4 Kumpulan Muzik ‘Tangkap Leleh’ Popular Yang Bermula Dengan Huruf ‘S’

Sebelum kita mengenali kumpulan-kumpulan muzik seperti Hujan, Bunkface, Meet Uncle Hussein dan lain-lain lagi, beberapa kumpulan muzik yang bakal disebutkan dalam artikel ini pernah mengecap populariti pada tahun 1996 sehinggalah tahun 2000.

Kumpulan-kumpulan muzik ini membawa genre pop rock di dalam muzik mereka, tetapi ditambah sedikit dengan elemen ‘meleleh’ dan ‘mendayu-dayu’ agar lagu-lagu cinta yang dibawa oleh mereka dapat menunjukkan emosi dan perasaan yang boleh dihayati oleh para pendengar.

Lagu-lagu dari kumpulan ini lebih menumpukan kepada kisah-kisah cinta kerana pada tahun 1996 hingga 2000, tema ini begitu kuat pengaruhnya dalam industri muzik. Oleh itu, untuk menarik perhatian para peminat, maka kumpulan-kumpulan ini memainkan muzik dalam tema cinta atau lebih dikenali sebagai ‘jiwang karat’.

Tanpa membuang masa, jom kita sama-sama baca dan ketahui 4 kumpulan yang bermula dengan huruf ‘S’ yang cukup popular dengan gelaran kumpulan muzik ‘tangkap leleh’.

kumpulan muzik

Kredit foto: wikiwand.com

Scan

Kumpulan Scan ini terdiri daripada 4 orang anak muda dan mula ditubuhkan pada tahun 1996. Kumpulan ini dianggotai oleh Azzan selaku vokalis utama, Acid sebagai pemain gitar utama, Ajoi sebagai pemain bass dan Afis bermain di posisi drum.

Album pertama kumpulan ini diberi tajuk ‘Jelas Terlihat’ dan dalam album ini, lagu yang sering dimainkan di corong-corong radio dan sering meniti di bibir peminat ialah lagu ‘Kau Dipaksa Aku Terpaksa’.

Kini, kumpulan ini sudahpun lama menyepikan diri. Hanya pemain drum sahaja iaitu Afis, atau lebih dikenali sebagai Loco yang masih bergiat aktif dalam industri ini sebagai pemain drum untuk kumpulan Butterfingers.

kumpulan muzik

Kredit foto: fmcmusic.com.my

Scoin

Nama Scoin ini telah diberikan oleh komposer terkenal iaitu Eddie Hamid kepada kumpulan ini yang dianggotai oleh 5 orang anak muda. Ahli-ahli kumpulan Scoin ini ialah, Boy (pemain bass), Amar (pemain gitar), Sham (pemain gitar), Anep (pemain drum) dan vokalis mereka, One.

Menurut kumpulan ini, nama Scoin ini berasal daripada perkataan ‘coin’ (syiling) di mana ia diharapkan akan terus berkembang seperti mana wang yang boleh berkembang dari sekecil nilai satu sen sehingga sebesar-besarnya.

Lagu yang paling popular yang pernah didendangkan oleh kumpulan Scoin ini bertajuk ‘Rindu-rinduan Jadi Kenangan’. Malah, tajuk lagu ini turut dijadikan sebagai judul album pertama kumpulan Scoin.

kumpulan muzik

Kredit foto: Unduh Lagu

Screen

Kumpulan Screen ini dianggotai oleh 4 orang di mana ahli-ahlinya ialah G-mie (vokalis), Adi (pemain gitar), One (pemain bass) dan Hasim (pemain drum). Screen telah ditubuhkan sejak tahun 1996.

Antara pencapaian terbaik kumpulan ini ialah, album pertamanya yang bertajuk ‘Sha Na Na’ berjaya dijual sebanyak 50,000 unit. Ini adalah pencapaian yang sangat memberangsangkan pada ketika itu dan cukup membanggakan 4 orang anak muda ini.

Lagu Screen yang cukup popular di dalam album ini bertajuk ‘Tak Suka Tak Apa’. Setakat ini, kumpulan Screen sudahpun mengeluarkan 5 buah album dan lagu-lagu mereka telah mendapat sentuhan komposer-komposer terkenal seperti Saari Amri dan juga Lan Laga.

kumpulan muzik

Kredit foto: mrbelia.pun.bz

Spoon

Kumpulan ini boleh dikatakan sebagai kumpulan muzik yang paling popular di antara 3 kumpulan yang disebutkan di atas. Kekuatan lagu mereka iaitu ‘Rindu Serindu Rindunya’ benar-benar membantu kumpulan ini mendapat tempat di hati para pendengar.

Lagu ini boleh dikatakan cukup berhantu kerana sering diputarkan di corong-corong radio dan kerap kali meniti di bibir para peminat. Tambahan pula, lagu ini dicipta oleh komposer yang cukup mantap iaitu Eddie Hamid dan lirik pula ditulis oleh Man Toba.

Kumpulan ini terdiri daripada Along sebagai vokalis dan dibantu oleh Shahnaz, Yahya dan juga Boy. Di sebalik kejayaan Spoon di dalam industri hiburan ini, kumpulan ini dikejutkan dengan insiden kematian Along yang dikatakan telah dibunuh.

Sejak dari itu, nama Spoon terus tenggelam dan Azlong iaitu adik kepada allahyarham Along telah bertanggungjawab untuk terus membawa nama kumpulan Spoon ini.

Sehingga kini, lagu-lagu daripada kumpulan-kumpulan ini masih lagi dimainkan di stesen-stesen radio seperti di Sinar.FM dan juga Kool.FM. Walaupun 4 kumpulan ini tidak lagi aktif, tetapi lagu-lagu mereka tetap diingati oleh para peminat.

Adakah anda ada pengalaman tersendiri dengan kumpulan-kumpulan muzik yang disebutkan ini? Jika ada, jangan segan-segan untuk berkongsi dengan kami. Sila tinggalkan cerita anda di dalam ruangan komen di bawah ya.

Baca lagi: 3 Band Jiwang Yang Pernah Mencairkan Hati Para Gadis

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *