3 Drama Korea Yang Paling Awal Memikat Hati Para Peminat Drama Di Malaysia

Awal tahun 2000 adalah tahun drama-drama Korea mula meningkat naik. Ia semakin menenggelamkan populariti drama-drama Jepun yang sudah lama tersiar di kaca televisyen di Malaysia sejak tahun 1990. Jadi pada hari ini, kami ingin berkongsi dengan anda 3 drama Korea yang paling awal memikat hati peminat-peminat drama di Malaysia. Kami berkongsi dengan anda 3 plot drama ini supaya anda akan menjadi tidak sabar untuk menonton semula 3 drama yang pernah popular ini. Jom kita ikuti 3 plot drama Korea ini.

drama korea

Kredit foto: KDramaLove

Autumn In My Heart

Cerita ini bermula apabila dua orang bayi secara silap telah tertukar kad nama mereka oleh jururawat yang mengutip kad yang telah dijatuhkan oleh Yoon Joon-suh semasa di hospital. Akibatnya, kedua-dua bayi ini telah bertukar keluarga.

Seorang bayi bernama Yoon Eun-suh telah dibesarkan oleh ibu bapa yang bukan ibu bapa kandungnya sendiri bersama dengan Yoon Joon-suh yang juga bukan abang kandungnya. Manakala seorang lagi bayi Lee Ae Jung, turut dibesarkan oleh keluarga yang bukan keluarga kandungnya sendiri.

Eun-suh dibesarkan oleh keluarga yang kaya raya manakala Lee Ae Jung dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang hidup dalam kemiskinan. Namun begitu, hidup Eun-suh dalam kemewahan tidak kekal lama apabila dia dikenalpasti bukan anak kandung keluarga Yoon dan Lee Ae Jung pula berjaya disahkan sebagai keluarga Yoon.

Eun-suh akhirnya pulang kepada ibunya yang sebenar manakala Lee Ae Jung kembali kepada keluarga Yoon dan mereka berpindah ke Amerika Syarikat bersama-sama dengan Yoon Joon-suh.

Baca lagi: 5 Drama Jepun Yang Pernah Digilai Suatu Ketika Dahulu

Kredit foto: Amino Apps

10 tahun kemudian, Lee Ae Jung dan Yoon Joon-suh kembali ke Korea. Yoon Joon-suh akhirnya bertemu semua dengan bekas adik kandungnya iaitu Eun-suh dan akhirnya menjalin hubungan cinta. Namun begitu, di hadapan orang ramai, mereka berlakon seperti pasangan adik beradik.

Lakonan Joon-suh dan Eun-suh akhirnya terbongkar selepas Lee Ae Jung menemui surat cinta Joon-suh kepada Eun-suh. Ibu bapa Joon-suh tidak merestui hubungan cintanya dan menyuruh dia memutuskan hubungan dengan Eun-suh.

Joon-suh tetap bertegas mahu menyintai Eun-suh dan pada masa yang sama Eun-suh disahkan menghidapi leukimia. Eun-suh akhirnya menemui ajal akibat penyakit yang dihidapinya. Joon-suh tidak dapat menerima takdir ini dan dia juga akhirnya meninggal dunia akibat kemalangan.

Drama ini dilakonan oleh Song Seung-Heon (Yoon Joon-suh), Song Hye-Kyo (Yoon Eun-suh) dan Won Bin (Han Tae-seok).

Kredit foto: KBS

Full House

Drama ini cuba menjawab persoalan sama ada seorang artis bertaraf bintang dapat menyintai dan hidup bahagia bersama orang biasa ataupun tidak. Kisah ini bermula apabila Ji-Eun, seorang penulis skrip yang hidup di dalam rumah yang digelar sebagai ‘Full House’ yang dibina oleh ayahnya telah ditipu oleh dua orang rakannya apabila mereka menjual rumah ini semasa Ji-Eun bercuti di Shanghai.

Sewaktu Ji-Eun berada di dalam kapal terbang, dia bertemu dengan seorang pelakon terkenal bernama Young Jae. Apabila sampai di Shanghai, Ji-Eun terpaksa meminjam wang daripada Young Jae kerana kehabisan wang.

Setelah pulang ke Korea, Ji-Eun dapati rumahnya telah dijual oleh dua kawannya dan rumahnya kini menjadi milik pelakon terkenal yang dia pernah jumpa semasa ke Shanghai, Young Jae.

Ji-Eun tetap berkeras mahu tinggal di rumah itu walaupun rumah itu bukan miliknya lagi. Young Jae pada awalnya tidak mahu menerima kehadiran Ji-Eun tetapi terpaksa akur juga akhirnya. Namun begitu, dia memberi syarat kepada Ji-Eun jika mahu mendapatkan rumahnya semula.

Kredit: Pinterest

Ji-Eun perlu menjadi orang gaji di rumah Young Jae untuk menebus rumahnya semula. Young Jae memberi syarat bahawa Ji-Eun perlu bekerja selama 6 bulan. Walaubagaimanapun, Young Jae bertindak menukar syarat tersebut dan berkahwin dengan Ji-Eun semata-mata untuk membuat teman wanitanya cemburu.

Mereka berkahwin dengan kontrak selama 6 bulan. Dalam 6 bulan itu pelbagai perkara telah berlaku tambahan pula Ji-Eun dan Young Jae mempunyai perwatakan yang sangat berbeza. Ji-Eun adalah seorang pengotor manakala Young Jae adalah seorang pembersih dan panas baran.

Walaupun pelbagai cabaran mereka tempuhi, akhirnya mereka tertarik antara satu sama lain dan terus jatuh cinta untuk hidup bersama. Drama ini dilakonkan oleh Song Hye-Kyo sebagai Han Ji-Eun dan Rain sebagai Lee Young Jae.

Kredit foto: HanCinema

Winter Sonata

Cerita ini bermula apabila Joon-sang berpindah ke Chuncheon iaitu sebuah daerah luar bandar di Korea. Kedatangan Joon-sang sangat disenangi oleh para guru dan rakan-rakan sekolahnya kerana dia seorang pelajar yang berbakat besar. Namun begitu, Joon-sang seorang pelajar yang agak pendiam.

Dalam masa yang sama juga, Joon-sang cuba mencari ayahnya yang dikatakan telah meninggal dunia oleh ibunya. Namun begitu, dia tidak mempercayainya dan terus mencari di mana ayahnya.

Joon-sang juga mengalami krisis identiti kerana tidak dapat bertemu dengan ayahnya dan dia menyalahkan hal ini kepada ibunya. Joon-sang juga percaya bahawa dalam dunia ini tiada orang yang menyayanginya.

Pada suatu hari, semasa dalam perjalanan di dalam bas, Joon-sang duduk di sebelah rakan sekelasnya iaitu Yoo-jin. Tanpa disangka, tiba-tiba Yoo-jin tertidur pada bahu Joon-sang. Dari situ, hati Joon-sang mula terbuka untuk mencintai Yoo-jin.

Namun begitu, hubungan cinta Joon-sang dan Yoo-jin tidak kekal lama. Joon-sang ditimpa kemalangan dan mengalami kecederaan parah. Ia mengakibatkan dia mengalami amnesia dan tidak apa-apa yang telah berlaku sebelum kemalangan itu.

Kredit foto: Park Yong Ha

Masalah amnesia yang dihidapi oleh Joon-sang diambil kesempatan oleh ibunya dengan mengarahkan seorang psikologi agar membuatkan Joon-sang melupakan segala memori hitamnya semasa kecil termasuk membenci ibunya sendiri. Ibu Joon-sang membuat begini kerana dia sangat dahagakan kasih sayang daripada anaknya.

Dengan bantuan pakar psikologi, akhirnya Joon-sang tidak mengingati sebarang perkara sebelum kemalangan termasuklah kekasihnya iaitu Yoo-jin. Joon-sang dan ibunya akhirnya berpindah ke Amerika Syarikat dan Joon-sang ditukarkan namanya menjadi Lee Min-hyeong.

10 tahun kemudian, Lee Min-hyeong menjadi seorang lelaki dewasa yang berjaya dalam bidang arkitek. Dia juga menjadi individu yang berbeza berbanding zaman sekolahnya. Dari seorang pendiam, dia kini menjadi seorang yang ceria, peramah dan sering mengambil berat tentang orang lain.

Min-hyeong pulang semula ke Korea dan pada suatu hari, kekasih lamanya iaitu Yoo Jin ternampaknya di tepi jalan. Hal ini menyebabkan Yoo Jin memutuskan pertunangannya kerana dia tidak menyangka kekasih lamanya dulu masih lagi hidup.

Min-hyeong akhirnya menjalin hubungan cinta dengan kekasih lamanya semula iaitu Yoo Jin. Namun begitu, kisah percintaan mereka tidak selalunya indah kerana sering diuji dengan pelbagai konflik. Antaranya seperti Min-Hyeong mendapat khabar bahawa Yoo Jin sebenarnya adalah adik tirinya dan mereka tidak boleh berkahwin.

Walaubagaimanapun, berita itu tidak benar. Selain itu, Min-Hyeong perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan darah beku di kepalanya akibat kemalangan semasa dia bersekolah dahulu. Kesannya, Min-Hyeong menjadi buta.

Walaupun tidak dapat melihat, ikatan cinta antara Min-Hyeong atau nama sebenarnya Joon-sang tetap bertaut rapat dengan kekasih awal dan akhirnya iaitu Yoo Jin. Drama ini dilakonkan oleh Bae Yong-Joon yang memegang watak Joon-sang @ Min Hyeong dan Choi Ji-woo sebagai Yoo-Jin.

Baca lagi: 5 Cerita Superhero Bertopeng Yang Buat Kanak-kanak 90an Sanggup Ponteng Sekolah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *