10 Kecederaan Yang Biasa Berlaku Ketika Bersukan

Untuk kali ini, kami di Mensive ingin berkongsi sesuatu yang menarik kepada anda. Isu ini sangat penting terutama sekali untuk anda yang gemar bersukan.

Dalam artikel ini, kami menyenaraikan 10 jenis kecederaan yang biasa dialami oleh mereka yang terlibat dalam bidang sukan. Info ini telah dikongsikan oleh Doktor Sam Burrows yang merupakan pakar perubatan untuk sukan di London Doctors Clinic.

Semoga dengan perkongsian ini ia dapat membantu anda mengenalpasti kecederaan-kecederaan yang biasa berlaku semasa bersukan dan dapat berusaha untuk mencegahnya daripada berlaku.

kecederaan yang biasa

Kredit foto: adamsachilles.wordpress.com

#1. Plantar Fasciitis

Ini adalah kecederaan biasa yang biasanya memberi kesan kepada 10% orang sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Anda akan merasa sakit yang agak kuat di bahagian tumit kaki anda.

Ini terjadi kerana tisu di bahagian kaki di antara tulang dan juga tumit telah membengkak. Kecederaan ini dapat pulih dengan segera apabila anda mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum bersukan semula.

#2. Achilles Tendionapathy

Achilles tendon ini terletak di antara otot betis dan juga tulang tumit. Jika bahagian ini telah digunakan secara berlebihan ataupun sering mengalami kecederaan, maka ia akan membengkak dan menyebabkan anda berasa sangat sakit.

Untuk merawat kecederaan ini, tuam bahagian yang sakit dengan pek ais. Anda juga dinasihatkan untuk berehat dalam tempoh yang agak lama sebelum bersukan semula. David Beckham adalah contoh atlit yang pernah mengalami kecederaan ini yang menyebabkan beliau tidak dapat beraksi dalam Piala Dunia 2010.

#3. Kecederaan Buku Lali

Ini juga adalah kecederaan biasa yang sering dihadapi ahli sukan. Kecederaan ini boleh berpunca disebabkan terseliuh ataupun berlakunya keretakan. Bahagian buku lali akan membengkak dan biasanya mengambil masa 2 minggu untuk sembuh.

Seorang bintang kriket England, Freddie Flintoff, pernah berdepan dengan kecederaan ini dan menyebabkan beliau terpaksa bersara awal.

kecederaan yang biasa

Kredit foto: adventuresportsjournal.com

#4. Shin Splint

Kecederaan ini dapat dirasai di bahagian depan kaki, bawah sedikit daripada lutut. Kesakitan yang dialami ini biasanya berpunca daripada kesilapan memakai kasut yang tidak sesuai ataupun berlari di atas permukaan yang terlalu keras.

#5. Slipped Disc

Dalam dunia perubatan, kecederaan ini turut dipanggil sebagai prolapsed disc. Slipped disc adalah satu kecederaan di mana disc tulang belakang akan menekan saraf dan menyebabkan rasa sakit yang agak teruk di bahagian belakang badan.

Kesakitan ini dapat diredakan melalui beberapa cara dengan memakan ubat penahan sakit ataupun membuat pembedahan. Pemain golf terkenal seperti Tiger Woods pernah menghadapi kecederaan ini dan sedikit sebanyak telah menjejaskan karier sukan beliau.

#6. Tennis Elbow

Kecederaan ini juga adalah kecederaan biasa khasnya untuk para pemain tenis. Disebabkan penggunaan siku yang kerap semasa bermain tenis maka ia akan menyebabkan berlakunya kecederaan.

Walaubagaimanapun, kecederaan ini jarang kelihatan pada pemain-pemain tenis profesional. Ini kerana para pemain profesional ini mempunyai teknik yang berkesan untuk mengelakkan kecederaan ini daripada berlaku.

kecederaan yang biasa

Kredit foto: Getty Images

#7. Knee Ligament Strains

Lutut adalah antara sendi yang mudah untuk cedera. 4 ligamen yang berada di sekeliling lutut biasanya boleh terseliuh atau terkoyak yang akan menyebabkan kesakitan yang teramat sangat. Ini terjadi mungkin kerana pergerakan secara tiba-tiba ataupun disebabkan perbuatan orang lain seperti dirempuh ketika bermain bola sepak.

Anda boleh lihat bagaimana kecederaan ini menyebabkan Cristiano Ronaldo yang bermain untuk Portugal terpaksa keluar awal semasa perlawanan akhir EURO 2016. Mujurlah Portugal menang, jika tidak, pasti Ronaldo berasa sangat kecewa.

#8. Hamstrings Injury

Hamstrings adalah otot yang terletak bahagian belakang peha. Kecederaan hamstring biasanya berlaku semasa anda membengkokkan lutut ketika mahu membuat lompatan, larian ataupun pergerakan secara tiba-tiba. Kecederaan ini boleh sembuh dalam masa beberapa hari, tetapi kadangkala ia memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Semasa Sukan Olimpik Rio 2016, Usain Bolt hampir-hampir terlepas peluang untuk beraksi dalam sukan ini gara-gara kecederaan hamstring. Namun begitu, beliau telah berjaya mengatasi kecederaan ini dan seterusnya memenangi 3 pingat emas olimpik.

#9. Rotator Cuff Injury

Kecederaan ini menjadi punca mengapa ramai atlit berasa sakit di bahagian bahu. Dengan membuat fisioterapi senaman, ia dapat membantu atlit sembuh dengan segera. Kadangkala, suntikan steroid dan juga pembedahan turut membantu untuk kes-kes yang agak teruk.

Bintang tenis wanita terkenal dunia, Maria Sharapova, pernah menghadapi kecederaan ini pada tahun 2008. Selepas pembedahan, beliau dapat beraksi dengan baik dan seterusnya memenangi Tenis Terbuka Perancis pada tahun 2012.

kecederaan yang biasa

Kredit foto: reuters.com

#10. Groin Strains

Kecederaan pangkal peha ini biasanya berlaku disebabkan oleh berlakunya lebihan regangan pada otot. Kecederaan ini selalunya dapat dilihat dalam sukan-sukan yang melibatkan larian dan juga lompatan, contohnya seperti sukan bola sepak ataupun hoki.

Semasa Euro 2016, bintang Real Madrid, terpaksa dikeluarkan dalam perlawanan antara negaranya Croatia menentang Republik Czech disebabkan oleh kecederaan pangkal peha ini.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda pernah menghadapi kecederaan-kecederaan seperti ini. Andainya ada, sudilah kiranya untuk kongsikan pengalaman kecederaan anda dalam ruangan komen di bawah. Mungkin ia dapat membantu para pembaca lain mencegah kecederaan yang sama seperti anda daripada berlaku.

Sumber: Dad Info

Baca lagi: 5 Pemain Bola Sepak Yang Mantap Lakonan Kecederaannya

Join us_New

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.