4 Bukti Bahawa WWE Bukan Lakonan Semata-Mata

Ketika ramai mengatakan bahawa perlawanan gusti dalam World Wrestling Entertainment hanyalah sekadar lakonan dan semuanya sudah diaturkan serta para atlit sudah tahu skrip dan apakah gerakan bakal dilakukan, ramai juga yang tidak tahu nasib buruk yang pernah menimpa atlit-atlit ini.

Di sebalik gerakan yang sudah dirancang, di sebalik skrip yang sudah disediakan, di sebalik storyline menarik yang dipersembahkan, para atlit WWE ini sebenarnya terpaksa mengorbankan segala yang mereka ada dan ini termasuklah nyawa mereka.

Untuk kali ini, kami di Mensive ingin sekali berkongsi dengan anda semua 4 kisah yang boleh membuktikan kepada anda bahawasanya atlit-atlit ini bukan sekadar beraksi demi hiburan penonton, tetapi sanggup berkorban jiwa demi memberikan persembahan yang terbaik.

Jom kita tengok 4 bukti bahawa WWE bukan lakonan semata-mata.

wwe bukan lakonan

Hayabusa vs Mammoth Sasaki

Hayabusa atau lebih dikenali sebagai ‘The Flying Assassin’ adalah antara atlit WWE yang hebat dalam membuat aksi lompatan. Lompatannya sememangnya memukau para penonton kerana ia begitu berbahaya dan sangat berisiko tinggi di mana ia boleh mengundang kecederaan dan itulah yang telah berlaku kepada Hayabusa.

Perlawanan ini berlangsung pada tahun 2001 di mana Hayabusa sedang menentang Mammoth Sasaki. Setelah beberapa ketika berlawan dengan Mammoth Sasaki, Hayabusa ingin membuat satu gerakan moonsault.

Gerakan ini pernah dilakukan oleh beberapa atlit ternama lain seperti Chris Jericho yang sudah melakukannya hampir 20 tahun. Moonsault adalah satu gerakan backflip yang menarik dan juga berbahaya.

Pada perlawanan ini, Hayabusa ingin membuat moonsault dengan cara melompat di atas tali. Tetapi, beliau telah tersilap langkah dan gerakan moonsault beliau menjadi tidak sempurna. Ini menyebabkan kepala dan lehernya terhentak di atas gelanggang dan menyebabkan beliau lumpuh dan hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda. Hayabusa telah meninggal dunia pada bulan Mac 2016.

wwe bukan lakonan

Kredit foto: forum.kooora.com

Stone Cold Steve Austin vs Owen Hart

Perlawanan ini berlangsung ketika Summerslam 1997. Perlawanan ini dikira sebagai perlawanan yang sangat memeritkan buat Stone Cold kerana dia terpaksa meneruskan aksinya dengan keadaan lehernya yang patah.

Dalam perlawanan ini, Owen Hart telah berjaya mengunci Stone Cold dan seterusnya meletakkan Stone Cold dalam posisi untuk melakukan gerakan pile driver. Namun begitu, Owen Hart telah melakukan sedikit kesilapan dan menyebabkan Stone Cold cedera.

Dek kerana kesilapan Owen Hart melakukan pile driver, leher Stone Cold telah patah dalam aksi ini. Owen Hart terpaksa membuang masa bagi memastikan Stone Cold bangun semula kerana di dalam skrip, Stone Cold perlu memenangi perlawanan ini.

Selepas beberapa ketika, Stone Cold dapat bangkit semula dan meneruskan perlawanan dan berjaya mengalahkan Owen Hart mengikut skrip yang ditetapkan. Namun begitu, kecederaan ini adalah kecederaan yang berpanjangan dan menyebabkan Stone Cold terpaksa bersara awal pada tahun 2003.

wwe bukan lakonan

Kredit foto: prowrestling.wikia.com

Mankind vs Undertaker

Kami percaya perlawanan ini antara yang paling diingati oleh peminat-peminat gusti. Aksi yang ditampilkan oleh dua atlit lagenda WWE ini sememangnya memukau para penonton. Ternyata mereka berdua adalah atlit yang sangat berani dan tidak takut dengan risiko.

Perlawanan ini berlangsung dalam event King of The Ring tahun 1998. Perlawanan ini dibuat dalam format Hell In a Cell. Hell In a Cell adalah perlawanan yang berlangsung di dalam sangkar yang bertutup tetapi atlit-atlit gusti ini boleh keluar dan bergerak bebas di sekeliling sangkar termasuklah memanjat di atas sangkar.

Ketika perlawanan baru hendak berlangsung, Mankind sudah pun berada di atas sangkar. Undertaker yang datang kemudiannya, diajak oleh Mankind agar bertempur di atas. Tanpa membuang masa, Undertaker terus panjat ke atas.

Semasa pertempuran berlaku di atas sangkar, Undertaker telah berjaya menolak Mankind dari atas sangkar yang setinggi 20 kaki dan menyebabkan Mankind tercampak dan terhempas di atas meja pengulas sehingga meja itu terbelah dua.

Akibat daripada hempasan yang sangat kuat, Mankind mengalami konkusi dan kecederaan di rahangnya, di bahunya dan juga kecederaan buah pinggang. Tetapi, apa yang menakjubkan ialah, Mankind meneruskan perlawanan ini dan ia telah dimenangi oleh Undertaker.

wwe bukan lakonan

Kredit foto: pinterest.com

Rey Mysterio Jr vs Undertaker

Rey Mysterio Jr adalah atlit WWE yang rendah berbanding atlit-atlit yang lain tetapi mempunyai jiwa sekental besi. Walaupun fizikalnya rendah, Rey Mysterio sedikitpun tidak goyah dengan mana-mana lawannya termasuklah Undertaker yang sentiasa digeruni oleh sesiapa sahaja.

Perlawanan antara Rey Mysterio dan Undertaker ini berlangsung pada tahun 2010. Perlawanan ini adalah perlawanan yang akan menentukan siapakah di antara mereka berdua yang akan layak ke event Fatal 4 Way.

Ketika perlawanan berlangsung, Rey Mysterio mendapat peluang untuk melakukan lompatan ke atas Undertaker. Beliau melompat dari tali paling atas ke atas Undertaker dan semasa kedua-duanya terhempas di atas gelanggang, punggung Rey telah terhentak dengan kuat di atas hidung Undertaker.

Insiden itu menyebabkan hidung Undertaker patah dan beliau juga mengalami konkusi. Walaubagaimanapun, Undertaker tetapi meneruskan perlawanan dengan kecederaan itu dan menang ke atas Rey Mysterio dan seterusnya layak menyertai event Fatal 4 Way.

Tetapi malangnya, Undertaker terpaksa menarik daripada menyertai Fatal 4 Way itu kerana kecederaan yang dialaminya tidak membenarkan beliau untuk beraksi.

Itulah dia antara 4 perlawanan yang boleh dikatakan hampir menamatkan karier atlit-atlit WWE ini. Sebab itulah setiap kali sebelum perlawanan WWE ditayangkan, para atlit ini akan berpesan kepada penonton, “Do not try this at home (Jangan cuba lakukannya di rumah).”

Mereka yang telah berlatih secara profesional ini pun sering berdepan risiko yang boleh menyebabkan kecederaan teruk dan ada antaranya mengancam nyawa, apatah lagi kita yang tidak ada apa-apa latihan profesional ini. Silap langkah, mungkin maut yang bakal menjemput kita dek kerana ghairah mahu meniru aksi para atlit WWE.

Semoga dengan perkongsian ini dapatlah ditunjukkan bahawa perlawanan WWE ini bukanlah lakonan semata-mata seperti dalam drama. Ia sebenarnya satu sukan yang cukup memberi inspirasi kerana setiap atlit yang beraksi ini bukan sahaja beraksi untuk memberikan hiburan, tetapi mereka telah berkorban jiwa dan raga untuk memberikan yang terbaik kepada para penonton.

Bagaimana dengan anda? Pernahkah anda menyaksikan kecederaan-kecederaan teruk yang dialami oleh para atlit WWE? Jika ada, janganlah segan-segan untuk berkongsi dengan kami. Tinggalkan perkongsian anda dalam ruangan di bawah.

Baca lagi: 5 Sebab Mengapa WWE Masih Ditonton Walaupun Sudah Tahu Ia Sekadar Lakonan

Join us_New

1 Comment

  1. Stone Steve Austin

    September 2, 2016 at 2:48 PM

    Hai everyone! Do you miss me?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.