4 Permainan Menggunakan Jari Sahaja Yang Pernah Anda Mainkan Suatu Ketika Dahulu

Zaman sekarang, tidak sah sekiranya seseorang itu tidak mempunyai aplikasi game di dalam telefon pintar mereka. Sekurang-kurangnya, pasti terdapat satu game di dalam telefon pintar yang akan dimainkan apabila ada masa terluang.

Namun begitu, tahukah anda bahawa suatu ketika dahulu, apa yang ada pada anggota badan sahaja pun boleh dijadikan permainan?

Anggota badan yang mana satu? Jawapannya ialah jari jemari anda. Dengan hanya menggunakan jari jemari, anda dapat berhibur bersama keluarga dan juga rakan-rakan pada masa terluang. Ini sudah tentunya dapat mengeratkan lagi silaturrahim sama ada sesama keluarga ataupun sahabat handai.

Jadi, untuk artikel ini, kami nak perkenalkan 4 permainan menggunakan jari yang telah lama dimainkan sebelum kedatangan permainan yang berasaskan teknologi. Jom kita lihat satu persatu.

permainan menggunakan jari

permainan menggunakan jari

#1. Ku Ci Pak

Adalah masih tidak diketahui dari mana asal usul perkataan ‘Ku Ci Pak’ untuk permainan ini. Mungkin ia berasal daripada bahasa Cina. ‘Ku Ci Pak’ adalah satu permainan di mana pemain perlu mengelak daripada membuat bentuk jari yang sama dengan pemain yang lain. Jika sama, maka pemain itu akan dikira kalah.

Setiap bentuk jari yang dibuat ada nama panggilannya. Jika anda menggenggam jari, maka ia dipanggil ‘Ku’. Kalau anda membuat bentuk jari seperti huruf ‘V’ ia dipanggil ‘Ci’. Manakala, jika anda membuka tapak tangan ia dipanggil ‘Pak’.

Cara bermainnya ialah, semua pemain akan bermula dengan membuka tapak tangan dan seorang pemain perlu bermula dengan membuat salah satu bentuk jari yang disebutkan di atas sambil menyebut nama panggilannya.

Contohnya, jika anda memilih bentuk jari ‘Pak’, maka anda perlu menyebutnya serentak dengan membuat bentuk jari ‘Pak’. Pemain lain pula pada ketika itu, perlu pastikan mereka tidak membuat bentuk jari yang sama seperti anda, jika tidak mereka dikira kalah dalam pusingan itu. Kemudian, setiap pemain akan bertukar-tukar giliran sehinggalah tinggal pemain tunggal yang akan digelar pemenang.

Permainan ini juga boleh menggunakan dua tangan secara serentak.

Baca lagi: Masihkah Anda Ingat Cerita The Cave of The Golden Roses?

ads-pomade_updated

permainan menggunakan jari

#2. Tangkap Ibu Jari

Permainan ini sangat mudah dimainkan dan hanya boleh dimainkan oleh dua orang sahaja. Apa yang kedua-dua pemain ini perlu buat ialah, mereka perlu berusaha menangkap dan menindih ibu jari pemain lain menggunakan ibu jari mereka sendiri.

Mula-mula, kedua-dua pemain akan memaut jari jemari masing-masing seperti gambar di atas. Kemudian, ibu jari akan digerakkan ke kiri dan juga ke kanan sambil menyebut dan mengira hingga 10.

Selepas nombor 10, kedua-dua pemain akan berusaha untuk menindih ibu jari lawan masing-masing. Perlu dipastikan agar tautan jari jemari tidak terlerai semasa membuat cubaan menindih jari lawan.

Selepas tindihan dibuat, pihak yang menindih perlu mengira hingga 10 dan pihak yang ditindih perlu berusaha untuk keluar dari tindihan itu. Jika tidak berjaya, maka akan dikira kalah.

permainan menggunakan jaripermainan menggunakan jari

#3. Jari-jari Abjad

Permainan ini memerlukan seseorang memiliki pengetahuan am yang baik. Ini kerana, permainan ini memerlukan anda untuk menyebut nama-nama apa sahaja benda yang ada di dunia ini yang bermula dengan abjad yang diperolehi.

Cara permainan ini ialah, para pemain akan menunjukkan bilangan jari jemari yang dimahukan. Namun begitu, sebelum menunjukkan jari, para pemain perlu menetapkan tema. Katalah para pemain menetapkan nama negara sebagai tema.

Selepas membuat tetapan tema, para pemain akan menunjukkan sama ada 1 atau 2 atau ikut suka mereka untuk tunjukkan berapa jari. Kemudian, jari jemari yang ditunjukkan tadi akan dikira mengikut kiraan abjad.

Katalah kiraan itu berhenti pada huruf ‘G’, jadi para pemain perlu cepat-cepat menyebut nama negara yang bermula dengan huruf ‘G’. Mana-mana pemain yang gagal memberikan nama negara yang bermula dengan huruf ‘G’ ini, mereka akan dijentik pada jari mengikut bilangan nama negara yang diperolehi oleh seseorang pemain.

Jika semua dapat menyebutnya, pemain yang paling sikit bilangan negaranya akan dijentik mengikut jumlah perbezaan yang ada. Contohnya anda dapat 4 nama, dan kawan anda paling sikit dapat 2 nama. Jadi dia akan dijentik 2 kali sahaja.

ads-beard-oil-with-azrel

permainan menggunakan jari

#4. Karate Jari

Permainan karate jari ini akan menggunakan semua jari anda dan ia menguji betapa kuatnya tautan jari jemari anda. Permainan ini boleh dimainkan oleh dua orang sahaja dalam satu-satu masa, sama seperti permainan tangkap ibu jari.

Mula-mula, anda perlu buat seperti bentuk seperti gambar di atas (rujuk A). Pemainan ‘Karate Jari’ ini akan bermula dengan jari paling bawah iaitu jari kelingking. Anda akan cuba menghentak jari kelingking kawan anda menggunakan jari kelingking anda.

Andainya jari kelingking lawan anda tidak lagi rapat atau terlepas, maka dia perlu pindahkan ‘jari karate’ nya ke jari manis pula. Pindahan ini akan berterusan sehinggalah ke jari telunjuk jika lawan anda terus-terusan kalah. Jika pada jari telunjuk juga kalah, maka yang terakhir sekali ialah menggunakan ibu jari.

Untuk ibu jari, lawan anda akan buat bentuk seperti gambar di atas (rujuk B) dan anda akan mencuba untuk memisahkan ibu jari tersebut menggunakan jari jemari anda. Jika ibu jari lawan anda terpisah dan tidak merapat seperti kedudukan awal, maka anda dikira sebagai pemenang.

Jadi, inilah dia antara 4 permainan menggunakan jari di mana anda tidak perlukan alatan-alatan tambahan untuk bermain. Cukuplah dengan 10 jari yang ada, anda sudah boleh mencipta hiburan dan keseronokan sendiri untuk bermain dengan ahli keluarga dan juga rakan taulan.

Adakah anda turut mengetahui permainan menggunakan jari yang lain? Jika ada, jangan segan-segan untuk beritahu nama permainan tersebut di dalam ruangan komen di bawah ye.

Baca lagi: 5 Drama Jepun Yang Pernah Digilai Suatu Ketika Dahulu

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *