5 Pemain Bola Sepak Yang Mantap Lakonannya

Dunia bola sepak dengan lakonan sebenarnya boleh dikatakan seperti irama dan lagu, ia tidak boleh dipisahkan. Setiap perlawanan, seolah-olah wajib ada lakonan untuk menambah rencah kesedapan sesebuah perlawanan.

Tanpa perlu mengikuti kelas lakonan profesional, para pemain bola sepak boleh menjadi pelakon yang sangat berkesan sehingga boleh menipu para pengadil mahupun para penonton yang menyebabkan mereka berasa sangat simpati.

Ada sesetengah lakonan yang ditunjukkan oleh para pemain bola sepak kelihatan sangat tidak real, tetapi mereka tetap juga meneruskan lakonan tanpa memikirkan hal tersebut sama ada ia akan memalukan mereka atau bakal menyusahkan mereka nanti.

Untuk kali ini, kami di Mensive ingin berkongsi dengan anda 5 pemain bola sepak yang boleh memenangi anugerah pelakon terbaik dek kerana lakonan yang mereka lakukan di atas padang ketika perlawan. Jom kita tengok.

pemain bola sepak

Kredit foto: thesun.co.uk

Rivaldo (Brazil)

Rivaldo, salah seorang pemain lagenda Brazil telah melakukan lakonannya dengan begitu berkesan ketika menentang Turki pada Piala Dunia 2002. Rivaldo menunjukkan lakonannya ketika beliau mahu mengambil sepakan sudut.

Sewaktu beliau sedang berdiri di kawasan sepakan sudut, beliau sedang menunggu bola untuk membuat sepakan sudut. Terdapat sebuah bola di atas padang ketika itu dan bola itu di sepak oleh Hakan Unsal ke arah Rivaldo.

Sepakan Hakan Unsal menyebabkan bola itu terkena lutut Rivaldo dan entah macam mana, Rivaldo terus terjatuh dan menekup mukanya seolah-olah bola yang disepak itu terkena mukanya dan Rivaldo telah berlakon seolah-olah dia sakit teramat sangat.

Lakonan Rivaldo ini sangat berkesan dan menyebabkan pengadil ketika itu Kim Young-joo memberikan kad merah kepada Hakan Unsal kerana mencederakan Rivaldo.

pemain bola sepak

Kredit foto: news.bbc.co.uk

Kyle Lafferty (Rangers)

Kyle Lafferty bermain untuk Rangers ketika menentang Aberdeen pada tahun 2009. Lakonan ini terjadi ketika Kyle dan pemain Aberdeen, Charlie Mulgrew berada di tepi garisan padang di mana pada ketika itu Kyle baru sahaja membuat sliding tackle terhadap Charlie.

Tindakan Kyle ini telah menyebabkan Charlie berang kerana bagi beliau tindakan Kyle ini adalah satu tindakan yang berbahaya. Charlie telah datang ke arah Kyle untuk menyatakan rasa tidak puas hatinya. Pada ketika ini Charlie merapatkan mukanya ke arah Kyle.

Entah macam mana, baru sahaja Charlie nak merapatkan mukanya pada muka Kyle, Kyle tiba-tiba terjatuh dan terbaring di atas padang sambil menekup mukanya. Pengadil terus berlari ke arah mereka berdua dan Charlie pula berada dalam keadaan terpinga-pinga.

Lakonan Kyle Lafferty telah berjaya memperdayakan pengadil iaitu Stuart Dougal dan menyebabkan Stuart melayangkan kad merah kepada Charlie kerana menyangka Charlie menghantukkan kepalanya ke muka Kyle.

pemain bola sepak

Kredit foto: oregonlive.com

Steven Taylor (Newcastle United)

Pada ketika lakonan ini dibuat, Steven Taylor sedang beraksi bersama pasukan Newcastle United. Lakonan yang dilakukan oleh Steven adalah semata-mata untuk menyelamatkan pasukannya. Hurm, satu tindakan yang mulia.

Waktu itu sedang berlangsung perlawanan di antara pasukan Newcastle United menentang Aston Villa. Darius Vassell ketika itu sedang menggelecek bola ke arah pintu gol Newcastle dan pada masa itu hanya ada penjaga gol dan Steven sahaja.

Darius berjaya menggelecek dan melepasi penjaga gol Newcastle tetapi di gawang gol ada Steven Taylor. Darius walaubagaimanapun, tetap melepaskan rembatan. Rembatannya itu sememangnya tak dapat diselamatkan oleh Steven Taylor dan jaringan sudah tentu boleh dilakukan.

Tetapi, Steven telah menggunakan tangannya untuk menghentikan bola dan kemudian secara otomatik dia berlakon kesakitan untuk menunjukkan bahawa bola itu terkena dadanya. Malangnya, helah Steven tidak berjaya dan menyebabkan beliau mendapat kad merah.

pemain bola sepak

Kredit foto: khelnama.com

Dida (AC Milan)

Bekas penjaga gol kebangsaan Brazil ini juga boleh dikatakan antara pelakon yang terbaik dalam kancah bola sepak ini. Dalam insiden lakonannya ini, sesiapa yang menonton pasti rasa keliru sama ada hendak kasihan atau ketawa kepadanya.

Pada waktu itu, Dida yang sedang bermain itu pasukan AC Milan sedang berdepan dengan kelab dari liga Scotland iaitu Celtic. Perlawanan ini menjadi sedikit tidak terkawal gara-gara penyokong-penyokong Celtic telah menceroboh kawasan padang.

Permainan yang ketika itu sedang dihentikan disebabkan kekecohan itu bertambah kecoh apabila salah seorang penyokong Celtic telah masuk ke padang lalu berlari ke arah Dida sambil menampar pipi Dida. Dida yang berang, telah mengejar penyokong itu tetapi tidak berjaya.

Entah macam mana, selepas tidak berjaya mengejar, Dida tumbang. Dida cedera dan menyebabkan beliau diusung keluar menggunakan pengusung. Tetapi, bila ditonton semula insiden tersebut, penyokong Celtic cuma menyentuh pipi Dida dengan penuh kelembutan. Macam mana Dida boleh cedera sampai perlu diusung? Jika serangan itu teruk, kenapa Dida tidak terus tumbang selepas ditampar? Mengapa Dida masih mampu mengejar penyokong tersebut? Hurm.

pemain bola sepak

Kredit foto: alchetron.com

Kader Keita (Ivory Coast)

Lakonan Kader Keita ini juga sangat hebat kerana berjaya menyebabkan Brazil kehilangan pemain bintangnya semasa beraksi dalam Piala Dunia 2010 iaitu Kaka. Kejadian ini telah menyebabkan pengadil memberikan kad merah kepada Kaka.

Pada waktu ini, sedang berlangsung perlawanan di antara Brazil menentang Ivory Coast. Bola sedang berada dalam penguasaan Ivory Coast dan Kader Keita sedang berlari ke arah yang sama dengan Kaka.

Sewaktu berlari ke arah Kaka, Kader telah bertembung dengan Kaka. Kebetulan pula, tangan Kaka kelihatan mengenai dada Kader. Apalagi, tumbang dan menggelupur teruslah Kader apabila melihat kesempatan itu. Namun begitu, Kader menunjukkan kecederaannya bukan di bahagian dada tetapi di bahagian muka.

Hal ini menyebabkan pengadil menyangka Kaka telah memukul Kader dan Kaka mendapat kad kuning keduanya dalam perlawanan itu dan seterusnya mendapat kad merah dan diarahkan keluar padang. Walaubagaimanapun, Brazil tetap memenangi perlawanan ini.

Itulah dia sedikit sebanyak 5 pemain bola sepak yang sebenarnya layak untuk memenangi anugerah pelakon terbaik dek kerana lakonannya yang memberangsangkan. Bukan senang untuk berlakon sehingga mampu memperdaya pengadil.

Kami tahu senarai kami ini sedikit sahaja berbanding para pembaca yang tahu lebih banyak. Apa kata anda tinggalkan komen anda di bawah berkaitan mana-mana pemain bola sepak yang anda rasakan mantap lakonannnya di atas padang. Kami suka untuk mengetahuinya. Komen ye, jangan tak komen.

Baca lagi: Dibuang Padang Kerana Kentut Ketika Perlawanan

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.