4 Drama (Aksi) Inggeris Yang Masih Diingati Sehingga Kini

Semasa menonton televisyen baru-baru ini, kami dapati satu rancangan televisyen yang pernah popular pada awal tahun 1990 dahulu telah dibuat remake dan akan ditayangkan pada bulan September ini. Rancangan TV itu sangat popular di kalangan kanak-kanak yang membesar dalam tahun itu.

Rentetan daripada itu, kami rasa terpanggil untuk berkongsi semula dan juga mengimbas kembali memori para pembaca berkaitan rancangan-rancangan televisyen (aksi) yang pernah popular dalam tahun 1990.

Rancangan-rancangan televisyen ini cukup memberi impak dan pengaruh yang besar dalam diri kanak-kanak pada waktu itu sehinggakan ada yang bercita-cita mahu menjadi seperti watak dalam rancangan tersebut.

Oleh itu, tanpa membuang masa, di sini kami kongsikan kepada anda 4 rancangan televisyen (aksi) yang pernah popular di kaca TV suatu ketika dahulu.

drama

Kredit foto: tv.com

MacGyver

Pelakon utama drama ini dimainkan oleh Richard Dean Anderson yang memegang watak sebagai Angus MacGyver. Drama ini mengisahkan seorang lelaki bernama MacGyver yang bekerja dengan Pheonix Foundation dan juga merupakan agen Department External Services (DEX) untuk Amerika Syarikat.

MacGyver merupakan seorang saintis dan seorang pakar bom. Disebabkan beliau mempunyai pengetahuan yang luas tentang kimia dan fizik, MacGyver mampu mencipta dan mereka apa sahaja masalah menggunakan apa sahaja barang dan bahan yang beliau temui di sekelilingnya untuk selesaikan masalah yang dihadapi.

Namun begitu, penciptaannya tidak akan terhasil andainya tiada swiss army knife di sisi. Pisau ini sudah menjadi trademark dalam drama MacGyver dan itulah yang menyebabkan ramai orang mengingati drama ini. Drama MacGyver ini telah dibuat remake dan bakal ditayangkan pada bulan September ini di saluran AXN.

drama

Kredit foto: dawgshed.com

Airwolf

Drama Airwolf ini mengisahkan tentang sebuah helikopter bernama Airwolf yang dilengkapi dengan senjata-senjata yang canggih dan berbahaya serta mampu bergerak dengan pantas tanpa disedari oleh pihak musuh.

Helikopter ini dikendalikan oleh juruterbang bernama Stringfellow Hawke, lakonan Jan-Michael Vincent. Hawke akan menggunakan Airwolf untuk tujuan melindungi negara daripada ancaman musuh dan segala tindakannya adalah menurut arahan daripada sebuah pertubuhan rahsia yang bernama ‘The Firm’.

Selain daripada faktor helikopter yang menyebabkan orang ramai mengingati drama ini, lagu tema drama ini yang sangat catchy menyebabkan ia sentiasa menjadi siulan kanak-kanak pada awal tahun 1990 itu.

ads-pomade_updated

drama

Kredit foto: rte.ie

Knight Rider

Sebut saja nama drama ini, perkara pertama yang terbayang dalam fikiran ialah, kereta yang boleh bercakap. Drama ini mengisahkan seorang lelaki bernama Michael Knight yang bertugas sebagai ejen Foundation for Law and Government atau singkatannya FLAG di mana pertubuhan ini bertanggungjawab untuk mencegah jenayah dan menegakkan keadilan.

Dalam melancarkan misi menegakkan keadilan ini, Michael Knight turut dibantu oleh sebuah kereta yang dikawal sepenuhnya oleh komputer yang bernama KITT. KITT adalah sebuah kereta yang boleh berkomunikasi dengan Michael Knight dan KITT dilengkapi dengan peralatan yang canggih untuk memudahkan urusan kerja mereka.

Watak Michael Knight ini dilakonkan oleh pelakon popular David Hasselhoff. Drama ini juga pernah dibuat remake pada tahun 2000, 2008 dan 2010. Drama ini cukup popular dikalangan kanak-kanak tahun 1990 kerana KITT adalah sebuah kereta yang boleh bercakap dan memiliki kecanggihan pada setiap peralatan dalam kereta tersebut sehinggakan ramai bercita-cita mahu memiliki kereta itu apabila dewasa nanti.

drama

Kredit foto: a-team.wikia.com

The A-Team

Sebuah pasukan yang ditubuhkan hasil gabungan 4 orang yang mempunyai kepakaran yang berbeza tetapi mereka semua adalah bekas ahli komando. A-Team dipimpin oleh Leftenan Kolonel John ‘Hannibal’ Smith lakonan George Peppard.

Hannibal bertanggungjawab menjaga 3 ahlinya yang memiliki perwatakan yang berbeza antara satu sama lain. Leftenan Templeton Peck (Dirk Benedict) mempunyai perwatakan lelaki yang bermulut manis . Manakala, Kapten H.M ‘Howling Mad’ Murdock dikatakan mengalami masalah mental selepas terlibat dalam peperangan dan akhir sekali ialah orang kuat pasukan ini iaitu Bosco Albert ‘B.A’ lakonan Mr. T.

Walaupun mereka berbeza perwatakan, tetapi setiap tugas untuk menegakkan keadilan dapat dilakukan dengan baik. A-Team adalah drama aksi yang mudah diingati kerana dalam setiap aksi yang dipaparkan pasti ada unsur komedi diselitkan. ‘Howling Mad’ yang biasanya akan memainkan watak komedi tersebut. Drama ini pernah diadaptasi menjadi filem pada tahun 2010 dengan tajuk ‘The A-Team’.

Bagi kami, inilah 4 drama yang paling popular pada awal tahun 1990 dan masih lagi diingati oleh kanak-kanak yang membesar pada era itu. Ada antara drama ini memberi insipirasi kepada kanak-kanak untuk menjadi jurutera dek kerana melihat kecekapan MacGyver mencipta dan membaiki barang.

Ada pula yang mahu menjadi juruterbang atau menyertai tentera udara kerana terpengaruh dengan drama Airwolf. Malah, ada juga memasang impian untuk memiliki kereta yang boleh berkomunikasi. Tapi buat masa ini, cukuplah sekadar memasang lampu LED warna merah bergerak di atas hud kereta. Itupun dah sama macam KITT kan?

Andainya anda rasakan ada lagi rancangan televisyen (aksi) yang popular pada awal tahun 1990, jangan lupa untuk tinggalkan komen anda di bawah ye.

Baca lagi: 5 Rancangan Televisyen Dari Jepun Yang Pernah Digilai Suatu Ketika Dahulu

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *