3 Kartun Yang Pernah Popular Dan Melekat Di Hati Penonton

Apa-apa pun, sebelum artikel ini diteruskan, kami di Mensive ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan negara kita kali yang ke 59 kepada semua pembaca. Semoga kebebasan yang kita semua beroleh hari ini akan kekal sampai bila-bila.

Dek kerana hari kemerdekaan ini, tiba-tiba kami rasa terpanggil untuk memutarkan semula kenangan lama berkaitan dengan kartun-kartun buatan Malaysia yang pernah menghiasi kaca televisyen suatu ketika dahulu.

Sebelum kemunculan kartun-kartun buatan Malaysia yang lebih cantik dan menarik animasinya seperti Upin Ipin, Boboiboy ataupun Ejen Ali, kita sudah ditayangkan dahulu dengan kartun-kartun ini.

Kebanyakan kartun-kartun ini muncul pada tahun 1990 sehinggalah awal tahun 2000. Kartun-kartun ini juga dihasilkan dalam bentuk 2D sahaja. Tidak secantik Boboiboy, tetapi pada tahun itu sudah dikira hebat dan menarik minat para penonton terutama sekali kanak-kanak.

Jom kita sama-sama lihat 3 kartun yang pernah popular di Malaysia dan telah menggembirakan hati kanak-kanak suatu ketika dahulu.

kartun yang pernah popular

Kredit foto: ms.wikipedia.org

Usop Sontorian

Kartun ini boleh dikatakan sebagai kartun yang paling diingati oleh mereka yang membesar dalam tahun 1990 hingga 2000. Kartun ini mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Usop yang menjalani kehidupan seharian bersama-sama rakan-rakan karibnya iaitu Abu, Dol dan juga Singh.

Kartun ini mendapat nama Usop Sontorian adalah kerana Usop berasal dari kampung yang bernama Parit Sonto. Kartun ini juga boleh dikategorikan sebagai kartun yang kelakar kerana setiap watak dalam kartun ini mempunyai keunikan tersendiri.

Kami yakin ramai yang menyukai watak Singh kerana kepetahannya berkata-kata dalam nada formal tetapi dengan susunan perkataan yang kadangkala tidak betul. Contohnya seperti, “Hello my friend. How are going to the fine thank you.” Aduh, kau dah kenapa Singh?

Selain itu, kartun ini diingati kerana watak dua ekor binatang iaitu ayam yang bernama Selebet dan katak yang bernama Katak. Suara si Katak paling disukai oleh penonton untuk ditiru kerana suaranya yang ‘tersepit’ itu sememangnya menghiburkan hati.

kartun yang pernah popular

Kredit foto: twitter.com

Keluang Man

“Dia… Bagai seorang pahlawan… Menjadi pembela… Pada yang tiada upaya… Dengan ketangkasan… Langkah pergerakannya… Menewaskan musuh… Yang membuat angkara… Dialah satria… Biarpun di mana jua… Dia datang dikala malam tiba… Melakukan tugas mulia… Di desa juga di kota… Dia akan memberikan baktinya… Demi hidup aman sejahtera… Keluang Man… Keluang Man… Keluang Man.”

Itulah dia lirik lagu penuh kartun super hero buatan Malaysia ini. Kartun Keluang Man ini adalah sezaman dengan kartun Usop Sontorian. Kartun ini juga ditiruvasi daripada kartun Batman dari luar negara. Jika dibarat, mereka menggunakan haiwan kelawar, di Malaysia ia diubah menjadi keluang.

Keluang Man mengisahkan seorang lelaki bernama Borhan yang mengalami masalah mental dan ditempatkan di hospital bahagia Tampoi, Johor. Walaupun mengalami masalah mental, Borhan mempunyai hati yang mulia kerana sering berbakti kepada masyarakat yang ditimpa kesusahan.

Pada setiap malam, Borhan akan keluar dari hospital secara sembunyi-sembunyi dan beraksi sebagai Keluang Man. Borhan juga mempunyai side kick yang bernama Tiong Man. Nama sebenar Tiong Man adalah Samad dan dia juga tinggal di hospital bahagia Tampoi.

Selain itu, satu lagi watak yang diingati ialah Inspektor Sahab. Jika diperhatikan betul-betul, Inspektor Sahab mempunyai persamaan dengan watak Singh dalam Usop Sontorian. Bercakap dengan nada formal, tetapi kadangkala tidak betul susunannya. Inspektor Sahab sangat tidak menyukai Keluang Man kerana sering mengganggu tugas penyiasatannya.

kartun yang pernah popular

Kredit foto: mimiesaienie89.blogspot.com

Anak-Anak Sidek

Kartun ini bermula dengan majalah komik dan akhirnya telah diterjemahkan menjadi kartun. Kartun ini mengisahkan 5 adik beradik jaguh badminton negara iaitu Misbun Sidek, Razif Sidek, Jailani Sidek, Rahman Sidek dan Rashid Sidek.

Kartun ini memaparkan kisah adik-beradik yang menjalani latihan badminton di bawah seliaan bapa mereka yang garang iaitu Haji Sidek. Dalam kartun ini, Razif Sidek telah dipamerkan sebagai anak yang manja dan menjadi kesayangan Haji Sidek kerana dia sentiasa mendengar nasihat ibu dan bapanya.

Misbun Sidek pula ditunjukkan sebagai seorang anak yang nakal dan degil. Ini menyebabkan Haji Sidek selalu sahaja marah kepadanya. Dalam kartun ini juga menunjukkan bahawa Misbun Sidek sebenarnya menyukai sukan bola sepak tetapi telah dibantah dengan keras oleh Haji Sidek.

Jailani, Rahman dan Rashid mempunyai watak yang lebih bersifat neutral. Tetapi, kebanyakan masa mereka lebih gemar mengikut perangai Misbun dan hal ini menyebabkan Haji Sidek bertambah pening kepala.

Kartun ini juga telah memperkenalkan kepada kita bahawa, 5 jaguh badminton ini turut mempunyai kakak dalam keluarga Haji Sidek dan dia adalah anak sulung dan bernama Rusitah Sidek.

Inilah dia 3 kartun yang pernah memeriahkan industri animasi Malaysia satu ketika dahulu. Walaupun kualiti grafiknya tidaklah sehebat kartun-kartun zaman sekarang, tetapi ia tetap diminati dan disukai oleh kanak-kanak pada waktu itu.

Kini, kanak-kanak pada zaman itu sudahpun dewasa dan menjadi para ibu bapa. Mungkin mereka masih lagi menonton kartun-kartun ini yang boleh didapati secara mudah di internet melalui laman web Youtube.

Kartun-kartun ini juga boleh dikatakan menjadi pelopor kepada kartun-kartun hebat zaman sekarang seperti Upin Ipin dan juga Boboiboy. Yelah, bak kata pepatah, tiada yang lama maka tiadalah yang baharu.

Adakah anda merasakan masih ada kartun-kartun yang popular pada tahun 1990 hingga tahun 2000 yang tidak disebut dalam artikel ini? Jika ada, jangan malu-malu untuk tinggalkan pendapat anda di dalam ruangan komen di bawah ya.

Baca lagi: 5 Permainan Kanak-Kanak Tahun 90an

 Join us_New

1 Comment

  1. Mael

    September 5, 2016 at 12:45 PM

    aku suka kampung boy. keluang man pun selalu gak tengok masa kecik dulu haha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *