5 Cara Menjaga Reputasi Peribadi

The Successful Man

Kita mengambil masa yang lama untuk membina reputasi diri. Dari mula kita mengenal dunia, lelaki secara natural sudah mula membina reputasi dari sekolah. Sama ada aktif dalam perkara-perkara positif seperti sukan dan badan beruniform sehinggalah kepada perkara-perkara negatif seperti menjadi ketua samseng di sekolah. Negatif juga adalah reputasi.

Apabila bekerja, reputasi sebagai kakitangan cemerlang sangat penting. Kenaikan pangkat yang berkadar terus dengan kenaikan gaji, sambungan kontrak dan hubungan sesama rakan sekerja serta ketua-ketua jabatan bergantung kuat kepada reputasi peribadi. Untuk memastikan prestasi sentiasa baik, boleh ikuti tip-tip ini.

1. Menjaga Disiplin

Selain datang awal, tidak ponteng dan sebagainya, disiplin berpakaian antara perkara yang sering diabaikan. Datang pejabat hari Isnin dan Selasa sudah bagus, hari Rabu hingga Jumaat sudah mula menunjukkan tanda-tanda tidak kemas. Tangan baju dilipat, baju tidak masuk ke dalam dan rambut sudah mula kurang minyaknya. Disiplin pemakaian juga bergantung kepada kod pakaian di pejabat. Jika ada hari-hari tertentu mewajibkan untuk memakai tali leher makan wajiblah mengikat tali leher.

2. Tidak Memberikan Alasan

Perkataan ‘saya tidak tahu’ adalah perkataan yang paling orang tidak suka dengar. ia juga menunjukkan penuturnya tidak berpengetahuan atau bermaklumat. Ini pastinya mencalarkan reputasi. Sebaliknya, boleh menjawab ‘saya akan dapatkan maklumat itu’ atau ‘saya tidak pasti, saya tanyakan si polan itu dulu?’ Ini jawapan yang lebih baik. Memanglah anda tidak tahu semua perkara. Sekurang-kuranya anda menunjukkan anda bersedia membantu dan berusaha menjawab persoalan yang dikemukakan.

3. Fokus

Ini senang untuk diucapkan tetapi sukar dilaksanakan. Bila kesibukan mula melanda, fokus mula hilang sedikit demi sedikit. Salah satu cara yang baik ialah dengan menggunakan senarai semak. Tuliskan semua tugasan yang ada supaya kita boleh menilai yang mana satu yang menjadi keutamaan. Dengan cara ini anda boleh mengelak dari lupa atau tertinggal tugasan.

4. Multitasking

Ini adalah kemahiran yang datang dari pengalaman. Semakin lama anda bekerja dan mempraktiskan kemahiran ini semakin baik kemahiran tersebut. Membuat lebih tugasan dalam masa yang sama memerlukan kesabaran dan tahap fokus yang tinggi. Sememangnya meletihkan, tetapi inilah rencah terbaik dalam menaikkan reputasi.

5. Menunggu Masa Yang Tepat

Ada perancangan yang anda lakukan sengaja ditangguhkan kerana menunggu masa yang tepat? Ini sangat bahaya. Selalunya masa yang tepat itu jarang muncul. Yang ada adalah masa yang sesuai. Dan masa yang sesuai itu adalah sekarang.

Selamat berjaya!

Baca : Fungsi Poket Pada Pakaian Yang Lelaki Perlu Tahu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *