5 Motor Kapcai Yang Pernah Mengaum Di Jalan Raya Suatu Ketika Dahulu

Apabila melihat semakin ramai orang yang menunggang motosikal berkuasa tinggi  di jalan raya menyebabkan kami teringat semula akan beberapa motor kapcai yang pernah menghiasi jalan raya di Malaysia suatu ketika dahulu.

Kami percaya, para penunggang motor berkuasa tinggi di jalan raya pasti pernah menunggang jentera-jentera yang bakal disebutkan nanti sebelum menunggang motor yang berkuasa tinggi itu.

Motor-motor ini adalah antara motor yang cukup popular bermula pada awal tahun 1990 sehinggalah awal tahun 2000. Motor-motor ini boleh dikategorikan sebagai lagenda dan setiap satu daripada motor-motor ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Untuk artikel ini, tidaklah kami menyatakan yang mana satu lebih baik, tetapi artikel ini dibuat sekadar untuk mengembalikan nostalgia para pembaca andainya pernah menunggang motor-motor di bawah.

Tanpa membuang masa, apa kata kita flashback semula motor-motor lagenda yang pernah mengaum di jalan raya Malaysia suatu ketika dahulu.

motor kapcai

Kredit foto: pakwheels.com

Yamaha RXZ 135

RXZ pertama yang dikeluarkan ialah pada tahun 1985. RXZ adalah motosikal keluaran Yamaha. RXZ pada awalnya menawarkan 5 speed sahaja kepada para penunggangnya. Tetapi, pada tahun 1989, Yamaha telah menambah baik speed RXZ menjadi 6 speed.

Namun begitu, bagi para penunggang yang berpengalaman, mereka lebih gemarkan RXZ 5 speed. Ini kerana, RXZ 5 speed memiliki top speed yang lebih tinggi berbanding dengan RXZ 6 speed.

Sejak dari tahun 1985, Yamaha telah mengeluarkan 14 model RXZ dan tahun 2004 merupakan tahun terakhir buat masa ini untuk pengeluaran model motor RXZ ini.

Ramai mat motor masih meminati motor ini walaupun sudah berusia adalah kerana ia memiliki horse power yang tinggi walaupun enjinnya hanya 2 lejang dan CC yang kecil. Selain itu, ia memiliki torque dan acceleration yang baik di mana motor ini mampu memecut sehingga 180 km/j.

Tetapi, ada pengguna motor ini mengatakan bahawa RXZ mampu untuk memecut sehingga 215 km/j. Ini memang kelajuan luar biasa bagi motor yang memiliki CC 135 sahaja! Motor ini juga dikategorikan sebagai motor panas kerana ia selalu menjadi perhatian si pencuri.

motor kapcai

Kredit foto: tuyensinh.nld.com.vn

Suzuki RG Sport 110

Satu lagi motosikal kegemaran mat motor suatu ketika dahulu. Motor ini mula diperkenalkan oleh Suzuki pada tahun 1996. Motor ini mempunyai transmisi 5 speed dan enjinnya mempunyai spesifikasi 110 cc dan ia adalah motor jenis 2 lejang.

Suzuki RG Sport 110 ini mempunyai acceleration yang baik dan motor ini turut digelar sebagai ‘King of Moped’. Motor ini dikatakan sesuai untuk dibawa berlumba dalam pertandingan drag race dek kerana daya pecutannya yang baik.

Terdapat pengguna mengatakan bahawa kelajuan motor Suzuki RG Sport 110 ini boleh mencecah sehingga 180 km/j. Motor ini juga adalah jenis yang sama yang pernah digunakan oleh otai cub prix Malaysia iaitu Wazi Abdul Hamid.

motor kapcai

Kredit foto: redzuanrozle.blogspot.com

Yamaha 110 SS

Motor ini adalah kesinambungan daripada motor Yamaha Sports 100. Yamaha 110 SS mempunyai transmisi 4 kelajuan dan enjinnya adalah jenis 2 lejang. Kelajuan motor ini boleh mencecah sehingga 140 km/j.

Motor ini menjadi antara motor paling popular pada awal tahun 1990. Pada tahun 1995, Yamaha 110 SS telah digantikan dengan motor jenis baru iaitu Yamaha SS Two Racing Spirit. Motor ini dikatakan lebih laju dan lebih berkuasa berbanding dengan Yamaha 110 SS.

Walaubagaimanapun, populariti Yamaha SS Two Racing Spirit tidak kekal lama kerana pada tahun 1996, Suzuki telah mengeluarkan Suzuki RG Sports yang telah menenggelamkan nama motor Yamaha ini.

motor kapcai

Kredit foto: Yamaha

Suzuki Panther 150

Suzuki Panther 150 ini memiliki enjin berkapasiti 150 cc dan mempunyai dua lejang. Motor ini mempunyai transmisi 6 kelajuan. Apabila menunggang motor ini, penunggang dapat memulas throttle sehingga kelajuannya mencecah 160 km/j.

Mula dikeluarkan pada awal tahun 1990. Motor ini turut mempunyai nama lain di negara Thailand. Di Malaysia ia dipanggil sebagai Suzuki Panther 150, manakala di Thailand ia dipanggil sebagai Suzuki RG-V 150.

Motor ini digemari oleh penunggang kerana ia mudah dikawal semasa mengambil selekoh walaupun dalam kelajuan tinggi. Suzuki Panther 150 ini boleh dikatakan sebagai abang sulung sebelum keluar adik-beradiknya yang lain seperti Suzuki TXR 150R atau lebih popular sebagai ‘Jerung’ dan kemudian keluar pula adiknya yang bernama Suzuki Gamma.

motor kapcai

Kredit foto: iwanbanaran.com

Honda EX5 Dream 100

Motor ini sememangnya motor lagenda untuk para peminat motosikal. Dek kerana mempunyai ramai peminat, motor ini turut digelar sebagai ‘Raja Kapcai’. Motor ini mula berada dalam pasaran Malaysia pada tahun 1986.

Mempunyai kapasiti enjin 100cc dan memiliki transmisi 4 kelajuan. Motor ini adalah jenis 4 lejang dan sesuai untuk mereka yang mahukan penjimatan minyak. Kelajuan motor ini apabila dibawa boleh mencecah sehingga 130 km/j.

Ramai meminati motor ini adalah kerana harganya yang murah dan juga mudah untuk mendapatkan barang ganti apabila berlaku kerosakan. Hal ini juga menyebabkan motor ini menjadi ‘motor panas’ kerana kerap menjadi perhatian pencuri.

Kini, EX5 100 sudah dihentikan pengeluarannya kerana Honda sudahpun mengeluarkan penggantinya iaitu Honda EX5 110 pada tahun 2013.

Setiap motor ini pastinya mempunyai kenangan tersendiri kepada anda. Mungkin ada yang pernah buat anda kemalangan atau mungkin juga dengan motor ini juga anda telah bertemu jodoh. Tidak kira apakah cerita anda bersama dengan motor ini, apa yang penting motor-motor ini pernah suatu masa menghiasi kehidupan anda.

Ada antara motor-motor yang disebutkan di atas masih digunakan sehingga kini. Contohnya seperti motor Honda EX5 Dream 100. Ini kerana motornya yang jimat minyak dan barang gantinya senang diperolehi. Yamaha RXZ juga masih ada yang menggunakannya sehingga kini.

Andainya anda merasakan ada motor-motor lagenda yang kami tidak sebutkan dalam artikel ini, anda dapat tinggalkannya di ruangan komen di bawah. Dengan perkongsian anda juga, kita dapat bertukar info dan seterusnya mengenang kembali zaman kegemilangan motor-motor kapcai ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.