang ada imaginasi dan tiada idea yang bagus. Selain itu, karakter kartun terkenal rekaannya iaitu Mickey Mouse pernah ditolak ideanya kerana ia dikatakan menakutkan kaum wanita.

Namun begitu, walaupun melalui beberapa kisah kegagalan, beliau menubuhkan syarikatnya sendiri dan kini Syarikat Walt Disney telah mengaut keuntungan berbilion US dolar. Dikatakan juga, sebelum syarikatnya berjaya ditubuhkan, permohonan pinjaman kewangannya telah ditolak sebanyak 302 kali sebelum ia diterima.

Kredit foto: Screen Rant

Harrison Ford

Sebelum Harrison Ford berjaya memegang watak-watak popular seperti Hans Solo dan Indiana Jones, beliau adalah seorang tukang kayu pada ketikanya usianya dalam lingkungan 30an. Beliau sudahpun berlakon pada ketika itu, tetapi hanya memegang watak-watak kecil. Kehidupan keluarganya juga susah kerana sentiasa kekurangan wang untuk menjalani kehidupan.

Tetapi, semuanya berubah apabila beliau sedang menyiapkan kabinet di rumah George Lucas di mana Harrison Ford ditawarkan watak pelakon pembantu dalam filem ‘American Graffiti’. Tetapi, namanya mula meningkat naik 6 tahun kemudian apabila George Lucas sekali lagi menawarkan watak Hans Solo kepada  Ford dalam filem ‘Star Wars’.

Baca lagi: Disleksia Bukan Satu Kelemahan: 5 Bintang Hollywood Ini Sudah Buktikan Sebaliknya

Kredit foto: Sylvester Stallone Movies Wikipedia

Sylvester Stallone

Sylvester Stallone menjalani kehidupan yang cukup sukar sebelum bergelar bintang Hollywood. Pada awal usia 20an, beliau bekerja sebagai seorang atendan dan sentiasa kehabisan wang sehinggakan beliau terpaksa menjual barang kemas isterinya. Sampaikan satu tahap, kerana sangat terdesak memerlukan wang, Stallone terpaksa menjual anjingnya pada harga 25 US dolar.

Beliau mengatakan, itulah saat yang paling mengecewakan dalam hidupnya sehinggalah beliau menghasilkan filem yang akhirnya menjadi hit dan berkaitan dengan kesedihan hidupnya iaitu ‘Rocky’. Sebaik saja beliau menemui kejayaan dengan filem ini, perkara pertama yang Stallone lakukan ialah membeli anjingnya semula pada harga 15,000 US dolar.

Kredit foto: Threwns

J.K Rowling

Suatu ketika dahulu J.K Rowling hidup dalam kesusahan di mana beliau ketiadaan wang, menghadapi penceraian, terpaksa membesarkan anak berseorangan dan sentiasa berada dalam keadaan murung. Beliau berada dalam keadaan sangat ‘pokai’ sehinggakan tiada duit untuk mencetak manuskrip Harry Potter. Jadi, mahu atau tidak, manuskrip pertama Harry Potter telah Rowling taip menggunakan mesin taip di mana beliau menaip sebanyak 9000 lebih patah perkataan sebelum dihantar kepada penerbit.

Kini, J.K Rowling adalah antara wanita terkaya di United Kingdom selepas siri-siri kejayaannya melalui buku Harry Potter.

Kredit foto: NPR

Oprah Winfrey

Kejayaan yang dimiliki Oprah Winfrey pada hari ini tidak beliau kecapi dengan mudah. Malah, beliau telah melalui beberapa kisah hitam dalam hidupnya sebelum bergelar ikon terkenal di seluruh dunia. Pada usia 14 tahun, Oprah telah melahirkan anak pertamanya. Malangnya, bayi tersebut meninggal dunia selepas dilahirkan. Beliau juga beberapa kali pernah dicabul oleh ahli saudaranya sendiri, pak ciknya dan rakan-rakan keluarganya.

Namun begitu, dek kerana kisah ngeri yang berlaku kepadanya ini, beliau bangkit dan dan bekerja di sebuah syarikat rancangan televisyen sehingga berjaya menghasilkan rancangan televisyennya sendiri iaitu ‘Oprah Winfrey Show’. Jumlah kekayaan Oprah pada ketika ini dikatakan berada pada nilai 2.9 bilion US Dolar.

Adakah hidup anda sesukar ikon-ikon di atas? Jika ya, maka anda juga mempunyai peluang untuk berjaya dan mencapai impian hidup anda. Kesenangan akan dikecapi andainya anda telah melalui kesusahan kerana disitulah anda membina sikap tabah dalam diri.

Baca lagi: Daripada Penjual Hot Dog Ke Bintang Youtube: Inilah Kisah Kejayaan PewDiePie

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *