5 Aksi Comeback Yang Mengkagumkan Dalam Sejarah Bola Sepak Dunia

Dalam perlawanan bola sepak, selagi wisel penamat belum ditiup pengadil, selagi itulah pasukan yang ketinggalan masih mampu untuk mencipta kemenangan atau biasanya dipanggil comeback.

Berdasarkan sejarah bola sepak dunia, terdapat banyak perlawanan yang menampilkan aksi comeback daripada pasukan-pasukan yang ketinggalan. Namun begitu, hanya beberapa perlawanan sahaja yang menampilkan aksi comeback yang mengkagumkan.

Jadi, untuk artikel kali ini, kami telah senaraikan 5 aksi comeback yang mengkagumkan dalam sejarah bola sepak dunia. Apabila melihat perlawanan-perlawanan ini, ia mampu memberi semangat kepada kita bahawasanya kita mampu kecapi kejayaan selagi tidak berputus asa.

The Telegraph

The Telegraph

#5. Reading vs Arsenal, League Cup (2012)

Dalam perlawanan ini, Arsenal ketinggalan 4 gol selepas Reading menjaringkan kesemua gol pada separuh masa yang pertama. Pada waktu itu, kelihatan ada penyokong-penyokong Arsenal yang sudah mula keluar stadium kerana mereka yakin bahawa pasukan mereka akan kalah malam itu.

Namun begitu, Arsenal telah membuat kejutan bermula dengan jaringan daripada Theo Walcott. Selepas itu, Arsenal terus bersemangat untuk mengejar Reading dan menjaringkan gol melalui Olivier Giroud dan juga Laurent Konscielny. Semasa dalam waktu kecederaan separuh masa kedua dan Arsenal ketinggalan satu gol sahaja di belakang Reading, Marouane Chamakh berjaya mengikat kedudukan menjadi 4-4.

Maka, perlawanan terpaksa diteruskan lagi dalam masa tambahan. Semangat Arsenal terus membara apabila Chamakh dan Walcott menjaringkan gol yang memastikan Arsenal menang 7-4, mengatasi Reading dan seterusnya layak memasuki suku akhir League Cup tahun 2012.

Baca lagi: 5 Killer Sepak Takraw Yang Menggerunkan Lawan Dengan Libasan Mereka

ads-beard-oil-with-azrel

Kredit foto: NationalTurk

Kredit foto: NationalTurk

#4. Jerman vs Sweden, Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2014 (2012)

Pertembungan di antara Jerman dan Sweden ini adalah untuk kelayakan Piala Dunia 2014. Dalam perlawanan ini, Jerman sudah mendahului Sweden 4-0 pada separuh masa kedua. Ketika perlawanan memasuki minit ke 61, pada masa itulah kejutan berlaku.

Ia bermula dengan jaringan gol daripada Zlatan Ibrahimovic yang juga kapten pasukan Sweden. Cepat-cepat Ibrahimovic mengambil bola dan meletakkannya di garisan tengah untuk memulakan permainan semula. Kemudian, 2 minit selepas itu, Lustig menjaringkan gol kedua buat Sweden.

Sweden terus berusaha kuat untuk menjaringkan gol dan berjaya menemui jawapannya pada minit ke 75 apabila Elmander berjaya menjaringkan gol ketiga Sweden. Ketika perlawanan hampir tamat pada hujung-hujung minit kecederaan, Rasmus Elm telah menjaringkan gol yang mengikat kedudukan menjadi 4-4. Pengurus Jerman, Joachim Low antara yang paling terkejut dengan keputusan ini sebaik saja wisel penamat dibunyikan.

Kredit foto: Clarksville Sports Network

Kredit foto: Clarksville Sports Network

#3. QPR vs Manchester City (2012)

Perlawanan ini sebenarnya adalah perlawanan yang sangat penting buat Manchester City. Kemenangan mereka dalam perlawanan ini akan menobatkan mereka sebagai juara English Premier League untuk tahun 2012. Saingan menjadi semakin getir apabila pesaing terdekat mereka, Manchester United sudah mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Sunderland dan membolehkan M.U memintas mereka dengan 89 mata, 3 mata melebihi City.

Pada ketika itu, waktu perlawanan sudah memasuki waktu kecederaan dan keputusan semasa ialah QPR 2, City 1. Pengadil telah menambah 5 minit masa kecederaan dan itu sahaja masa yang ada untuk City memenangi perlawanan ini. Dalam tempoh ini, City melakukan kejutan. Gol penyamaan telah dijaringkan oleh Edin Dzeko dan seterusnya menyemarakkan lagi semangat Manchester City untuk mencari gol kemenangan.

Dengan kedudukan seri, City telah mengumpul 87 mata, dan City perlu mendapatkan gol kemenangan untuk memintas Manchester United. Kemudian, pada minit ke 93, Sergio Kun Aguero telah berjaya menjaringkan gol kemenangan dan seterusnya membolehkan Manchester City bergelar juara English Premier League pada tahun itu.

ads-pomade_updated

Kredit foto: Bleacher Report

Kredit foto: Bleacher Report

#2. Bayern Munich vs Manchester United, Champions League (1999)

Ini adalah perlawanan akhir Champions League pada tahun 1999 di antara Bayern Munich dan juga Manchester United yang berlangsung di Stadium Camp Nou, Barcelona, Sepanyol. Dalam perlawanan ini, Mario Basler telah meletakkan Bayern Munich 1-0 di depan seawal minit ke 6 hasil sepakan percumanya yang telah menewaskan penjaga gol United, Peter Schmeichel.

Perlawanan berterusan dengan kedua-dua pasukan kerap menyerang kubu lawan masing-masing namun begitu tiada siapa yang dapat membuat jaringan. Cuma ada satu ketika, sepakan gunting daripada Carsten Jancker mengenai palang gol United. Jika gol, pasti peluang untuk United mengejar Bayern menjadi lebih sukar.

Walaubagaimanapun, percaturan pengurus Manchester United, Alex Ferguson telah membantu United untuk bangkit semula. Ferguson memasukkan dua penyerang baharu iaitu Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer supaya serangan United menjadi lebih cergas dan berbahaya.

Semasa perlawanan hampir sahaja tamat, dengan 3 minit sahaja masa kecederaan diberikan selepas 90 minit berlalu, Sheringham dan Solskjaer berjaya menjaringkan gol dalam tempoh 2 minit dan seterusnya membolehkan Manchester United bergelar juara Champions League untuk tahun 1999.

Kredit foto: Talksport

Kredit foto: Talksport

#1. Liverpool vs AC Milan (2005)

Ramai merasakan bahawa ini adalah antara perlawanan yang menampilkan aksi comeback yang paling mengkagumkan dalam sejarah bola sepak dunia. Apatah lagi, perlawanan ini adalah untuk merebut piala yang sangat berprestij iaitu piala Champions League. Perlawanan ini jugalah yang telah menjadi kebanggaan pasukan Liverpool dan juga para penyokongnya.

Stadium Atarturk, Istanbul, Turki, telah menjadi saksi perlawanan ulung ini. Dalam perlawanan ini, AC Milan sudah mendahului Liverpool dengan tiga gol tanpa balas. Gol pertama AC Milan dijaringkan oleh Paolo Maldini pada minit pertama perlawanan. Jaringan ini seolah-olah menunjukkan bahawa Liverpool bakal tewas dengan mudah.

Kemudian, gol kedua dan ketiga AC Milan telah dijaringkan oleh Hernan Crespo. Gol ketiga AC Milan ini seolah-olah telah menutup terus harapan Liverpool untuk mengejar AC Milan. Namun begitu, penyokong-penyokong Liverpool masih kekal setia berada di dalam stadium untuk menyokong Liverpool sambil menyanyikan lagu ‘You’ll Never Walk Alone’.

Seperti mendapat semangat baharu, mungkin dengan bantuan pemain ‘kedua belas’ Liverpool, iaitu penyokong-penyokong mereka, Liverpool kelihatan bermain dengan lebih baik. Hasil usaha keras mereka, kapten Liverpool, Steven Gerard berjaya menjaringkan gol pertama mereka pada minit ke 56. Dua minit selepas itu, dalam masa yang sangat singkat, Liverpool berjaya menjaringkan gol kedua hasil jaringan Vladimir Smicer.

Kemudian, 2 minit selepas itu, keajaiban mula terjadi. Liverpool diberikan sepakan penalti selepas Gerard dijatuhkan oleh Gatusso dalam kawasan kotak penalti AC Milan. Ini adalah peluang untuk Liverpool menyamakan kedudukan dan Xavi Alonso dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan penalti ini. Sepakan pertama Alonso berjaya ditepis Dida, penjaga gol AC Milan tetapi sepakan susulan Alonso berjaya menerjah jaring AC Milan.

Liverpool akhirnya berjaya mengikat AC Milan dengan menjadikan kedudukan 3-3. Perlawanan ini akhirnya terpaksa dilanjutkan ke penentuan sepakan penalti. Dalam penentuan sepakan penalti ini Jerzy Dudek telah menjadi wira Liverpool apabila berjaya menyelamatkan sepakan Andrea Pirlo dan sepakan penentu AC Milan iaitu Shevchenko.

Suasana Stadium Atarturk menjadi gegak gempita apabila 40,000 penyokong Liverpool yang berada di dalam stadium meraikan kemenangan ajaib Liverpool ini.

Hurm… Anda pula bagaimana? Adakah anda setuju dengan 5 aksi comeback ini atau anda ada pilihan yang lain? Jika ada, mohon kongsikan dengan kami dalam ruangan komen di bawah ye.

Baca lagi: 12 Pemain Bola Sepak Yang Mempunyai Jambang Yang Super Cool

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *