5 Permainan Kanak-Kanak Tahun 90-an

Apabila berada dalam zaman teknologi ini, banyak benda-benda silam semakin dilupakan. Manusia semakin sibuk dengan gajet-gajet terkini memandangkan segala-galanya hanya perlu dilakukan di hujung jari. Tidak kisahlah di mana sahaja kita berada, asalkan ada sambungan internet, pasti mata akan ralit memandang telefon pintar ataupun tablet masing-masing.

Melihat keadaan ini, menyebabkan kami merasa rindu kenangan-kenangan lama semasa kecil dahulu. Dahulu, ketiadaan gajet-gajet canggih menyebabkan kita teruja untuk keluar rumah dan bermain bersama rakan-rakan di luar. Berbanding kanak-kanak sekarang, mereka lebih rela duduk di rumah dan bermain game yang ada di dalam gajet mereka.

Untuk artikel kali ini, kami di Mensive cuba mengimbas kembali 5 permainan kanak-kanak tahun 90-an yang sering dimainkan suatu ketika dahulu. Harapan kami mudah sahaja, andainya anda ada anak sendiri, anak buah ke atau anak jiran-jiran, mungkin anda boleh ajar mereka keseronokan permainan kanak-kanak tahun 90-an ini. Jom kita tengok antara 5 permainan yang cukup popular suatu masa dahulu.

permainan kanak-kanak tahun 90-an

Kredit foto: aujinz.blogspot.com

Konda-kondi

Permainan ini memerlukan 2 batang kayu dan satu lubang yang sudah digali. Letakkan satu kayu di atas lubang dan satu lagi kayu tugasnya ialah melambungkan kayu yang diletakkan di atas lubang tadi setinggi yang mungkin. Kemudian, pemain lawan perlu menangkap kayu tersebut untuk mematikan giliran pemain yang melambung kayu tadi. Jika tidak berjaya menangkap, maka, kayu yang dilambung tadi perlu dibaling masuk ke dalam lubang untuk mematikan giliran.

permainan kanak-kanak tahun 90-an

Kredit foto: traditionalgamescct.blogspot.com

Gasing

Bukan bermain gasing besar yang selalu dimainkan di pantai timur itu. Gasing ini saiznya kecil sahaja. Diperbuat menggunakan kayu dan paku. Hanya dua benda sahaja diperlukan untuk bermain iaitu gasing dan tali. Perlu mahir dalam memusingkan gasing sebelum boleh mula berlawan. Bila sudah mahir, bukan sahaja gasing boleh berpusing di atas tanah, malah boleh juga berpusing di atas tapak tangan.

permainan kanak-kanak tahun 90-an

Kredit foto: www.greenappleku.com

Galah panjang

Sebelum bermain, gelanggang perlu dilukis dahulu. Garisan menegak di kiri kanan untuk menentukan garisan keluar dan garisan melintang untuk tempat pemain berdiri dan mengawal supaya pemain lawan tidak berjaya merempuh masuk. Bilangan garisan melintang akan ditentukan mengikut bilangan pemain. Permainan ini memerlukan pemain melepasi setiap penjaga garisan. Andainya pemain yang merempuh disentuh oleh pemain yang menjaga garisan maka pemain tersebut dikira hilang giliran. Pemain yang merempuh harus melepasi setiap penjaga garisan hingga habis dan patah balik ke tempat permulaan sebelum dikira sebagai pemenang.

permainan kanak-kanak tahun 90-an

Kredit foto: www.buzcapt.com

Rounders

Sama seperti sukan baseball, menggunakan format yang sama tetapi dari segi peralatan tidak. Pemukul adalah terdiri daripada pelbagai jenis kayu asalkan ia mempunyai panjang dan kelebaran yang sesuai untuk memukul. Bola pula biasanya menggunakan bola tenis yang berwarna hijau. Terdapat 4 base yang perlu disentuh oleh pemain apabila berjaya memukul bola. Andainya pemain lawan dapat menangkap bola yang dipukul, pemain yang memukul bola akan hilang giliran. Begitu juga jika semua pemain sudah memukul dan ada yang hilang giliran, tetapi pemain di base masih ada orang dan yang nak memukul sudah tiada, maka satu pasukan dikira tewas. Oh ye, rounders pun ada homerun macam baseball tau. Terutama sekali jika bola berjaya dipukul masuk ke dalam semak dan susah nak menjumpainya semula.

permainan kanak-kanak tahun 90-an

Kredit foto: ucebalingselipar.blogspot.com

Baling selipar

Ada dua pihak akan bermain dalam permainan ini. Sebelum itu, selipar akan disusun dalam bentuk piramid. Selepas selipar disusun, satu pihak ini akan membaling ke arah selipar yang disusun tadi menggunakan selipar lebihan. Apabila selipar jatuh, pihak yang menyusun perlu membaling selipar ke arah pihak yang membaling selipar tadi. Dalam masa yang sama pula, sewaktu pihak menyusun sibuk membalin selipar ke arah pihak pembaling, pihak pembaling pula perlu menyusun semula selipar yang jatuh tadi menjadikan ia dalam bentuk piramid semula untuk mendapatkan kemenangan. Pihak menyusun pula akan dikira sebagai pemenang apabila dapat membaling selipar ke setiap pemain pihak pembaling.

Jadi, antara 5 permainan kanak-kanak tahun 90-an ni, yang mana anda rasa nak cuba main semula?

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *